01 Mei 2015

Orang Zalim dan Mangsa

Orang zalim dan mangsa
~ Gambar Hiasan ~

CUBA baca situasi di bawah:

* Mencuri duit dan terlepas daripada hukuman.
* Menipu dan tidak membayar hutang walau mampu.
* Menipu dan tidak menyerahkan barang yang dijual setelah mendapat bayaran.
* Mengenakan rasuah untuk memperolehi sesuatu tanpa hak.
* Culas dalam kerja dan mengambil gaji tanpa kurang.
* Menipu dalam timbangan barang jualan.

INI semua perbuatan menzalimi orang lain, sama ada dilakukan terhadap individu atau kumpulan. Atau dilakukan kumpulan atau individu perseorangan.

Ketika di dunia kelihatan mangsa mengalami kerugian manakala penipu dan penjahat beroleh keuntungan. Namun hakikatnya, ALLAH SWT tidak alpa daripada kezaliman ini, semuanya bakal mendapat habuan. Mangsa beroleh ganti yang lebih baik, manakala pemangsa beroleh balasan setimpal.


Mangsa diberikan beberapa peruntukan gantirugi sebagai pilihan ganjaran. Pelaku zalim pula menanti beberapa jenis hukuman sama ada di dunia atau akhirat. Peraturan tersebut bukan sahaja terpakai kepada manusia malah juga haiwan dan golongan jin, selagi mereka bernyawa.

Nabi SAW bersabda: "Pastikan dikembalikan hak-hak kepada pemiliknya di hari kiamat sehinggakan kambing yang tidak bertanduk akan diberi peluang membalas kesakitan yang dilakukan oleh kambing yang bertanduk." (Riwayat Muslim)

Tiada satu pun kezaliman yang dilakukan sama ada tersembunyi atau terzahir kecuali diketahui ALLAH. Pelaku zalim yang licik setara manapun akan dikenalpasti dan dibalas-Nya.

CARA PEMBALASANNYA

ALLAH memperuntukkan kepada mangsa kezaliman boleh memohon pembalasan segera sewaktu di dunia lagi. Atas sebab itu, jika mangsa berdoa agar ditimpakan musibah kepada pelaku zalim di dunia ini lalu ALLAH memakbulkan doa tersebut di dunia lagi, tatkala itu pelaku zalim tidak akan dikenakan hukuman atas kesalahan yang  dikenakan kepadanya terhadap mangsa.

Ini kerana itu dikira hak mangsa telah dipenuhi sewaktu dunia lagi. Ia sama dengan konsep hudud dan qisas yang mana apabila dilaksanakan ke atas pesalah, maka pesalah tiada lagi menanggungnya di akhirat.

Manakala bagi mereka yang bersabar di dunia serta tidak berdoa atau doa mereka tidak dimakbulkan awal sewaktu di dunia. Maka pembalasan yang menanti pelaku dosa adalah seperti didialogkan oleh Nabi SAW: "Muflis di hari kiamat adalah mereka yang datang ke hari kiamat hatta dengan pahala kebaikan setinggi gunung, namun dia memukul mangsa, mencerca orang, memakan harta orang lain (tanpa hak), menumpahkan darah orang itu nescaya akan ditebusi melalui amalan kebaikannya, hingga habis sebelum mampu menebus keseluruhannya, lalu diambil dosa  mangsanya lalu dilempar kepadanya, hingga akhirnya dia tercampak ke neraka." (Riwayat Muslim, sahih)

Nabi SAW yang terpelihara itu juga bimbang akan dirinya disebabkan peruntukan di akhirat. Baginda SAW berkata kepada sahabat apabila memintanya membuat sekatan harga jualan bagi peniaga, Baginda SAW menjawab: "Sesungguhnya aku berharap untuk bertemu ALLAH dan tiada sesiapa yang menuntut dariku kerana dizalimi dari sudut harta dan jua jiwa." (Riwayat Abu Daud, sahih)

MINTA HALAL SEGERA

Bagi mereka yang menzalimi mangsa, antara kaedah mengelak dikenakan hukuman adalah segera memohon halal daripada mangsa. Bermakna, jika ada mengambil harta mangsa tanpa hak, segeralah mohon dihalalkan sekiranya tidak mampu dipulangkan.

Jika memfitnah, umpat, cerca mangsa, segera memohon maaf secara verbal atau membayar wang ganti rugi bagi memudahkan mangsa lapang hati memgampunkan pemangsa. Menurut ulama, kaedah ini ternyata dijelaskan Nabi SAW dalam hadis riwayat Bukhari.

PILIHAN BAGI MANGSA

Mangsa juga punya pilihan lain seperti disebut dalam hadis: "Tiada seorang Muslim pun yang menanam sesuatu tanaman kecuali apa-apa yang dimakan darinya baginya pahala sedekah, tiada apa yang dicuri darinya dan bagi pemilik itu pahala sedekah dan tiada pula dimakan oleh binatang buas, lalu ia turut menjadi sedekah, dan tidak dimakan oleh burung maka baginya pahala sedekah dan tidak dikurangkan hasilnya itu oleh sesuatu kecuali baginya pahala sedekah. (Riwayat Muslim, sahih)

Hasil daripada itu, bagi mangsa kezaliman, mereka boleh memilih sama ada:

* Bertindak mengikut lunas perundangan bagi kes individu zalim atau melalui perubahan melalui proses pilihanraya bagi kes sekumpulan pemimpin zalim.

* Berdoa agar balasan setimpal ditimpakan ke atas pemangsanya di dunia lagi. Jika dimakbulkan, tiada sebarang kebaikan tambahan akhirat diperolehi kecuali beroleh kepuasan di dunia.

* Bersabar, mendiamkan diri dan menunggu untuk menuntut di akhirat dalam bentuk mengambil pahala pelaku zalim atau menyerahkan dosa sekadar berat kezaliman yang kena atasnya kepada pelaku zalim. Maka akan beroleh pahala sabar.

* Bersabar, menghalalkan dan meniatkannya sebagai sedekah untuk setiap harta yang dirampas, curi dan hak (daripada jenis yang boleh dihalalkan seperti umpatan, tohmahan, cacian dan lainnya) yang dicerobohi.

Jika itu dilakukan, mangsa bakal beroleh pahala atas kesabaran dan pahala sedekah (bagi jenis tertentu seperti harta yang dicerobohi) yang berpotensi digandakan kebaikan kepada sepuluh kali berdasarkan hadis sahih al-Bukhari bagi setiap amalan kebaikan.

Malah sebahagian riwayat menyebut boleh digandakan sehingga tujuh ratus kali ganda.

Jika ingin mengambil pendekatan keempat, pastikan benar-benar dapat merawat ketidakikhlasan dan tidak berasa sebarang kerugian atas apa yang dihalal dan disedekahkan kerana keyakinan ia sebagai simpanan di akhirat dan pasti diganjari. Jika tidak, kemungkinan sedekah itu tidak dikira pula.

Pun begitu, adalah tidak diharuskan sekiranya pemangsa ingin menggunakan hadis dan peruntukan di atas untuk meneruskan kezalimannya, contohnya, pencuri datang lagi ke rumah mangsa dan sambil berkata kepada mangsa: "Aku mencuri ini, engkau halalkan sahaja atau sedekahkan, kelak engkau beroleh pahala berganda."

Itu adalah tindakan salah dan perbuatan mencuri akan tetap berdosa walaupun mangsa meniatkannya sebagai sedekah selepas kecurian berlaku.

 Demikian bagi pemungut cukai dan disalah guna hasil cukai yang jatuh dalam hukum haram, tiada boleh sewaktu ingin terus mengutip cukai itu, lalu digunakan dalil tadi untuk membolehkannya terus memungut dengan jaya.

Kerana itu dibimbangi situasi berkenaan menjadi seolah-olah menghalalkan tindakan yang haram secara salah guna konteks dalil. Dalil itu ditujukan kepada mangsa dan konteks pihak yang telah menjadi mangsa itu perlu difahami.

BERFIKIRLAH SEMASAKNYA

Kesimpulannya, buat pemangsa, berfikirlah semasak-masaknya sebelum mengambil mudah atas pencerobohan hak orang lain, manakala bagi mangsa, cerialah dan fikirkan peruntukan balasan yang diberikan dalam Islam.

Jangan pula akibat dizalimi ini, maka mangsa terikut-ikut dengan bisikan iblis lalu membantah dengan cacian, makian secara rambang dan kutukan sehabis dahsyat.

 Ia hanya mampu memuaskan nafsu ammarah dan syaitan, namun langsung tiada faedahnya. Jika ingin membantah, bantahlah dengan rasional menurut saluran yang betul dan bukannya dengan cacian makian serta membuka aib yang tidak perlu.

Namun, jika masih begitu,  Ia hanya akan menjadikan mangsa terus rugi akhirnya, di dunia dan akhirat.

Oleh: DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN
Presiden NGO Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID)
Sumber: Sinar Harian

0 comments: