01 April 2015

Aplikasi MyKira GST: Semak Harga Barang Melalui Telefon Pintar

PEKAN, 22 Mac -- Penduduk Parlimen Pekan tekun membaca risalah
Surirumah yang bijak akan cuba memahami tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), termasuk mengambil tahu senarai barangan yang dikecualikan cukai baharu ini sebagai langkah berbelanja secara berhemat.

OOH! Nak beli stok mekap sebelum GST.” Tulis seorang teman dalam status akaun Facebook (FB).
Dan seperti yang dikehendakinya, status itu menerima banyak Likes bahkan ramai yang turut memberi komen seperti, “Cepat, cepat... sebelum terlambat!”

Yang lagi turut tumpang sekaki memberi ‘idea’ barangan yang patut dibeli oleh teman FB penulis tadi. “Jangan lupa minyak wangi dan tuala wanita pun... saya dah beli stok untuk setahun.” Ada lagi menokok, “Books”.

Posting atau status akaun FB sebegini memang menarik dan cepat serta mudah mengundang reaksi ramai. Maklumlah GST atau Cukai Barang dan Perkhidmatan ini adalah isu yang boleh dianggap paling panas atau trending ketika ini.


Adakah sebahagian besar rakyat Malaysia arif mengenai GST?

Pengguna disarankan untuk mengambil sedikit masa untuk membaca penerangan dan maklumat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sama ada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Kewangan mahupun Kementerian Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk maklumat lanjut berkaitan GST.

Beberapa hari sebelum perlaksanaan GST, terdapat rakyat Malaysia yang dilaporkan sanggup berhimpit dan menyerbu pasar raya untuk berbelanja membeli barangan keperluan harian kerana bimbang para peniaga akan menaikkan harga barangan selepas pelaksanaan GST.

Hakikatnya seperti yang telah diuar-uarkan oleh pihak berkuasa terbabit, kebanyakan barangan keperluan harian termasuk beras, minyak masak, ayam, daging, ikan, kopi, tepung, lada hitam, segala macam sos, mentol, susu formula untuk bayi, marjerin, segala jenis roti, sayur-sayuran dan buku – adalah barangan yang disenaraikan sebagai ‘zero ra­ted GST’ atau dengan kata mudahnya, tidak dikenakan GST.

Walaupun mekap atau kosmetik dan minyak wangi masih dikenakan GST, wanita Malaysia tidak patut bimbang kerana dengan cukai baharu itu, harga produk kecantikan dan haruman itu sepatutnya lebih rendah berbanding sebelum pelaksanaannya.

Ikut kira-kira mudah jika sebelum ini kita membeli bedak kompak atau gincu yang dikenakan Cukai Jualan (SST) 10 peratus, tentulah harganya akan lebih murah selepas 1 April 2015 kerana GST yang dikenakan hanya 6 peratus.

Mungkin ada yang skeptikal dan merasakan walau apa pun, kuasa menetapkan harga di tangan peniaga. Akhirnya yang untung peniaga, dan yang menanggung beban kenaikan harga ialah pengguna.

Peniaga ada kuasa untuk menaikkan harga. Namun kita sebagai pengguna juga mempunyai kuasa untuk menyemak harga dan melaporkan penyelewengan atau pencatutan jika ada kepada pihak berkuasa.

Sebagai pengguna bijak, kita boleh sahaja menyemak se­narai barangan yang tidak dikenakan GST, mempersoalkannya jika ada peniaga yang masih menaikkan harga barangan berkenaan, atau jika enggan ‘bertekak’ memilih untuk tidak membeli daripada peniaga terbabit.

Sebagai pengguna yang lebih bijak, kita boleh memuat turun aplikasi MyKira GST yang disediakan secara percuma oleh Kastam ke dalam telefon bimbit dan menyemak harga setiap kali kita berbelanja. Aplikasi mudah ini membolehkan kita sebagai pengguna memasukkan maklumat barang untuk disemak harga semasa sama ada lebih tinggi daripada harga sebelum GST.

Dan lebih baik lagi, aplikasi cerdik ini membolehkan kita sebagai pengguna membuat aduan serta-merta sekiranya pekedai atau peniaga telah mengenakan caj berlebihan atau menaikkan harga sewenang-wenangnya atas alasan pelaksanaan GST.

Dengan aplikasi ini, pengguna sebenarnya mempunyai cara yang mudah untuk mengetahui sama ada mereka membayar lebih untuk sesuatu barangan itu berbanding sebelum GST dilaksanakan.
Pokok pangkalnya di tangan kita. Mahu menjadi pengguna bijak atau sebaliknya.

Sumber: Utusan

Aplikasi MyKira banding 
harga sebelum, selepas GST

Orang ramai yang mahu membuat perbandi­ngan harga barang sebelum dan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kini boleh berbuat demikian dengan mudah dan pantas menggunakan sistem aplikasi telefon mudah alih, MyKira GST.

Menteri Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, aplikasi yang dibangunkan pihak­nya dengan kerjasama MIMOS Bhd. dapat menyediakan kemudahan kepada pengguna untuk memban­dingkan harga barang selepas pelaksanaan GST pada 1 April 2015 ini.

Beliau berkata, antara ciri utama aplikasi tersebut ialah orang ramai dapat menyemak lebih 10,000 harga barangan yang berada di pasaran dan pada masa sama, pengguna juga boleh terus membuat aduan dengan menggunakan e-aduan yang terdapat dalam aplikasi terbabit.

“Menerusi MyKira pengguna yang kurang pasti harga sesuatu barang sebelum dan selepas GST boleh membandingkannya melalui aplikasi ini dengan hanya menggunakan tiga langkah sahaja dan sistem ini akan memberitahu julat harga sesuatu barang terbabit, sekiranya tiada masalah sistem ini akan menunjukkan tanda bagus.

“Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan sistem ini untuk terus melaporkan kepada Pusat Gerakan Anti Pencatutan (PGAP) sekiranya peniaga terbabit mengambil keuntungan secara berlebihan,” katanya.

Menurut Hasan, buat masa sekarang sistem tersebut boleh dimuat turun menggunakan aplikasi Android sahaja, manakala aplikasi iOS hanya dapat dimuat turun selepas Rabu 1 April, 2015 ini.

Dalam pada itu, Hasan berkata, pusat gerakan tersebut akan beroperasi selama 24 jam setiap hari bagi menerima aduan harga barang melalui telefon, saluran e-aduan dan media sosial selain pemantauan melalui siaran televisyen.

Katanya, pengguna yang mempunyai aduan boleh menghubungi terus talian hotline 1-800-886-800 atau talian 03-88826245 atau 03-88826088 dan setiap aduan akan direkod serta disalurkan kepada pegawai kementeriannya untuk diambil tindakan.

Hasan berkata, mana-mana peniaga yang didapati bersalah bakal didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kita tidak akan bertolak ansur lagi selepas ini terhadap mana-mana peniaga yang degil kerana kerajaan sudah melakukan penerangan melalui pelbagai media masa dan mustahil mereka tidak tahu, oleh itu saya nasihatkan penggguna supaya membuat aduan kepada kita untuk diambil tindakan.

“Sekiranya kesalahan dilakukan sangat berat mereka boleh didakwa di mahkamah khas jenayah yang ditubuhkan di lima zon iaitu di kawasan utara, selatan, timur, tengah serta Sabah dan Sarawak untuk diadili,” katanya.

Sumber: Utusan

0 comments: