26 Mei 2015

Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Canggih dan Mesra Alam


Masjid hijau tidak mempunyai kubah besar mahupun menara yang tinggi berbanding masjid lain.

Satu perasaan yang sangat tenang menyelubungi sanubari tatkala melangkah masuk ke dalam masjid yang tersergam indah.

Walaupun sinaran mentari mengeluarkan cahaya, bahangnya tidak terasa malah permukaan simen yang dipijak juga tidak terasa panas.

Kelihatan jemaah yang bermusafir tenang berehat di ruangan terbuka tanpa membuka kipas angin.

Ia seakan-akan berada di kawasan taman yang mempunyai pokok-pokok untuk berteduh ditemani cuaca redup dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Begitu tenang rasanya.


“Ketenangan dalam masjid ini bukan sahaja disebabkan ia tempat beribadah malah mempunyai elemen dan teknologi hijau,” kata imam dan pengurus masjid, Mohd. Faizal Malik, 28.

Masjid tiga tingkat yang dikenali sebagai Masjid Raja Haji Fi Sabilillah merupakan masjid pertama dibangunkan di Cyberjaya. Selain itu, ia adalah masjid pertama menggunakan konsep teknologi hijau.

“Bukan setakat canggih bahkan sangat mesra alam. Contohnya, air wuduk yang telah digunakan oleh jemaah akan diguna semula menjadi air siraman tanaman di sini.

“Malah, rekaan dalaman serta luarannya juga moden dan berkonsep terbuka yang dikatakan baik untuk sistem pengudaraan,” katanya bahawa kubah dan menara masjid tidak menonjol seperti masjid lain.

Lebih menarik katanya, keseluruhan kawasan terbuka berfungsi sebagai tadahan air hujan yang membolehkan air tersebut digunakan semula.

Sebelum ini, bandar Cyberjaya yang merupakan tulang belakang kepada Koridor Raya Multimedia tidak mempunyai masjid.

Mereka yang menetap atau bekerja di Cyberjaya terpaksa menunaikan solat di kawasan kejiranan iaitu di Masjid Putra, Putrajaya.

“Sukar bagi jemaah khususnya lelaki yang ingin menunaikan solat Jumaat. Mereka terpaksa berulang-alik dari Cyberjaya ke Putrajaya,” jelasnya yang pernah bertugas menjadi imam di Masjid Mu’adz Jabal, Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Selain itu, masjid yang berharga RM35 juta itu mampu menampung kira-kira 10,000 jemaah. Mohd. Faizal memberitahu, setakat ini, jemaah lelaki yang menunaikan solat Jumaat adalah seramai 8,000 orang manakala pada waktu solat lain pula kira-kira 200 jemaah.


Masjid Raja Haji Fi Sabilillah berkonsep terbuka di samping mempunyai teknologi hijau.

Konsep kehijauan

Pembinaan masjid hijau bukanlah sesuatu perkara yang baharu malah negara-negara lain juga mempunyai masjid hijau tersendiri seperti di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

Menurut Tayeb Al Rais yang merupakan Ketua Setiausaha Pertubuhan Hal Ehwal Awqaf, Arab Saudi, masjid atau apa sahaja bangunan yang dibangunkan oleh umat Islam perlu berkonsepkan hijau.

“Cintakan terhadap alam sekitar merupakan salah satu tanggungjawab yang diketengahkan dalam al-Quran di samping menunaikan solat,” katanya yang dipetik daripada portal Khaleej Times.

Konsep kehijauan ialah penggunaan teknologi yang mesra alam dan pengguna seperti penjimatan dari segi tenaga elektrik dan air.

Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya merupakan masjid pertama Malaysia yang menggunakan teknologi hijau seperti kitaran semula air, kaca pantulan cahaya, panel solar, tadahan hujan dan konkrit jenis Fly-Ash yang dikatakan mesra alam.

Menariknya, masjid tersebut mendapat nama berdasarkan seorang pahlawan yang memerintah Riau pada tahun 1777 di samping berjuang menentang Belanda.

Masjid tersebut mendapat Anugerah Platinum Indeks Bangunan Hijau (GBI) kerana binaannya terdiri daripada bahan mesra alam dan menjimatkan tenaga.

Objektif masjid hijau itu adalah untuk menjimatkan tenaga dan kos sebanyak 30 peratus malah membantu menjaga alam sekitar.

Antara teknologi yang digunakan ialah Glass Reinforced Concrete (GRC) yang dipasang pada kubah masjid supaya sinaran cahaya matahari dapat dipantulkan.

GRC tidak pernah digunakan pada mana-mana masjid malah selain memantulkan cahaya matahari, ia juga mempunyai teknologi peralihan haba supaya jemaah tidak berasa bahang kepanasan ketika menunaikan solat.

Pendingin hawa


Air wuduk yang telah digunakan akan diguna semula untuk menyiram tanaman.

Selain itu, masjid tersebut menggunakan alat pengesan pergerakan, meter digital kawalan elektrik, penurap pantulan cahaya matahari, lampu diod pancaran cahaya dan pendingin hawa automatik.

Pendingin hawa ini berfungsi hanya pada solat Jumaat selama dua jam manakala hari-hari biasa menggunakan kipas angin dan alat pengalih udara.

Panel solar yang berada di atas bumbung masjid mampu menyimpan tenaga dari matahari dan menjanakan sebanyak 475 kilowatt peak sebagai tenaga yang diperbaharui.

Air wuduk yang telah digunakan di tempat wuduk di dalam dan luar masjid akan dikitar semula yang kemudiannya digunakan untuk penyiraman tanaman.

Di luar pekarangan masjid yang mempunyai konsep taman Islamik pula, mempunyai kawasan tempat duduk dan pokok-pokok renek.

Masjid hijau mempunyai keluasan kira-kira 40,000 meter persegi dan mempunyai kemudahan seperti 700 tempat meletak kenderaan.

Antara kemudahan lain ialah ruangan solat terbuka, bilik mesyuarat, bilik kelas, bilik imam, bilik bilal, pejabat urusan, tandas, bilik urusan jenazah dan tempat wuduk bagi jemaah lelaki serta wanita.

Selain mesra alam, masjid tersebut juga mesra pengguna kerana dilengkapi kemudahan lif dan travelator iaitu laluan pejalan kaki yang ber­­gerak secara mendatar dan kebanyakannya digunakan di terminal lapangan terbang. Travelator tersebut mempunyai alat pengesan automatik yang akan berhenti bergerak apabila tiada orang melaluinya.

Di pekarangan ruangan terbuka di tengah-tengah masjid pula ditanam sepohon pokok tunjang yang dikatakan dapat memberi teduhan kepada jemaah yang bersolat di situ.

Di samping itu, masjid hijau merupakan kedua terbesar selepas Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau dikenali sebagai Masjid Biru di Shah Alam, Selangor.

Masjid tersebut dibangunkan oleh arkitek-arkitek dari Atsa Architects Sdn. Bhd. (Atsa) manakala pemaju masjid ialah Cyberview Sdn. Bhd.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Atsa, Ar. Azim A. Aziz, 50, pihaknya telah diberikan tugasan untuk membina masjid itu sejak dua tahun lalu.

“Sebelum itu, kami telah melakukan penyelidikan mengenai masjid. Terdapat beberapa buah masjid menjadi sumber inspirasi seperti Masjid Negara, Kuala Lumpur namun rekaan masjid hijau adalah asli,” katanya.

Elemen tradisional

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Atsa, Ar. Zulqaisar Hamidin, 51, berkata, walaupun masjid tersebut berkonsep moden, ia masih mempunyai satu elemen tradisional diperbuat daripada kayu.

“Pada mulanya, kami hanya ingin membuat mimbar daripada simen namun Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menolak dan bertitah mahukan ia diperbuat daripada kayu cengal.

“Mihrab juga diperbuat daripada kayu merbau dan mempunyai ukiran tulisan khat al-Quran berwarna emas. Secara langsung, ia dapat mempromosi seni kraf tangan tempatan,” ujarnya.

Zulqaisar memberitahu, ruangan solat terbuka di atas bumbung masjid digunakan untuk masa hadapan apabila bilangan jemaah semakin bertambah.

Oleh NABIHA MOHD. YUSOF
Sumber: Kosmo

0 comments: