01 Jun 2015

Strategi Penerbit Buku Indie Terokai Pasaran



Nama-nama rumah penerbitan buku seperti Fixi, DuBook dan Terfaktab mungkin amat janggal di telinga orang 'lama' tapi tidak buat generasi muda di negara ini.

Menghidangkan bahan-bahan mengikut selera pembaca muda, rumah-rumah penerbitan ini menggunakan pendekatan yang lebih segar berbanding syarikat-syarikat perbukuan besar yang sudah lama bertapak di negara ini.

Rumah penerbitan 'indie' merujuk kepada tema 'independent' atau berdiri atas kaki sendiri, seperti sanggup bermula dengan modal kecil dan menggunakan platform 'kawan-kawan' sebagai medium pemasaran utama.


Pendekatan ini amat berbeza jika dibandingkan dengan pemain-pemain besar industri perbukuan yang punya sumber modal pusingan yang kukuh dan memiliki jaringan pemasaran yang luas seperti di kedai buku ternama.

Pengasas tiga rumah penerbitan indie paling berpengaruh negara ini baru-baru ini dikumpulkan atas satu pentas forum 'Penerbitan Buku Indie' yang berlangsung di Kuala Lumpur Trade and Copyright Centre 2015 pada 22 April, 2015.

PASARAN LUAS DI MALAYSIA

Pemilik syarikat Buku Fixi, Amir Muhammad yang baru pulang dari Pesta Buku London berkongsi fakta menarik yang beliau dapati daripada penerbit-penerbit buku di sana.

Kata beliau, penerbit-penerbit di London kebanyakannya mengeluh kerana jualan buku semakin merudum. Bagi mereka, jika sesebuah buku dapat dijual sebanyak 6,000 salinan, itu sudah cukup baik untuk membolehkan ia dicetak semula.

Berbanding dengan keadaan di Malaysia, meskipun sesebuah buku dapat dijual sehingga 10,000 salinan, belum tentu ia akan dimasukkan dalam senarai cetak semula oleh penerbit.

Tambah Amir, ramai orang Malaysia tidak menyedari bahawa pesta buku di negara ini amat meriah jika dibanding dengan negara lain di rantau ini.

Mengambil contoh pesta buku di Jakarta, Indonesia. Beliau berkata sewaktu beliau di sana, suasananya amat hambar, walaupun kotanya jauh lebih besar daripada Kuala Lumpur dan industri perbukuan di sana lebih besar berbanding negara ini.

Tambahnya lagi, struktur pasaran buku juga lebih mudah di Malaysia berbanding di Eropah kerana penerbit kecil juga berpeluang menempatkan diri dalam kedai-kedai buku utama seperti MPH.

JERAYAWARA JANA JUALAN TINGGI

Menurut Amir, 30 peratus daripada jualan buku syarikatnya dijana melalui jualan dalam penglibatan di jerayawara (road show) yang mereka sertai.

"Penjualan cara ini banyak kami lakukan di kampus-kampus universiti yang kami lawati. Ia adalah satu strategi penting kerana inilah kumpulan yang sama yang akan membeli buku kami di kedai buku setelah mereka tamat belajar dan bekerja nanti," jelas Amir.

Amir turut berkata walaupun jualan melalui cara ini tidak sentiasa memberi pulangan yang baik, dan adakalanya amat mengecewakan, ia perlu diteruskan kerana inilah cara mereka bertahan.

Menghadapi cabaran ini, Amir berkata beliau turut meletakkan fokus untuk memperkenalkan jenama Fixi selain menjadikan jumlah jualan buku sebagai tanda aras kejayaan kehadiran mereka di sesuatu lokasi.

Perkara ini dipersetujui Mutalib Uthman, Ketua Pegawai Eksekutif DuBook Press Sendirian Berhad yang berpusat di Bangi, Selangor.

Gerak kerja penerbitan 'indie' memerlukan mereka melakukan gerak kerja sendiri terutamanya aktiviti penjualan buku.

"Kita tak boleh bergantung sangat kepada kedai-kedai buku kerana untuk syarikat seperti kami, pengambilan peratusan 55 peratus keuntungan buku sebenarnya amat tinggi. Dalam erti kata lain, mereka menindas kami," jelas beliau.

Oleh itu, DuBook menumpukan penjualan melalui dalam talian dan jerayawara. Mereka turut menggalakkan penulis buku belajar menjual sendiri buku-buku tulisan mereka.

Antara kejayaan besar DuBook ialah sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 baru-baru ini yang mana mereka berjaya menjual 40,000 buku daripada 40 judul dalam masa 10 hari.

Ini adalah satu pencapaian di luar dugaan, memandangkan DuBook tidaklah tergolong dalam kumpulan penerbit-penerbit elit yang sedia mempunyai ratusan ribu pengikut setia.

SALING BANTU MENJUAL

Pengarah Urusan Terfaktab Media, Syazrul Aqram pula memberitahu antara budaya positif yang diamalkan rumah-rumah penerbitan indie adalah sikap saling membantu menjual buku terbitan syarikat lain.

Walaupun syarikat-syarikat ini kadangkala berbeza pendapat dalam beberapa perkara, mereka memahami bahawa mereka adalah pemain kecil dalam industri dan harus saling membantu untuk berjaya.

"Kalau anda ke reruai (booth) Fixi, anda boleh jumpa buku DuBook dan Terfaktab. Begitu juga bila anda ke reruai Terfaktab, anda boleh jumpa buku-buku daripada penerbit indie lain. Inilah cara kami berniaga. Yang untung akhirnya ialah pelanggan kerana mereka punya lebih pilihan buku untuk dibeli," kata Syazrul.

MEDIA SOSIAL BUKAN UNTUK PROMOSI BUKU SEMATA-MATA

Penggunaan platform media sosial amat penting buat penerbit-penerbit buku indie.

Menurut Mutalib, di laman sosial mereka seperti Facebook, Instagram dan Twitter digunakan bukan semata-mata untuk mempromosi buku baharu tetapi ia digunakan sepenuhnya untuk membina jenama DuBook itu sendiri.

"Kami berinteraksi dengan pelanggan. Apa yang penting, di sinilah kami bina imej DuBook. Kami bertegur-sapa, berbahas, dan kadangkala macam bergaduh pun ada tapi inilah yang membolehkan kami lebih mengenali para pembaca," kata Mutalib.

Amir pula percaya bahawa teknik pemasaran paling baik ialah bila sesuatu buku menjadi buah mulut para pembaca.

"Buku adalah sesuatu yang besifat peribadi. Pembaca tidak membeli semata-mata kerana terpengaruh dengan iklan di papan iklan tetapi bila ia dicadangkan oleh rakan karib mereka, penolakan jarang berlaku," kata beliau.

Buku Fixi mempunyai kira-kira 145,000 pengikut di Facebook, Instagram dan witter.

Untuk Terfaktab media, Syazrul memberitahu bahawa sebagai syarikat yang bermula dengan aktiviti penerbitan di blog, mereka mempunyai banyak ruang interaksi dengan para pembaca.

Dengan lebih 100,000 pengikut di Facebook, Instagram dan Twitter, Tefaktab berkata kos promosi dapat dikurangkan, memandangkan blog mereka mencatat jumlah pengunjung kira-kira 30 juta setiap bulan.

EKSPLORASI PASARAN DUNIA

Menurut Amir, landskap dunia perbukuan hari ini membolehkan sesebuah rumah penerbitan untuk memenuhi keperluan pasaran bahan terbitan untuk pelbagai jenis pasaran di seluruh dunia.

Fixi juga sudah berjaya menjual hak penerbitan dua buah bukunya kepada sebuah syarikat dari Indonesia, satu langkah yang akan diteruskan pada masa hadapan melalui penyertaan secara konsisten dalam pesta-pesta buku antarabangsa di seluruh dunia.

Amir juga sedang merancang sebuah projek antologi cerita-cerita dari sekitar Asia Tenggara yang akan dilancarkan pada bulan Jun ini.

Buku ini akan disiapkan dalam bentuk bercetak dan dalam bentuk ebook agar ia mudah dipasarkan ke seluruh dunia.

Buat DuBook Press, Mutalib tidak meletakkan sebarang had kepada sejauh mana syarikat itu akan berkembang.

Bagi beliau, DuBook boleh berkembang kepada syarikat rakaman ataupun memiliki syarikat penerbangan sendiri. Tetapi baginya apa yang penting sekarang ialah untuk membina jenama DuBook menjadi kukuh.

Seperti Fixi, DuBook juga sudah pun menyiapkan bahan terbitan buku bertemakan hak asasi manusia yang akan dijual pada Pesta Buku antarabangsa Frankfurt, Jerman, Oktober 2015 ini.

Manakala buat Syazrul, Terfaktab percaya bahawa industri penulisan akan terus dimeriahkan dengan penyertaan lebih ramai penulis daripada pelbagai latar belakang.

"Ramai yang mahu menulis di luar sana. Daripada para jurutera, guru hinggalah golongan pelajar masing-masing mahu menulis. Kita perlu cari mereka ini agar karya yang baik dapat terus diketengahkan untuk masyarakat," kata beliau.

Oleh Ali Imran Mohd Noordin
Sumber: BERNAMA

0 comments: