02 April 2015

Penduduk Flat Masih Mentaliti Seperti Setinggan



“Walaupun sudah berpindah tinggal di rumah flat, hakikatnya mereka tidak pernah meninggalkan gaya dan cara hidup seperti di setinggan.” Itulah luahan seorang juruteknik yang berpeluh-peluh mengutip sampah sarap yang tersangkut pada ruang antara jaring besi dan dinding lif.

Ujarnya, lif tersebut langsung tidak boleh berfungsi dan masalah itu bukan berpunca daripada masalah teknikal atau kualiti, tetapi sikap segelintir penduduk di rumah berkenaan. Lelaki yang enggan dikenali itu berkata, pembaikan tersebut hanya dibuat setelah sekian lama.

“Kami baru dipanggil untuk membaiki lif ini. Tetapi jika melihat kepada keadaannya ia telah lama rosak.


“Setiap lif mempunyai batang rod dengan jangka hayat paling kurang tiga tahun dan pembaikan perlu dibuat dari semasa ke semasa sepanjang tempoh tersebut apatah lagi lif ini berfungsi untuk jumlah penduduk yang agak ramai dan pelbagai ragam,” katanya sambil menunjukkan bahagian dalam dinding lif yang pecah disebabkan hentakan kuat seperti pergaduhan.

Dia tidak menolak kemungkinan kerja-kerja pembaikan tersebut hanya diminta setelah pihak pengurusan mampu membayar kos membaik pulih.

Sementara kerja membaiki dijalankan, dua lif lain diserbu oleh kanak-kanak yang baru pulang dari sekolah, penjawat awam dan swasta serta penghuni lain di blok 2, rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mentari, Petaling Jaya.


Dinding bangunan turut menjadi tempat melempias sikap vandalisme.

Salah seorang penduduk, Muhd. Zulhafez Ibrahim, 23, berkata, dia menetap di situ selama lima tahun hanya kerana mendapat rumah sewa di tingkat empat.

“Lif adalah isu besar di rumah PPR kerana sering rosak disebabkan vandalisme dan kekerapan penggunaan untuk membawa ratusan penghuni turun naik sehari. Saya menetap di sini kerana rumah saya berada di tingkat empat dan jika lif tidak berfungsi saya masih larat untuk menaiki tangga.

“Sebelum ini saya tinggal di Bukit Beruntung dan berpindah ke sini kerana lebih dekat untuk ke tempat kerja di tol Lebuh raya Baru Pantai,” katanya sambil tersenyum sinis.

Muhd. Zulhafez mengakui, tidak ramai yang sanggup menggunakan tangga meskipun mereka tinggal di tingkat lima dan ke bawah kerana faktor bau dan keadaannya yang menjijikkan.

Lebih malang, ada segelintir penduduk masih jahil dengan menjadikan sudut-sudut tangga sebagai ‘tandas awam’ tanpa rasa malu.

Setiap hari, sisa buangan pasti dilihat di kawasan tangga dan terpaksa dibersihkan oleh tukang cuci yang dibayar oleh pihak pengurusan.

Di kawasan legar bawah bangunan pula sekujur tubuh lelaki dalam lingkungan 50-an terdampar dengan keadaan tangan mendepa. Sesekali dia menggerakkan badan apabila bunyi bising enjin mat rempit menendang gegendang telinganya. Apabila ditanya keadaan penghuni yang lalu lalang, mereka memberitahu lelaki tersebut sedang mabuk arak.

Berdiri di tingkat 11, paling tinggi, memberikan secebis pemandangan ghetto rumah PPR blok 2 itu. Setiap inci dinding rumah diconteng dengan perkataan-perkataan lucah dan ada yang menggunakannya untuk ‘mengiklankan diri’. Ternyata bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan tidak dihargai dan dijaga dengan rasa bertanggungjawab.

Persekitaran yang terasing dengan masalah sosial dan vandalisme itu memperlihatkan mentaliti segelintir penduduk rumah PPR itu masih berada pada kelas ketiga walaupun negara giat memperbaiki mutu pembangunan demi mencapai wawasan 2020.

Menurut Pengurus Pengurusan Blok, Mohamad Tarmizi Mohamad Salleh, 39, masalah-masalah yang melibatkan kemudahan tidak dapat dibendung kerana sikap enggan bertanggungjawab lebih 50 peratus penghuni daripada jumlah kira-kira 780 unit tidak membayar kos pengurusan sebanyak RM45 sebulan.

Kondusif


Beberapa orang juruteknik bertungkus-lumus membuang sisa sampah yang terkumpul di bahagian bawah dan tepi lif.

“Bukan mudah bagi pihak pengurusan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif sekiranya bayaran bulanan serendah itu sukar dibayar oleh kebanyakan penduduk terutama penghuni di blok 2 ini yang mempunyai jumlah tunggakan RM1.6 juta sejak PPR ini dihuni sejak sedekad lalu.

“Kami tidak ada masalah untuk membaiki kerosakan kecil seperti lampu-lampu blok, suis, bumbung dan sebagainya. Tetapi untuk membaiki lif memerlukan kos yang tinggi mencecah ribuan ringgit,’’ jelasnya yang telah menjaga unit pengurusan di kawasan itu selama 12 tahun.

Mengulas lanjut, unit pengurusan itu bukan sahaja mengumpul yuran bulanan untuk kerja-kerja pembaikan bangunan tetapi juga bil-bil semasa seperti air dan elektrik. Kewangan diuruskan mengikut keperluan utama penduduk merangkumi blok 1 hingga blok 8.

“Pihak kami akan menjelaskan bil air dan elektrik manakala kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan sekiranya ada lebihan bajet.

“Disebabkan itu, ada penghuni yang tidak pernah mengabaikan pembayaran pengurusan mengamuk di unit ini gara-gara mereka terpaksa memikul bahana sikap pentingkan diri penduduk yang lain,” jelasnya sambil menuding ke arah bumbung penjalan kaki yang terbiar bocor.

Jelasnya lagi, tindakan tidak dapat diambil kepada penghuni yang tidak bertanggungjawab kerana Badan Pengurusan Bersama (JMB) tidak ditubuhkan oleh blok-blok tersebut. Hanya dua blok iaitu blok 3 dan 7 mempunyai JMB yang telah diluluskan, selebihnya masih dalam proses pemilihan.

Ironinya, PPR Desa Mentari yang mempunyai jumlah keseluruhan 11 blok dan dibahagikan kepada tiga kawasan, blok 11 didapati bersih dan terurus tanpa sebarang masalah kemudahan termasuklah lif yang berfungsi baik. Mohamad Tarmizi memberitahu, lebih separuh unit rumah tersebut dibeli oleh golongan muda yang baru membina kerjaya dan tanggungjawab komuniti difahami dengan baik.

Sementara itu, sebanyak 70 peratus penghuni di blok 2 pula merupakan kumpulan pemindahan rumah setinggan, yang sebelum ini tidak perlu membayar duit rumah selain terpaksa mengeluarkan bayaran bulanan selain bil-bil semasa.


Kaunter pusat pengurusan terbiar tidak mempunyai pelanggan kerana kebanyakan penghuni enggan membayar wang bulanan di PPR Desa Mentari, Petaling Jaya.

“Sementara itu segelintir penduduk di sini tidak menjaga keharmonian komuniti kerana dipaksa berpindah dari tempat yang lebih murah kos sara hidup dan seolah-olah pihak bertanggungjawab perlu memberi kelebihan kepada mereka. Semua ini berlaku kerana sikap dan mentaliti individualis di sini,” jelasnya.

Sementara itu, keadaan PPR di Pantai Dalam, Kuala Lumpur mempunyai pandangan persekitaran yang berbeza. Taman permainan dan gelanggang sukan terjaga. Di penempatan itu juga kemudahan-kemudahan seperti kedai 1Malaysia dan klinik 1Malaysia dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Masalah di PPR ini hanyalah masalah gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah dan sikap segelintir penduduk yang tidak menjaga kebersihan. Kadangkala pada waktu malam ada kelompok yang melepak di tangga merosakkan diri dengan dadah dan pada waktu siang pemandangan plastik-plastik sampah ditinggalkan di hadapan lif yang rosak adalah sesuatu yang normal.

“Keadaan seperti inilah yang mencacatkan suasana harmoni rumah PPR. Bagaimanapun, semangat gotong-royong dan persaudaraan sesama jiran tetangga tidak dapat disangkal. Setiap majlis perkahwinan atau keraian di sini pasti akan dijalankan dengan penuh meriah,” jelas Asari Kornain berusia 52 tahun yang telah menetap di situ lebih 5 tahun.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

0 comments: