06 Mei 2015

Terapi Hijau Hutan


Kawasan taman yang menghijau menjadi tumpuan orang ramai berjoging. – Gambar hiasan

MASYARAKAT hari ini menghadapi pelbagai permasalahan kesihatan serta tekanan yang sering dikaitkan dengan cara hidup moden. Faktor penyumbang kepada permasalahan ini termasuklah populasi yang semakin padat serta tekanan psikologi disebabkan taraf hidup di bandar dan tempat kerja.

Perkara-perkara sedemikian membawa kepada pencarian kaedah alternatif untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit yang berkaitan dengan gaya kehidupan sosial dan cara mempertingkatkan tahap kesihatan.

Kekurangan aktiviti fizikal dan tekanan menyebabkan bertambahnya beberapa penyakit, sementelah pengambilan ubatan hanya mampu mengurangkan simptom. Bagaimanapun, ia tidak mampu membasmi penyakit dan menjurus kepada pengurangan kualiti kehidupan terutamanya di bandar.



Kemudahan perlu dipertingkatkan demi keselesaan pengunjung.

Kawasan luar bandar dan elemen semula jadi seperti hutan, taman serta kawasan dipenuhi tumbuhan telah diketahui mampu menyediakan peluang dalam meningkatkan tahap kesihatan masyarakat.

Kajian mendapati aktiviti yang dijalankan di persekitaran bersifat semula jadi dikatakan mempunyai kebaikan terhadap kesihatan mental dan fizikal. Namun, masih banyak kekurangan daripada aspek pengetahuan mengenai hubungan positif antara persekitaran semula jadi dan kesihatan yang perlu diteroka.

Satu kajian mendapati terdapat dua jenis kekangan untuk penggunaan kawasan rekreasi hutan yang sering dibangkitkan oleh pengguna. Kekangan utama ialah kekurangan masa dan informasi.

Meskipun begitu, permasalahan lain yang disebut termasuk kawasan rekreasi terlalu sesak, ahli keluarga lebih menyukai aktiviti lain, faktor cuaca, kekurangan kemudahan awam, faktor keselamatan dan lokasi terpencil.

Persekitaran semula jadi seperti hutan boleh dilihat sebagai aset penting untuk menambah baik serta menyokong peningkatan tahap kesihatan.


Kawasan hutan merupakan lokasi yang sesuai untuk berekreasi.

Berikut adalah beberapa langkah asas yang boleh diaplikasikan dan diambil kira dalam menjadikan hutan sebagai ruang terapi, terutamanya di kawasan bandar dengan bercirikan restoratif serta mempromosi aktiviti fizikal:

1. Mengadakan program di kawasan semula jadi yang boleh menarik minat pelbagai lapisan masyarakat. Keperluan seperti minat, keupayaan dan aktiviti yang menyeronokkan untuk kegunaan pengguna berbagai kebolehan.

Misalnya, mengadakan ruang dengan kemudahan awam yang cukup dan diselenggara rapi untuk program motivasi di kawasan hutan. Di samping itu, pembinaan laluan yang boleh digunakan untuk orang kelainan upaya merupakan satu usaha baik dalam mempromosikan kawasan hutan.

2. Informasi mengenai hutan yang jelas seperti peta membuatkan para pengguna berasa selamat kerana berada dalam situasi yang terkawal.

3. Kawasan hutan berpotensi sebagai persekitaran alternatif iaitu pengguna boleh mengurangkan tekanan dengan berada di tempat yang lain daripada kebiasaan atau di luar rutin harian.

Ruang sebegini mampu memberi peluang untuk pengguna berfikir dengan tenang dan mengurangkan tekanan. Justeru, reka bentuk minimum sudah memadai, namun kemudahan yang mencukupi dan aspek keselamatan tinggi perlu diterapkan.

4. Hutan juga mempunyai potensi sebagai ruang yang terbuka dan luas untuk dimanfaatkan oleh para pengguna. Suasana hutan dapat mencipta ‘kebebasan’ untuk pergerakan dan aktiviti kasual.

Sifat ini penting sebagai sebahagian daripada terapi mengurangkan tekanan. Dengan keluasan kawasan hutan, pengguna tidak dibatasi dengan kekangan ruang untuk mengadakan aktiviti yang diingini, sama ada lasak atau bersifat pasif.

Kesimpulannya, hutan mempunyai pelbagai potensi untuk digunakan di kawasan bandar sebagai kawasan berekreasi dan juga menyediakan ruang sebagai terapi dalam mengurangkan tekanan mental dan fizikal.

Program penjagaan yang teratur, faktor keselamatan yang tinggi dan adanya aktiviti yang dapat memenuhi keperluan setiap peringkat masyarakat boleh memastikan hutan menjadi pilihan pada mereka yang mencari ruang untuk melepaskan tekanan secara positif.

Oleh DR. SHUREEN FARIS ABDUL SHUKOR
Jabatan Senibina Landskap,
Fakulti Rekabentuk dan Senibina,
Universiti Putra Malaysia
Sumber: Kosmo

0 comments: