11 Mei 2015

Elak 
Kanak-Kanak Dijangkiti Bisul


Ajar anak-anak membasuh tangan dengan betul untuk menjaga kebersihan diri. Gambar hiasan

Bisul lazimnya menyerang golongan dewasa berbanding kanak-kanak, namun risiko untuk golongan kanak-kanak terkena bisul juga tinggi, malah memungkinkan komplikasi yang lebih buruk memandangkan kanak-kanak lebih terdedah kepada kekotoran.

Bisul merupakan kumpulan nanah yang berlaku di bawah kulit yang sangat menyakitkan akibat proses jangkitan, biasanya disebabkan oleh bakteria atau parasit.

Selalunya, masyarakat menganggap kelompang pada kulit yang berwarna kuning (nanah) adalah bisul, namun pengumpulan nanah boleh berlaku pada mana-mana tisu dalam tubuh seperti otak, hati dan ginjal.


Serangan Bisul

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn. Bhd., Dr. Zubaidi Ahmad, proses pembentukan nanah adalah salah satu proses tindak balas daya tahan melawan penyakit tubuh untuk menghalang penyebaran kuman terutamanya bakteria kepada bahagian tisu badan yang lain.

Ketika kuman telah memasuki tisu badan dan mula merosakkan sel-sel, sistem daya tahan tubuh akan dirangsangkan dan menyebabkan pembebasan cytokines (sejenis protein) ke dalam peredaran darah.

Katanya, cytokines akan menyebabkan tindak balas keradangan yang akan menarik jutaan sel-sel darah putih untuk datang ke bahagian tersebut bagi membunuh kuman-kuman di kawasan itu.

“Kuman dan tisu badan yang mati berkumpul dan membentuk nanah dan dalam pada masa yang sama, sel-sel sihat yang bersebelahan dengan kawasan tersebut akan membentuk dinding untuk menyekat nanah ini merebak ke tisu yang lain. Pengumpulan nanah dalam dinding inilah yang akan membentuk bisul,” katanya.

Bisul dan nanah boleh berlaku apabila kulit yang berminyak memudahkan lekatan habuk pada kulit dan menyebabkan liang peluh tersumbat. Peluh yang tidak dapat dikeluarkan akan menyebabkan kuman mudah menjangkiti akar rambut yang akhirnya membentuk nanah dan apabila berkumpul dengan lebih banyak menyebabkan bisul.

Jelas Dr. Zubaidi, nanah dan bisul juga boleh berlaku apabila permukaan kulit terkoyak akibat kecederaan terjatuh atau luka terkena benda tajam.

“Kulit yang koyak membenarkan kuman masuk ke bawah kulit dan menyebabkan jangkitan kuman dan akhirnya menghasilkan nanah dan bisul. Jangkitan kuman dan bakteria adalah punca yang paling biasa. Dalam satu jangkitan kuman yang menyebabkan bisul, adakalanya terdapat beberapa jenis kuman bakteria.

“Selalunya kuman bakteria jenis Staphylococcus aureus yang sentiasa berada di permukaan kulit, menunggu peluang untuk masuk ke dalam kulit dan menyebabkan nanah dan bisul, namun bisul mudah dirawat dengan antibiotik,” jelasnya.

Namun terdapat jenis kuman bakteria yang kebal terhadap antibiotik iaitu methicillin-resistant yang agak sukar dirawat dan boleh menyebabkan komplikasi lain seperti jangkitan kuman merebak ke organ penting lain seperti ginjal dan hati dan apa yang dibimbangkan kanak-kanak juga berisiko diserang jangkitan itu.

Golongan Berisiko

Golongan yang berisiko dijangkiti bisul adalah mereka yang kurang menjaga kebersihan diri, tinggal di penempatan yang sesak, mempunyai alahan, ahli keluarga yang mempunyai jangkitan 
kulit berulang, sistem imun lemah, kurang zat makanan serta pesakit kencing manis.

“Apa yang dibimbangkan, kanak-kanak lebih mudah dijangkiti kuman yang boleh menyebabkan nanah dan bisul kerana mereka masih tidak faham tentang kebersihan diri, selain itu daya tahan melawan penyakit mereka juga tidak sebaik orang dewasa malah sistem pertahanan melawan penyakit dalam tubuh mereka masih belum matang dan dibentuk sepenuhnya.

“Sebab itu, lazimnya kanak-kanak yang terkena bisul akan menyebabkan mereka demam sekali gus mengganggu aktiviti harian mereka,” ujarnya.

Walaupun bisul bukanlah penyakit yang berbahaya, namun jika terkena kepada kanak-kanak menyebabkan mereka terpaksa menahan kesakitan yang amat sangat ekoran nanah dan bisul mengambil masa untuk sembuh bergantung kepada beberapa perkara.

Antaranya, jangka masa untuk bisul sembuh bergantung kepada daya tahan kanak-kanak, jika mereka individu yang sihat, jangkitan itu lebih mudah untuk baik berbanding kanak-kanak yang mempunyai penyakit lain menyebabkan bisul lambat untuk pulih.

“Bisul orang dewasa juga lebih mudah sembuh berbanding masa yang diambil untuk kanak-kanak dan warga tua, malah pemakanan yang diamalkan pesakit juga salah satu punca jangka masa bisul itu lambat sembuh.

“Nanah dan bisul juga perlu dirawat dengan sempurna dan betul. Nanah yang telah dikeluarkan harus dibersihkan setiap hari,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi mengelakkan kanak-kanak mudah dijangkiti bisul, elakkan mereka berhubung dengan individu yang mengalami bisul dan sentiasa menjaga kebersihan mereka.

“Bagi mengelakkan kanak-kanak dijangkiti bisul, ibu bapa perlu menjarakkan anak-anak dengan penghidap bisul selain tidak membiarkan mereka berkongsi pakaian, tuala mandi atau bersentuhan secara terus atau menyentuh apa-apa sahaja yang mungkin telah dijangkiti kuman daripada nanah, kerana kuman bisul mudah dijangkiti.

“Selain itu, ibu bapa perlu ajar anak-anak membasuh tangan dengan kerap dan betul menggunakan sabun dan air sekurang-kurangnya 20 saat setiap kali basuhan,” jelas beliau.

Tips Merawat Bisul

Jika kawasan nanah adalah kecil iaitu kurang dari satu sentimeter atau kurang dari setengah inci, mampatkan kawasan itu selama lebih kurang 30 minit empat kali sehari dengan tuala kecil yang dipanaskan dengan air (demah atau tuam panas).

Jangan cuba untuk mengalirkan nanah dengan menekan di atasnya kerana boleh menolak bahan yang dijangkiti ke dalam tisu yang lebih dalam.

Jangan masukkan jarum atau alat tajam yang lain ke dalam pusat bernanah kerana boleh mencederakan salur darah atau menyebabkan jangkitan merebak.

Bersihkan kawasan bernanah dengan betul untuk mengelakkan jangkitan dengan membasuh, mengeringkan dan menutup bahagian luka dengan pembalut.

Jika nanah terbuka dengan sendiri, bersihkan nanah dengan baik dalam beberapa hari, jika tidak sembuh, perlu dibawa berjumpa doktor.

Sumber: Utusan

0 comments: