23 April 2015

Suami Ketua Pemandu Keluarga



Orang yang cepat sampai ke destinasi ialah orang yang apabila memandu kenderaannya, dia fokus pada pemanduan dengan tumpuan memandang ke hadapan bagi mengelak halangan. Demikianlah dalam sebuah rumah tangga, suami yang memandu atau menjadi nakhoda rumah tangga mesti fokus.

Pada pemikiran/minda dan hati/emosi suamilah letaknya hala tuju keluarga yang dibina. Suamilah yang merancang “corak atau bentuk kehidupan” (life by design) segala yang diingini dalam keluarganya di dunia dan di akhirat.

Sebagai pemandu, keyakinan diri ketika pemanduan amat penting. Begitulah juga sebagai suami yang memimpin dan memandu keluarganya, mesti mempunyai keyakinan yang tinggi. Sebagai pemandu, mesti fokus, cuma sekali-sekala sahaja dia boleh memandang ke belakang dengan menggunakan cermin pandang belakang, bagi melihat kalau-kalau ada ancaman yang sedang mengejarnya.


Bagi orang yang asyik melihat pada cermin pandang belakang, kerana dibayangkan ancaman yang sentiasa mengejarnya, akan lambat sampai destinasi, dan silap-silap gaya mungkin terus tidak sampai ke tujuan destinasi. Ertinya orang yang asyik dibayangi masa silamnya dan ketakutan halangan yang mengejarnya dari belakang biasanya akan lambat sampai ke arah tujuan destinasi hidupnya.

Isteri pula berperanan sebagai pembantu pemimpin atau pemandu rumah tangga. Isteri mesti sentiasa di sisi suami, bagi membantu suami memimpin dan memandu keluarganya, sebagaimana yang ingin dibentuk atau dicorakkan oleh suami. Antara suami dengan isteri ada tanggungjawab yang tersendiri dan mesti tahu melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Ibarat memandu kereta, seorang sahaja yang memberikan tumpuan kepada pemanduan menuju destinasi. Bayangkan apa yang akan terjadi, andainya suami dan isteri sama-sama berebut hendak memandu? Dapatkah kita menuju ke destinasi yang menjadi hala tuju atau kita tidak dapat fokus menuju matlamat destinasi? Contohnya, isteri minta berhenti di sini, suami pula mahu meneruskan destinasi, atau si suami mahu membelok ke kanan dan si isteri pula minta membelok ke kiri. Tentunya akan menjadi huru-hara?

Dalam pemanduan menuju ke destinasi ini, suami isteri mesti sama-sama memberikan tumpuan pandang ke hadapan menuju destinasi. Maksudnya, kalau kita asyik melihat antara satu sama lain, kita akan mula nampak atau ternampak kekurangan masing-masing. Mulalah nampak perkara-perkara kecil yang menjadi kekurangan; kulit hitam, muka banyak jerawat, rambut beruban, perut buncit, badan gemuk dan sebagainya yang negatif tentang pasangan kita.

Tetapi, kalau kita fokus pada perkara yang besar dan lebih penting, yakni tentang hala tuju keluarga, maka perkara-perkara kecil itu tidak menjejaskan apa-apa pun dari segi hubungan dan perasaan. Tetapi, kalau kita sibuk dengan perkara yang kecil-kecil dan remeh-temeh, akhir perkara itu menjadi besar dan mendatangkan kesan yang besar.

Manusia mempunyai pelbagai ragam perangai, demikian juga suami yang diamanahkan sebagai ketua keluarga. Sikap seorang ketua/suami sebagai pemandu keluarga pula ada pelbagai jenis.

Pertama, ketua yang tahu memerintah sahaja dan terlampau mengawal atau memantau. Kalau sebagai suami, dia tidak memerdekakan isterinya. Isteri tidak akan berasa seronok hidup dengannya dan sentiasa takut; suka kalau suami tiada bersamanya dan susah hati kalau suami ada bersamanya.

Kedua, ketua yang serah sahaja kepada orang bawahannya. Kalau sebagai suami, dia terlampau serahkan kepada isteri, malah semua tanggungjawab itu diletakkan di bahu isteri.

Ketiga, ketua yang bekerja sama. Kalau sebagai suami, dia seorang suami yang bertolak ansur dan sangat memahami perasaan isterinya.

Implikasi daripada ketiga-tiga sikap ketua/suami ini ialah, untuk sikap yang pertama dan kedua sebagai isteri kita akan penat. Penat sebab apabila suami terlalu kawal dan memerintah sahaja, isteri akan berasakan dirinya tidak dihormati. Sikap ketua/suami yang kedua, semua serah kepada isteri, isterinya juga akan penat, kerana semua hal keluarga menjadi tanggungjawabnya, dan suami boleh lepas tangan.

Lebih malang lagi apabila berlaku masalah atau kegagalan dalam pelaksanaan sesuatu perancangan dalam keluarga, isteri dipersalahkan dan suami tidak langsung mengambil tanggungjawab. Sikap yang paling bagus sebagai ketua/suami adalah sikap yang ketiga, iaitu bekerjasama antara suami dengan isteri dalam merancang, melaksanakan, dan menyelesaikan, jika ada permasalahan dalam menakhodai bahtera rumah tangga.

Zaman sekarang, ramai suami yang sayang isteri tetapi tidak hormat isteri. Hendak tahu suami hormat atau tidak kepada isteri; pertama, lihat reaksi suami ketika berada di samping isteri. Kalau isteri bercakap dia mendengar, yakni menjadi pendengar yang baik, bukan mematahkan cakap isteri atau langsung tidak memberi peluang kepada isteri bersuara, maka dia ialah suami yang baik.

Kedua, kalau apa-apa yang suami hendak buat, dia akan minta pendapat isteri dan mendengar serta hargai pandangan isteri, macam suami mendengar dan menghormati ketuanya bercakap di pejabat, memang dia seorang suami yang bukan hanya sayang akan isterinya, tetapi menghormati isterinya.

Ingatlah, tindakan menggambarkan pemikiran, emosi dan sikap kita. Sebab formula konsep pemikiran “Reset Minda” fikiran yang baik menghasilkan emosi yang baik – emosi yang baik menghasilkan tindakan yang baik – tindakan yang baik memberikan hasil kehidupan yang baik (4K = Ketenangan, Kebahagiaan, Kesihatan dan Kekayaan) Melihat cara suami melayani isterinya, kita sudah tahu macam mana keadaan isteri dan sikap anak-anaknya. Suami adalah cerminan untuk isteri dan anak-anaknya.

Oleh sebab itu kena ‘celik mata hati’ dan ‘celik jiwa’, ‘celik minda’, dan ubah cara berfikir. Sebagai suami kena jelas ke mana hala tuju keluarganya yang hendak dibawanya. Di mana kita bermula tidak penting, tetapi di mana kita berakhir itulah yang penting.

Jangan terfikir kita sudah tua dan terlambat hendak memulakan kehidupan yang baharu, untuk berubah daripada amalan hidup negatif kepada hidup yang positif. Untuk tujuan hidup sejahtera di dunia dan di akhirat, kita perlu mendidik anak-anak kita menjadi anak soleh dan solehah yang menjadi pencen kubur kita.

Suamilah yang membentuk sebuah rumah tangga yang berjaya dalam hidupnya, baik di dunia mahupun di akhirat. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

JOM AUDIT DR. MUHAYA MUHAMAD
Sumber: Utusan

0 comments: