Nuff Atas

02 Mei 2015

Khasiat Teh Hijau Kepada Tubuh



RAMAI antara kita sedia maklum tentang teh hijau dan khasiatnya kepada manusia. Tumbuhan ini dianggap antara minuman paling sihat yang mampu mengawal serta mencegah pelbagai penyakit.

Dalam konteks kesihatan, teh hijau terkenal sebagai sumber minuman semula jadi yang memiliki banyak kebaikan kepada badan. Manfaatnya tidak boleh dipertikaikan dan terbukti menerusi kajian yang dijalankan saintis di seluruh dunia.

Telah terbukti bahawa teh hijau sarat dengan kandungan nutrien dan antioksida semula jadi yang dipanggil polifenol. Antioksida ini diperlukan untuk meningkatkan fungsi otak, mengurangkan berat badan dan risiko menghidapi pelbagai jenis kanser.


Kini, teh hijau boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti ekstrak dan kapsul. Pada masa sama, penggunaan teh hijau cukup popular dalam industri makanan dan minuman.

Oleh demikian, sumber ini amat mudah didapati dan digunakan dalam skala besar. Ruangan kesihatan kali ini berkongsi kepada pembaca tentang kebaikan-kebaikan yang terdapat dalam tumbuhan ini.

Meningkatkan kesihatan mental dan fungsi otak

Teh hijau tidak sekadar mencergaskan otak, malah menjadikan seseorang itu pintar. Ini kerana ia mengandungi kafein tidak berlebihan yang mampu merangsang sel-sel otak dan menjadikannya lebih aktif.

Meningkatkan kecergasan fizikal

Teh hijau adalah minuman yang membantu proses pembakaran lemak dan pada masa sama meningkatkan kadar metabolisme dalam badan. Ini terbukti dalam satu kajian yang dilakukan terhadap 10 orang lelaki yang mana pengambilan teh hijau telah meningkatkan penggunaan tenaga mereka sehingga empat peratus.

Mencegah penyakit kanser

Kanser berlaku apabila terdapat peningkatan sel kanser di dalam badan manusia. Penyakit ini merupakan antara pembawa kematian paling tinggi dalam sesebuah negara. Teh hijau sarat dengan antioksida yang mampu memerangi sel kanser. Dengan itu, pengambilan teh hijau dapat mengurangkan risiko kanser payu dara, prostat, kolon dan banyak lagi.

Mencegah pembentukan bakteria pada gusi

Kajian membuktikan katekin yang terdapat pada daun teh hijau mampu membunuh mutan streptococcus, sejenis bakteria yang sering dijumpai pada gusi dan sekitar mulut manusia. Oleh itu, mereka yang meminum teh hijau setiap hari akan memperoleh kesihatan gusi dan mulut berpanjangan serta terhindar daripada masalah nafas berbau.

Melambatkan proses penuaan

AntiOKSIDA yang terdapat dalam ekstrak teh hijau mempunyai banyak kebaikan kepada manusia. Selain kesihatan tubuh, ia juga membantu menghasilkan tekstur kulit yang sihat dan cantik. Selain itu, ia mampu melambatkan proses penuaan. Bagi mereka yang mengamalkan minum teh hijau setiap pagi akan menikmati tahap kesihatan yang lebih baik kerana tumbuhan ini juga dapat membuang toksin dalam badan.

Sumber: Utusan

0 comments: