16 April 2015

Bahaya Mendiagnosis Diri Sendiri



MERAWAT sendiri ditakrifkan sebagai pemilihan dan penggunaan ubat-ubatan oleh individu (atau ahli keluarga individu) untuk merawat keadaan atau mengenal pasti sendiri gejala sakit atau diri sendiri mendiagnosis penyakit.

Merawat sendiri adalah perkara biasa di negara-negara membangun seperti Filipina, Indonesia dan Afrika di mana rakyatnya tidak mahu bertemu doktor bagi mendapatkan rawatan dan trend ini mula mening­kat di Malaysia.

Ini tidak menghairankan kerana bagi mereka yang merawat sendiri adalah untuk menjimatkan kos di samping dapat mengurangkan beban kerajaan dalam menanggung kos perubatan yang semakin meningkat.


Mereka yang berpendidikan juga boleh dengan mudah terjebak ke dalam kebiasaan buruk ini dengan menetapkan untuk merawat diri sendiri. Keadaan ini diburukkan lagi dengan mudah di mana mereka boleh mendapatkan ubat-ubatan di kaunter di farmasi tanpa preskripsi.

Walau bagaimanapun, rawatan ubat sendiri adalah jauh daripada amalan yang benar-benar selamat, khususnya dalam hal yang tidak bertanggungjawab dalam rawatan ubat sendiri seperti penyalahgunaan dadah.

Banyak keburukan yang akan timbul daripada tindakan ini ditambah lagi dengan kaedah-kaedah terbaru di mana pesakit boleh mendapatkan ubat atas kaunter yang dijangka semakin bertambah serta kaedah secara atas talian (online) atau pengeposan ubat terus ke rumah.

Potensi risiko amalan rawatan sendiri termasuk salah mendiagnosis sendiri penyakit seperti demam denggi disangka demam biasa, serangan jantung disangka sakit perut biasa dan serangan angin ahmar disangka sakit kepala biasa.

Kelewatan dalam mendapatkan nasihat perubatan apabila diperlukan akan menyebabkan penyakit tersebut menjadi serius dan kadangkala sukar dirawat serta menimbulkan komplikasi dan juga kematian.

Kesan sampingan yang teruk selalunya jarang berlaku jika mendapat nasihat doktor seperti ubat tahan sakit, ubat cirit, ubat muntah yang mudah didapati mungkin akan mengalami kesan bengkak seluruh badan, kegatalan, sesak nafas dan luka dalam perut yang memerlukan doktor untuk memulihkan tanda-tanda tersebut.

Pergantungan (ketagihan) dan penyalahgunaan ubat seperti ubat selesema (yang mudah didapati di atas kaunter) yang diolah sendiri untuk mendapat kesan khayal dalam kalangan penagih dadah juga mungkin berlaku.

Pilihan rawatan yang tidak betul mungkin berlaku apabila pesakit mengubah rawatan kepada ubat yang lebih murah tanpa menyedari ubat tersebut tidak memberi kesan yang sama malahan kurang kesan daripada ubat sebenar.

Ini akan menyebabkan pesakit kronik kencing manis mendapat komplikasi kerosakan buah pinggang, pesakit darah tinggi mendapat komplikasi serangan angin ahmar dan pesakit tinggi kolesterol mendapat serangan jantung dengan mudah kerana tiada seliaan berkala daripada doktor.

Ini adalah satu amalan yang amat berbahaya. Orang ramai harus sedar keadaan ini serta memastikan mendapat rawatan sepatutnya dengan pergi ke hospital atau klinik kerajaan, hospital swasta atau klinik swasta.

Jangan kerana hendak menjimatkan wang akhirnya menyebabkan anda menanggung kos yang lebih tinggi di kemudian hari untuk merawat komplikasi atau kecacatan yang mungkin terjadi atas tindakan anda sendiri.

NORZAIDI ZAKARIA
Ketua Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM) Selangor.
Sumber: Utusan

0 comments: