27 April 2015

Penganjuran Hiburan Wajar Patuhi Garis Panduan JAKIM


~ Gambar Hiasan ~

GARIS panduan hiburan dalam Islam edisi kedua yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi laman web rasminya baru-baru ini dilihat sebagai langkah yang cukup berani dan wajar diberikan penghargaan.

Umum mengetahui dunia hiburan tanah air berkembang begitu pesat terutamanya apabila mula berlaku budaya meniru gaya hidup dan hiburan Barat yang terlalu bebas dan jauh tersimpang daripada ajaran agama Islam. Ini juga banyak mengancam dan mencabar budaya Timur yang kita hayati selama ini.

Akibatnya pelbagai masalah sosial mula melanda masyarakat kita yang dilihat semakin taksub dengan budaya Barat.


Pergaulan tanpa batas antara lelaki dan perempuan, pakaian yang menjolok mata serta pelbagai aksi dan gaya yang bertentangan dengan norma hidup, budaya dan ajaran agama dalam dunia seni dan hiburan orang Barat mula mencengkam masyarakat terutamanya remaja dan belia.

Maka tindakan Jakim mengeluarkan garis panduan ini tepat pada masanya demi menyelamatkan masyarakat kita daripada terus hanyut dengan pelbagai budaya yang kurang sihat dan tidak menepati ajaran Islam.

Garis panduan ini dikatakan diperakui oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-107 yang berlangsung pada Februari 2015 lalu dan adalah edisi kedua di mana sebelum ini pada 2007 Jakim mengeluarkan garis panduan edisi pertama.

Antara objektif utama garis panduan ini adalah memberi panduan kepada pihak yang terlibat untuk berkarya tanpa melepasi batasan syarak, membantu penganjur dan pihak penerbit dalam menyusun program yang mengandungi aspek hiburan sejajar dengan didikan Islam dengan mengambil kira keperluan masyarakat, bangsa, agama dan negara, membantu pihak berkuasa memastikan penganjuran program hiburan dalam bentuk tontonan terpimpin kepada masyarakat secara umumnya berteraskan akidah, syariah dan nilai-nilai akhlak serta memupuk kefahaman dalam kalangan masyarakat awam mengenai bentuk hiburan yang dianjurkan dalam Islam.

Semua objektif ini cukup komprehensif merangkumi keseluruhan aktiviti hiburan di negara kita. Dalam hal ini aspek yang paling penting adalah membabitkan pihak yang menganjurkan sesuatu program mahupun pihak penerbitan serta individu artis ataupun penggiat seni itu sendiri.

Dua pihak yang terlibat secara langsung ini perlu memahami, menghayati sekali gus membudayakan garis panduan yang disediakan supaya kita boleh mengelak sebarang bentuk kontroversi mahupun provokasi yang tidak sihat dalam masyarakat.

Hal ini penting kerana dua pihak inilah menjadi pemain dan pemegang watak utama dalam industri seni dan hiburan tanah air.

Pihak penganjur misalnya perlu menerima kenyataan bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara ini di mana majoriti penduduk negara ini ialah penganut agama Islam maka sudah tentunya kita perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam secara keseluruhannya sebelum kita ingin menghasilkan sesebuah karya mahupun menganjurkan sesebuah program untuk tontonan awam.

Menurut garis panduan ini pula, pihak penganjur perlu memberi penekanan kepada beberapa aspek penting dan asas seperti sejauh mana program ini akan memberi manfaat dan membawa kesejahteraan kepada masyarakat, kesesuaian lokasi program, masa dan hari yang bersesuaian yang tidak menyentuh sensitiviti ajaran Islam dan masyarakat serta perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa.

Dan perkara yang lebih penting dalam sesuatu program mahupun persembahan seni pentas ialah pihak penganjur dan penerbit perlu mengelak unsur-unsur seperti, ritual, tanda atau simbol yang bertentangan dengan ajaran Islam, perbuatan yang diharamkan dalam Islam atau maksiat serta perkara yang boleh mendorong kepada keadaan itu, keadaan yang membawa kepada gangguan ketenteraman awam, acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan semasa mengadakan latihan, percampuran antara lelaki dan perempuan dalam kalangan penonton dan pembaziran dalam penganjuran sesuatu program.

Pihak penganjur mahupun penerbit juga perlu memastikan agar penonton tidak disajikan dengan plot penceritaan yang tidak melampaui batas serta tidak mengandungi unsur pendustaan pada sesuatu fakta, kata-kata kesat, lucah atau fitnah dan sudah semestinya tidak mengandungi unsur yang menimbulkan penghinaan terhadap mana-mana individu atau organisasi.

Satu lagi watak penting dalam hal ini ialah individu artis itu sendiri. Trend semasa menunjukkan selebriti mempunyai aura dan pengaruh yang cukup besar dalam kalangan remaja dan belia negara kita.

Apa saja yang disebut, dipakai mahupun dilakonkan oleh artis kegemaran mereka akan menjadi ikutan dan gaya hidup anak muda kita. Maka andai artis ini gagal memberikan contoh yang baik maka hancurlah sebuah generasi yang akan hanyut dengan pelbagai ajaran dan budaya songsang dan tidak sihat.

Maka kita berharap baik penyanyi, penari mahupun pelakon akan memberi perhatian serius kepada garis panduan ini. Antara lain garis panduan ini memberi fokus utama kepada aspek keperibadian dan penampilan artis yang wajar dipatuhi.

Hal ini cukup signifikan untuk kita fahami kerana artis pada hari ini seolah-olah memegang dua watak yang jauh berbeza apabila kita membandingkan karakter dan keperibadian mereka ketika dalam sesuatu persembahan dengan waktu di luar persembahan.

Dan kita juga mutakhir ini terus didedahkan pelbagai kesalahan jenayah membabitkan beberapa orang artis terutamanya penglibatan dalam gejala najis dadah.

Apakah kita mahu anak muda juga terikut-ikut dengan budaya seperti ini? Walaupun kita akui bukan semua artis begitu namun tindak tanduk segelintir artis dilihat memberikan imej negatif kepada keseluruhan artis dalam industri seni dan hiburan tanah air.

Hakikatnya, garis panduan yang lengkap sudahpun ada. Jakim sebagai pihak berkuasa agama sudahpun menjalankan tanggungjawab mereka dengan menyediakan garis panduan ini.

Maka persoalannya sekarang sejauh mana pemain industri seni dan hiburan tanah air akan mematuhi garis panduan terbabit?

Hal ini penting kerana tiada gunanya kita menyediakan pelbagai peraturan dan garis panduan andai akhirnya tiada siapa yang memantau, menguatkuasakan mahupun mematuhinya.

Justeru kita berharap pihak Jakim selepas ini akan memantau serta menguatkuasakan garis panduan ini dengan tindakan-tindakan yang lebih agresif dan proaktif.

Oleh: NOOR MOHAMAD
SHAKIL HAMEED
Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sumber: Utusan

0 comments: