Nuff Atas

15 Mei 2015

Keberkesanan Didikan Di Rumah

Anak-anak harus dididik dengan akhlak dan juga sentiasa mempraktikkan
Anak-anak harus dididik dengan akhlak dan juga sentiasa mempraktikkan moral yang tinggi dan terpuji. - GAMBAR HIASAN

DALAM kehidupan berumah tangga, ibu bapa berperanan mendidik anak-anak, bagi menjadikan anak-anak tidak liar, berbudi pekerti dan juga tidak terlibat dengan pelbagai gejala sosial. Perlu ditegaskan didikan dan doa ibu lebih mustajab dan berkesan ke arah kebaikan dalam pendidikan akhlak anak.

Sementara itu, anak-anak seharusnya melayan ibu dengan baik. Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, siapa yang paling berhak memperoleh pelayanan dan persahabatanku?” Nabi SAW menjawab: “Ibumu… ibumu…ibumu…, kemudian ayahmu dan kemudian yang lebih dekat kepadamu.” (riwayat Mutafa’alaih)


Oleh sebab itu, pendidikan anak daripada ibu sangat penting dalam pembentukan akal budi, keimanan dan ketakwaan. Keimanan dan ketakwaan aspek yang sangat penting dalam diri seseorang Muslim. Kita tidak mahu anak-anak yang cerdik dan cemerlang dalam pelajaran tetapi tidak mempunyai akhlak yang baik dan terjebak dalam pelbagai gejala sosial.

Didikan ibu tiga kali lebih berkesan berbanding bapa

Meskipun sambutan hari ibu baru berlalu, perlu ditegaskan selalu bahawa anak-anak seharusnya mengetahui dan memahami peranan ibu dalam pendidikan anak-anak di rumah. Ibu lebih dekat dengan anak-anak dan selalu memberi nasihat kepada anak-anak berbanding bapa.

Kes anak-anak remaja, khususnya remaja perempuan sanggup meninggalkan keluarga demi mengikut kekasih menjadi fenomena terbaharu yang seharusnya ditangani oleh ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku ibu bapa mestilah prihatin dengan tindak tanduk anak-anak.

Justeru, kerjasama erat ibu bapa seharusnya dapat bertindak lebih pantas apabila melihat gelagat dan gaya anak-anak yang mencurigakan. Tanya kegiatan anak-anak, ke mana mereka pergi bersama kawan-kawan. Biarlah kita sentiasa cemburu dan bimbang dengan langkah anak-anak apabila mereka meninggalkan rumah.

Hal ini telah ditegaskan oleh Nabi SAW sejak dahulu lagi akan peranan ibu bapa iaitu: Tiap anak yang dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah Islami). Ayah dan ibunyalah kelak akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi (penyembah api dan berhala). (riwayat Bukhari)

Hadis ini jelas bahawa tanggungjawab mendidik anak-anak adalah terletak di bahu ibu bapa. Tegasnya, amanah mendidik, menjadikan anak-anak soleh adalah tugas dan amanah yang perlu dipikul oleh semua ibu bapa yang mempunyai anak.

Lantaran itu, anak semasa kecil lebih senang dijaga dan mendidiknya. Apabila sudah remaja dan sudah besar semakin payah. Mereka lebih senang berkawan dengan rakan sebaya dan rakan sekolahnya. Jika anak dibiarkan terlalu bebas apa-apa yang buruk pasti terjadi di luar rumah.

Kajian pakar psikologi Islam mendapati pengaruh rakan sebaya, persekitaran dan juga pengaruh teknologi baharu adalah pengaruh yang kuat mempengaruhi emosi, gaya hidup, perlakuan anak-anak. Pengaruh ibu bapa semakin kurang, disebabkan ibu bapa semakin jauh dengan anak-anak.

Komunikasi yang kerap, perhubungan erat dan rapat antara ibu bapa dengan anak-anak dapat mengelakkan mereka terjebak dengan pelbagai gejala sosial seperti terbabit dengan kumpulan samseng. Maka, sebagai ibu bapa selalulah berkomunikasi dengan anak-anak mengenai masalah sosial dan emosi mereka bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Cintai anak

Anak-anak sebenarnya masih mentah dengan persekitaran dan permasalahan hidup serta tipu daya dunia yang serba canggih, pelbagai jenayah yang berlaku di luar rumah. Ibu bapa yang sudah berpengalaman serta sudah lama hidup seharusnya sentiasa menasihati, memberi bimbingan kepada anak-anak agar tidak terjebak dalam pelbagai gejala sosial yang boleh merosakkan masa depan mereka.

Lantaran itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Cintailah anak-anak dan sayangilah mereka. Apabila menjanjikan sesuatu kepada mereka tepatilah. Sesungguhnya yang mereka ketahui hanya kamulah yang memberi mereka rezeki.” (riwayat Ath Thahawi).

Justeru, menjadi ibu bapa yang pintar, cekap dan sentiasa mengambil tahu hal anak-anak adalah amat payah jika tidak dilakukan dengan rasa tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh Allah. Kebebasan hidup tidak harus diberikan 100 peratus kepada anak-anak dalam memilih jalannya sendiri. Anak-anak harus dididik dengan akhlak dan juga sentiasa mempraktikkan moral yang tinggi dan terpuji.

Sebagai ibu, persiapan fizikal dan mental ke arah mendidik anak-anak yang sedang meningkat remaja sangat penting. Pengukuhan kerohanian akan dapat membantu mereka menyedari potensi diri dan bakat semula jadi.

Beragama

Ibu berperanan lebih dalam mendidik akhlak dan hati mulia anak-anak, bermoral tinggi adalah antara faktor yang dapat meneruskan kesinambungan tamadun manusia. Secara amnya, orang yang berakhlak mulia dikira sebagai orang yang gemilang dan cemerlang.

Seharusnya difahami dan ditegaskan bahawa kebiasaannya orang yang berjaya ialah orang yang cemerlang akhlaknya. Orang yang beragama seharusnya mempunyai iltizam yang tinggi. Orang yang beragama seharusnya mempunyai akhlak yang baik juga.

Justeru, pendidikan akal sahaja tidak dapat menentukan apa yang benar dan apa yang tidak. Agama diperlukan untuk memandu manusia kepada kebenaran dan menyisihkan kebatilan. Kombinasi akal, agama dan pancaindera dapat menghalang manusia daripada melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan kemurkaan Tuhan.

Di samping itu, pihak sekolah juga harus memantau kegiatan para pelajar agar tidak terbabit dengan gejala samseng di luar sekolah. Langkah ini perlu dilakukan melalui kerjasama pihak disiplin sekolah dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang harus melakukan perkara ini agar tidak berlaku dalam kalangan pelajar di sekolah.

DR. AMINUDIN MANSOR
Sumber: Utusan

0 comments: