28 April 2015

Urusan Haji Di Malaysia



Lapan aktiviti utama

Pengurusan haji di tanah air yang melibatkan bakal haji secara langsung dapat dirangkum dalam lapan aktiviti utama, iaitu pendaftaran, pemilihan kelayakan, bimbingan, pemeriksaan kesihatan, pengurusan pasport, Surat Jadual Penerbangan, urusan visa dan operasi penerbangan haji.

Setiap rakyat Malaysia yang hendak mengerjakan haji hendaklah terlebih dahulu mendaftar dengan Tabung Haji (TH). Untuk mendaftar, mereka perlu mempunyai deposit dengan amaun minimum RM1,300. Pendaftaran boleh dibuat sama ada dengan datang ke kaunter-kaunter TH, Bank Islam, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia atau Maybank Islamic di seluruh negara. Selain secara online di alamat www.tabunghaji.gov.my atau melalui mesin ATM di ketiga-tiga bank tersebut.


Pemilihan bakal haji tahun semasa dibuat berdasarkan yang mendaftar dahulu, didahulukan. Bagi jemaah yang telah terpilih untuk ke Tanah Suci pada tahun semasa, surat tawaran terpilih akan dihantar oleh TH kepada mereka berasaskan alamat yang ada pada rekod pendeposit TH. Maka, amatlah penting mengemaskini alamat setiap kali berubah.

Apabila mendapat surat tawaran terpilih, bakal haji hendaklah mencukupkan wang bayaran haji dan menyatakan persetujuan mereka secara rasmi kepada TH dalam tempoh masa yang dinyatakan dalam surat tawaran itu. Sekiranya lambat menyatakan persetujuan, maka mereka dikira menolak tawaran menunaikan haji pada tahun semasa. Mereka juga perlu mendapatkan Buku Rekod Rawatan perubatan dari TH.

Tiga Peringkat Kursus

Bakal haji yang telah terpilih akan dipanggil untuk mengikuti tiga peringkat kursus haji yang dianjurkan TH, iaitu Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Perdana Haji.

Seterusnya mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital atau pusat-pusat kesihatan kerajaan yang disenaraikan atau panel terpilih TH. Setiap bakal haji perlu lulus saringan fizikal dan mental serta perlu mendapatkan suntikan vaksin Meningitis Meningococcal ACYW-135, sebelum visa haji diuruskan untuk membolehkan mereka berlepas menunaikan haji.

Untuk urusan visa, bakal haji perlu menyediakan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA). Yang telah ada PMA, pastikan tempoh sah lakunya tidak kurang enam bulan dari tarikh 15 Muharam tahun berikutnya dan mesti terdapat empat muka surat kosong secara berturutan, sebelah-menyebelah. Bagi yang belum mempunyai PMA, mereka hendaklah berurusan terus dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang berdekatan atas tanggungan sendiri.

Bakal haji juga perlu memastikan tiada larangan untuk mereka ke luar negara. Bakal haji sendiri hendaklah membuat semakan senarai syak (halangan meninggalkan Malaysia) yang boleh dibuat di mana-mana pejabat JIM atau melalui Sistem Aplikasi Elektronik JIM.

Mahram

Bakal haji wanita yang berumur 44 tahun dan ke bawah perlu mempunyai muhrim/mahram lelaki mengiringinya. Dokumen-dokumen yang mengesahkan hubungan (muhrim) hendaklah disediakan dengan pengesahan tertentu. Maklumat lengkap boleh diperoleh dari pejabat-pejabat TH atau dengan melayari laman web TH.

Setelah memenuhi syarat-syarat pemeriksaan kesihatan, pasport, larangan meninggalkan negara, serta keperluan mahram seperti di atas, Buku Rekod Rawatan, pasport, dokumen-dokumen serta foto (berukuran 4x6cm, berlatar belakang putih) hendaklah dibawa ke Pejabat Cawangan TH terdekat.

TH akan menetapkan tarikh melapor diri untuk berangkat dengan menghantar Surat Jadual Penerbangan (SJP) secara berperingkat. Status ini juga boleh diketahui dengan menghubungi pejabat TH berhampiran atau TH Contact Centre di talian 03-6207 1919.

Bakal haji akan berlepas ke Tanah Suci secara berperingkat mulai 1 Zulkaedah hingga 3 Zulhijah pada tahun semasa. Bakal haji hendaklah melaporkan diri sepertimana lokasi, tarikh dan masa yang dinyatakan dalam SJP yang telah dihantar kepada mereka.

Oleh: DATUK AHMAD RUZMAN AHMAD RAZALI
Sumber: Utusan

0 comments: