05 Mac 2015

Skuad Eco Rangers ~ Agen Khas Salur Maklumat Kitar Semula


Tong sampah kitar semula menjadi asas untuk menyampaikan mesej cintai alam sekitar. – Gambar hiasan

PROGRAM 3R iaitu pengurangan (reduce), penggunaan semula (reuse) dan kitar semula (recycle) sedang rancak dijalankan.

Ia merupakan usaha dan peranan Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) untuk merealisasikan sasaran kerajaan bagi mencapai kadar 20 peratus kitar semula pada tahun 2020.

Ketua Eksekutif Alam Flora, Mohd. Zain Hassan berkata, syarikat pengurusan sisa pepejal itu mengambil satu langkah proaktif dengan mewujudkan skuad Eco Rangers Alam Flora (Eco Rangers).


Tugas utama agen khas itu adalah untuk mendidik, memberi kesedaran dan maklumat kepada orang ramai tentang kepentingan kitar semula melalui aktiviti-aktiviti menarik.

Skuad itu juga mengadakan sesi rondaan dari satu kawasan ke kawasan yang lain di sekitar Putrajaya.

“Kaedah rondaan semakin popular di negara ini. Sesuatu informasi yang ingin disampaikan kepada orang ramai dapat dilaksanakan melalui cara bersemuka yang lebih ringkas, mudah dan pantas serta tepat kepada golongan sasar seperti pelajar sekolah, kakitangan awam dan suri rumah,” ujar Mohd. Zain.

Sebar informasi

Jelasnya, kewujudan skuad Eco Rangers tepat pada masanya kerana kaedah itu digunakan untuk menyebarkan informasi secara meluas mengenai kaedah pengasingan sisa sampah.

Kaedah itu akan diwajibkan kepada orang ramai dan bakal dijalankan secara berperingkat-peringkat bermula pada bulan September 2015.

Kenderaan khas skuad Eco Rangers yang membawa beberapa kakitangan Alam Flora akan berhenti di empat hingga lima lokasi tumpuan orang awam seperti di taman permainan, pasar dan pusat riadah. Skuad itu akan mengambil masa selama 30 hingga 45 minit dalam satu sesi.

Agen-agen skuad Eco Rangers akan mengadakan ceramah, mengedarkan risalah berkaitan 3R kepada orang ramai dalam setiap sesi rondaan di sekitar Presint 8,9, 14 dan 15.

Selain itu, hadiah-hadiah menarik turut disediakan melalui Pop Kuiz 3R dan cenderahati percuma yang akan diedarkan oleh agen-agen Eco Rangers.

Buat permulaan, rondaan skuad Eco Rangers akan bermula di sekitar Putrajaya. Alam Flora akan memantau keberkesanannya sebelum diperluaskan ke negeri-negeri di bawah konsesi syarikat itu seperti di Kuala Lumpur dan Pahang.


Skuad Eco Rangers memandu kereta pacuan empat roda ke lokasi sasaran di sekitar Putrajaya.

Ujar Mohd Zain, kempen kitar semula perlu diteruskan dari masa ke semasa bagi meningkatkan kesedaran dan menerapkan budaya mengitar semula dalam kehidupan seharian.

Usaha dan kerjasama antara Alam Flora dan Perbadanan Putrajaya sejak tahun 2008 itu berjaya mengurangkan kadar kutipan sampah di kawasan sekitar kepada 80 tan sehari berbanding 130 tan sebelum ini.

Program kitar dan guna semula anjuran Alam Flora itu bertujuan untuk mengurangkan pembaziran bahan mentah di negara ini.

“Penghasilan satu tan kertas dianggarkan memusnahkan hampir 17 batang pokok. Penghasilan satu tan kaca pula memerlukan sebanyak sembilan gelen bahan api dan ia merupakan satu keadaan yang membimbangkan,” tambahnya.

Inisiatif

Berkongsi pendapat, seorang warga Putrajaya, Sheila Shareena Mohamed Hamidi memberitahu, skuad Eco Rangers merupakan inisiatif yang baik dan perlu diteruskan secara konsisten dalam usaha untuk memberi maklumat kepada penduduk setempat.

Sheila Shareena yang menetap di Presint 15 bersama keluarganya menjelaskan, dia berharap dapat menyertai aktiviti dan mendengar sesi ceramah daripada skuad Eco Rangers Alam Flora pada masa akan datang.

“Aktiviti yang dilakukan oleh skuad itu pasti menarik perhatian orang ramai. Jika berpeluang bertemu dengan mereka, sudah tentu banyak persoalan mengenai kitar semula akan saya ajukan.

“Selain menyalurkan maklumat, skuad Eco Rangers juga dapat mengumpulkan pelbagai lapisan masyarakat dalam satu-satu masa.

“Ia merupakan satu perkongsian maklumat yang lebih efektif diselangi dengan aktiviti menarik untuk kanak-kanak mahupun golongan dewasa,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Sumber: Kosmo

0 comments: