Nuff Atas

31 Mei 2015

Corak Unik Daun Caladium Aaron


Letakkan bekas tanaman di tempat teduh serta sejuk seperti di bilik mandi bagi menyediakan persekitaran yang sesuai untuk mempercepatkan pertumbuhan akar anak pokok yang baharu.

SPESIES Caladium Aaron dari keluarga tumbuhan Araceae cantik sekali ditanam sebagai tanaman hiasan kerana berdaun dengan corak yang begitu unik dan menarik sekali. Corak pada daunnya itu sangat menarik dengan tulang dan urat daunnya berwarna hijau muda keputihan atau dalam istilah Inggerisnya dikenali sebagai Variegated.

Keseluruhan bahagian tengah daunnya juga berwarna hijau muda keputihan dengan dikelilingi warna hijau tua di bahagian tepinya. Pokok keladi ini juga dikenali sebagai Caladium Halfmoon atau bermaksud keladi bulan separuh mungkin kerana bentuk dan corak pada daunnya seperti yang tersebut di atas. Pokoknya cepat membentuk rumpun yang cantik jika diberi penjagaan yang diperlukannya.


Pembiakan dan penanaman: Ia senang dibiakkan menggunakan ubi yang banyak tumbuh di sekeliling ubi pokok induknya yang telah matang. Setiap butir ubi itu akan tumbuh menjadi pokok yang baharu.

Langkah Untuk Penanamannya:

1.Pisahkan butir ubi daripada induknya.

2.Tanam ubinya itu sedalam kira-kira satu inci sahaja dari permukaan medium tanamannya bagi memastikan sistem pengakarannya terbentuk dengan baik untuk pertumbuhan yang lebih subur.

3.Kemudian siram medium tanamannya dan jangan biarkan ianya kering kerana ini boleh membantutkan pertumbuhan akar anak pokok yang baharu.

4.Letakkan bekas tanaman di tempat teduh serta sejuk seperti di bilik mandi bagi menyediakan persekitaran yang sesuai untuk mempercepatkan pertumbuhan akar anak pokok yang baharu.

Selang beberapa minggu tunas serta daun anak pokok yang baharu akan mula tumbuh.

Pokok ini sesuai ditanam dalam campuran medium tanah yang kaya dengan humus. Medium tanaman untuk pokok berpasu dalam nisbah 3:2:1 (Tanah peroi:bahan organik:pasir sungai) adalah sesuai untuk penanamannya.

Langkah Penjagaan:

1. Dedahkannya kepada cahaya yang banyak untuk mendapatkan corak daunnya yang cantik dan menarik.

2.Siram medium tanamannya dua kali sehari pada hari panas untuk mengekalkan kelembapannya sentiasa. Semburkan daunnya untuk mengekalkan persekitaran yang agak lembap. Siram bila perlu sahaja pada hari hujan dan elakkan air bertakung dalam medium tanamannya kerana ini boleh menyebabkan pereputan pada bahagian bawah perdu pokok atau ubinya.

3. Pokok ini boleh diberikan sedikit pembajaan menggunakan baja organik seperti najis ayam atau baja kimia khas untuk pokok berdaun iaitu berwarna hijau. Elak menggunakan baja biji yang boleh melecurkan perdu atau dedaunnya jika terkena.

Idea Pameran:

1. Pokok keladi ini sangat menarik ditanam dalam pasu cantik sebagai pokok spesimen untuk pameran daunnya yang cantik dengan corak yang menarik.

2. Ia juga sesuai ditanam bersama dengan pelbagai pokok keladi lain untuk pameran satu kumpulan pokok dalam pasu besar.

3. Ia sesuai ditanam di atas tanah untuk hiasan landskap ala tropika dan sebagainya.

Tip Keselamatan:

Walaupun pokok ini cantik dan menarik tetapi keseluruhan bahagian pokoknya mengeluarkan getah yang beracun dan boleh menyebabkan kegatalan jika bahagian pokoknya seperti batang daun dan ubinya dipotong.

Sebaiknya pamerkan di kawasan yang jauh dari tempat lalu lalang orang ramai bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Namun, jika terkena getahnya segeralah basuh dengan air. Jika keracunan seperti tergigit dan sebagainya segeralah berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

Oleh: Oleh ABU BAKAR MAT DAUD
Kolumnis Laman, Seni Taman dan Landskap
Sumber: Kosmo

0 comments: