Nuff Atas

19 Mei 2015

Guru Dikenang Kerana Jasa Dan Kebaikannya



Guru ialah orang yang memberi atau menyampaikan ilmu, secara formal di sekolah. Secara profesionalnya, gelaran guru hanyalah dikhususkan kepada individu yang mengajar di sekolah.

Jika terdidik guru akan terdidiklah negara, kerana anak-anak kita sebahagian besar masa di waktu siangnya berada dalam pengawasan guru.

Guru tadika (taman didikan kanak-kanak), merupakan guru yang paling penting dalam pembangunan insan bagi anak-anak kita. Sebab guru tadika mendidik anak-anak kita semasa mereka berumur 4 - 6 tahun, iaitu pada satu fasa usia, anak-anak sedang menerima apa-apa sahaja yang diajar oleh guru tanpa ada tapisan minda.


Kanak-kanak pada usia itu, ibarat span yang menyerap apa-apa sahaja jenis cecair yang datang kepadanya, tidak kira bersih atau kotor. Kalau sistem nilai yang dimasukkan oleh guru tadika selain ibu bapa negatif, maka anak-anak akan menerima kesan negatif hingga mereka besar.

Keyakinan diri anak-anak, cara mereka melihat diri mereka dan personaliti diri mereka, akan bergantung kepada persekitaran yang disediakan oleh guru-guru dan ibu bapa semasa mereka kecil.

Disebabkan hal tersebutlah, maka tugas seorang guru itu amat penting, maka kerana itulah Hari Guru disambut setiap tahun pada 16 Mei.

Namun begitu, seandainya seorang guru itu, menjadi guru bukan kerana berminat hendak menjadi guru, bukan menjadi guru untuk mencari tujuan hidup, dan menjadi guru bukan untuk mendapatkan reda Allah dan mengharapkan "pencen kubur", alangkah sia-sianya masa dan usia yang dihabiskan sepanjang menjawat jawatan itu.

Lebih rugi lagi kepada masyarakat dan negara, jika seseorang itu menjadi guru kerana pilihan terakhirnya, setelah beberapa kali gagal mendapat kerja yang dimahukannya, atau memilih profesion perguruan itu kerana berasa stabil dapat bekerja dengan kerajaan, atau suka kerana bekerja sekerat hari dan dapat bercuti panjang apabila cuti sekolah.

Jika kita bekerja, hanya fokus apa yang kita patut dapat, kita tidak akan berusaha lagi untuk mempertingkat dan memperbaiki usaha kita dalam kerjaya. Kita tidak akan hiraukan sama ada cara kita mengajar bagus atau tidak bagus, murid/pelajar faham atau tidak faham, kerana kita tahu apa pun yang kita buat, setiap bulan kita akan mendapat gaji yang tetap.

Sama ada kita bertungkus-lumus mengajar atau kita mengajar ala-kadar, gaji yang kita terima tetap sama; jika semua guru berfikiran begini, alangkah ruginya negara dan kasihan anak bangsa kita.

Manfaat

Hakikatnya, semua guru berjaya melaksanakan tugasnya untuk mengajar, tetapi tidak semua guru berjaya mendidik murid/pelajarnya. Mengajar hanya setakat melibatkan akal, tetapi mendidik melibatkan sahsiah, emosi rohani, cara guru bercakap dan berinteraksi dengan murid/pelajar.

Yang kuat dalam diri manusia itu ialah rohaninya. Keintelektualan mengajar untuk mereka faham sahaja, bukan menanamkan pada roh dan jiwa mereka suka kepada ilmu yang dipelajari.

Sebab itu apabila guru mengajar dan mendidik, kita bukan sekadar mengajar untuk orang faham dan tunjuk betapa bijaknya kita, tetapi berniat hendak memberikan semaksimum manfaat kepada murid/pelajar, berdasarkan ilmu yang kita miliki. Semoga dengan ilmu yang kita berikan itu, akan menjadi "modal" untuk mereka berjaya dalam hidup pada masa hadapan.

Sayangilah murid/pelajar dan pandang mereka dengan kasih sayang, macam anak kita sendiri. Guru pun bermula daripada tidak pandai suatu masa dahulu. Apabila kita menjadi guru, bayangkan ketika kita di dalam darjah satu dahulu; macam mana kita hendak cikgu melayan kita, begitulah kita perlu melayan murid darjah satu kita. Mesti ada perasaan empati, iaitu letakkan perasaan kita dalam perasaan orang, barulah kita boleh bekerja dengan jiwa.

Kalau guru berkasar dengan murid/pelajar, macam manalah mereka hendak berlembut dengan guru. Budaya memberi dan menerima mesti ada; kita baik dengan murid/pelajar di sekolah, mereka juga akan baik dengan kita. Atas keredaan Allah SWT kerana kita ikhlas mengajar, anak kita di rumah pun selamat, dijaga Allah daripada musibah. Sebab itulah daripada (pengamatan), didapati biasanya anak seorang guru akan berjaya dalam hidupnya, kerana keberkatan kerjaya seorang guru.

Guru, jadikanlah sekolah itu ladang pahala dan pasanglah niat menjadi guru untuk memberi manfaat dan mendapat reda Allah. Apakah benih yang hendak kita taburkan di ladang pahala, sama ada benih kehidupan atau racun kehidupan?

Sebagai guru, kita menjadi ejen pengubah, untuk membina jati diri murid/pelajar kita, dan lihat setiap individu dengan potensi dirinya yang tidak ada had. Janji kepada diri kita, sebagai guru, kita akan tentukan dengan ilmu yang kita ada dan persekitaran sekolah, murid/pelajar kita semua akan berjaya, tidak kira sama ada mereka dalam kalangan pelajar cerdik ataupun tidak.

Kita tidak akan menjadi guru yang melebihkan murid/pelajar pandai sahaja, yang boleh mendapat banyak A dan akan menaikkan prestasi sekolah, serta menilai kecemerlangan berdasarkan pencapaian akademik sahaja. Sepatutnya kita seimbangkan antara pencapaian akademik dengan kawalan emosinya, iaitu dari segi budi pekerti.

Ubah paradigma bahawa kecemerlangan seseorang bukan hanya bergantung kepada kecemerlangan akademik. Ini kerana ilmu akademik akan membuatkan kita pandai, tetapi ilmu wahyu membuatkan kita menjadi baik. Bukan baik dari segi akal intelek semata-mata, tetapi hendak didik murid/pelajar menjadi baik dari segi hati budi.

Jangan membunuh keyakinan murid/pelajar dengan memberikan komen negatif dan fokus kepada kelemahan mereka sahaja. Janganlah menjadi guru yang hidupnya hanya mencari dan menyerlahkan kesalahan orang, kerana tanpa kita sedari murid/pelajar kita itu juga, sedang belajar daripada apa yang kita lakukan kepada mereka.

Kalau kita sentiasa mencari kesalahan mereka, sebenarnya kita sedang mendidik mereka, hidup ini untuk menunjukkan kita hebat, kita cari kesalahan orang dan lupakan kebaikan orang.

Kita mesti fikir apa yang kita buat, apakah kebaikan yang pelajar kita dapat, bukan sebagai satu hukuman. Kalau kita mendenda mereka, bagi tahu sebab kita hukum dia. Kita bukan marah dia sebagai insan tetapi kita marah kepada akhlaknya.

Jangan keluarkan komen yang membunuh keyakinan mereka, yang akan menjadi parut sampai mereka besar. Guru yang kita sayang ialah guru yang baik dan pandai mengambil hati kita, memuji kita dan sentiasa senyum.

Jangan sampai menjadi guru, semasa muda garang, apabila tua, nanti pelajar lari enggan menegur kita. Biarlah sebagai guru kita dikenang kerana kebaikan kita, bukan kerana kegarangan kita. Biarlah ramai yang menangis pada hari bersara kita, bukan orang di sekeliling kita mengira tahun, bulan dan hari menanti hari persaraan kita. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

JOM AUDIT DR. MUHAYA MUHAMAD [17 Mei 2015]
Sumber: Utusan

0 comments: