14 Mei 2015

Penambahbaikan Modul Parol



SABAN tahun, bilangan banduan semakin meningkat sehingga menyebabkan penjara semakin padat. Situasi tersebut pasti menambah beban kerja petugas-petugas penjara terutamanya dalam mengawasi setiap pergerakan banduan.

Bagaimanapun, bermula pada 30 Jun 2008, pihak kerajaan menerusi Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah menguatkuasakan pelaksanaan sistem parol.

Pelaksanaan sistem parol di bawah seliaan Lembaga Parol diwujudkan bagi mengurangkan kesesakan di penjara dan kos penyelenggaraan tinggi yang ditanggung oleh Jabatan Penjara dan kerajaan.


Ia juga bertujuan melicinkan proses mengintegrasikan semula banduan ke pangkuan keluarga dan masyarakat sebagai salah satu aspek dalam proses pemulihan.

Pengerusi Lembaga Parol, Datuk Anas Ahmad Zakie berkata, sistem parol diimplementasikan melalui Akta Penjara (Pindaan) 2008 [A1332].

Jelas beliau, pelaksanaan sistem parol di Malaysia dilaksanakan berdasarkan sistem di New South Wales, Australia.

“Kita telah melakukan kajian di seluruh dunia sebelum dilaksanakan di negara ini.

“Hasilnya, kami memilih untuk mencedok sistem parol dari Australia dan menyesuaikannya mengikut acuan kita sendiri,” katanya.

Kriteria

Beliau berkata, semua banduan layak diparolkan kecuali beberapa hukuman yang telah ditetapkan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dalam jadual empat iaitu kes bunuh, rogol, liwat, penculikan, akta senjata api dan pengedaran dadah.

Selain syarat di atas, banduan perlu mempunyai ciri-ciri iaitu menjalani hukuman melebihi 12 bulan, lulus dengan cemerlang dalam program pemulihan, tidak mempunyai kes sivil lain yang sedang dibicarakan di mahkamah dan tidak tertakluk di bawah jemaah pengampunan negeri.

“Banduan perlu melepasi beberapa kriteria ketat sebelum boleh diparolkan. Ia bagi memastikan hanya banduan yang layak mendapat peluang menjalani hukuman di luar penjara,” terangnya. Bagaimanapun, banduan yang telah diparolkan perlu mengikut peraturan-peraturan ketat ketika berada di luar penjara.

Jika banduan didapati gagal mematuhi syarat-syarat tersebut, mereka akan kembali menjalani hukuman seperti di penjara.

Sementara itu, Anas memaklumkan setiap banduan perlu membuat permohonan kepada Jabatan Penjara sebelum dicadangkan kepada Lembaga Parol.

Kata Anas, lazimnya, banduan akan membuat permohonan parol jika mempunyai kelayakan-kelayakan yang telah ditetapkan.

“Kebanyakan banduan akan memohon parol kerana semua manusia ingin hidup bebas.

“Namun, wujud beberapa kes apabila banduan enggan memohon walaupun mempunyai kelayakan kerana khuatir dirinya tidak diterima oleh ahli keluarga dan masyarakat,” jelasnya lagi.

Sementara itu, bagi memantapkan lagi modul program sedia ada, Lembaga Parol telah melakukan beberapa penambahbaikan dari aspek modul.

Baru-baru ini, pihak lembaga telah menjalinkan kerjasama dengan sebuah pasar raya terkemuka di negara ini.

Menerusi kerjasama itu, pasar raya tersebut bersetuju untuk mengambil Orang Diparol (ODP) sebagai pekerja. ODP tersebut akan ditempatkan di beberapa bahagian operasi seperti pemindahan barang, tukang cuci dan stor.

“Kerjasama ini merupakan satu perintis kepada syarikat-syarikat lain di luar sana supaya mengambil ODP sebagai pekerja.

“Hasilnya, kami melihat perniagaan mereka lebih maju dan makmur kerana membantu golongan ini,” ujar Setiausaha Bahagian Lembaga Parol, Alias Mamat.

Menerusi kerjasama tersebut, ia dapat membantu ODP menjana sumber pendapatan, sekali gus mengelakkan mereka daripada mengulangi kesalahan lampau.

Sembunyi identiti

Menariknya, pasar raya juga bersetuju untuk menyembunyikan identiti ODP daripada masyarakat bagi mengelakkan diskriminasi.

“Kami lihat ODP ini dapat menunjukkan prestasi yang baik dalam kerja jika mereka dapat memberikan tumpuan penuh.

“Jika prestasi tersebut dapat dikekalkan, selepas tamat tempoh parol dan dibebaskan, mereka boleh terus bekerja di tempat tersebut.

“Bagi seorang banduan di dalam penjara, kerajaan perlu membelanjakan sebanyak RM35 sehari untuk semua kelengkapan.

“Sepanjang tahun 2014, seramai 2,320 orang telah diparolkan. Jadi, kerajaan berjaya menjimatkan wang rakyat dengan begitu banyak.

“Sekarang ini, jumlah banduan di dalam penjara mencecah hampir 50,000 disebabkan kecekapan mahkamah dan pihak polis menyelesaikan kes.

“Jadi, kerajaan perlu membelanjakan wang yang lebih. Jadi, menerusi program ini, kita dapat menjimatkan wang kerajaan, sekali gus merancakkan pembangunan negara,” katanya.

Sementara itu, Alias mengingatkan masyarakat supaya mengubah stigma negatif kepada banduan.

“Setiap orang ada melakukan kesilapan. Jadi, kita perlu memaafkan mereka. Sekiranya, kita melakukan kesilapan pada suatu hari nanti, kita juga akan berharap perkara yang sama,” katanya.

Oleh Mohd. Shazwan Yusop
Sumber: Kosmo

0 comments: