07 Mei 2015

Harumanis ~ Mangga ‘Emas’ Indera Kayangan


MUSIM buah mangga harumanis telah tiba di negeri Perlis Indera Kayangan.

Sepanjang daerah Padang Besar, Arau dan Kangar, ratusan penjual membina gerai kecil untuk menjual buah mempelam yang menjadi ikon negeri itu.

Suasana meriah dan tawar menawar yang berlaku setahun sekali antara penjual dan pembeli menjadi satu perkara rutin kerana harga mangga harumanis mencecah antara RM20 hingga RM35 sekilogram.

Mengapa mempelam harumanis yang tidak semahal mangga Miyazaki di Jepun yang mencecah harga ribuan ringgit sekilogram ini cukup eksklusif? Jawapannya, anda harus menikmatinya sendiri baru boleh menilainya.


Teksturnya, rasa buah yang manis dan berbau harum pasti membuatkan anda kecur liur. Jadi RM20 sekilogram merupakan satu pelaburan yang berbaloi.

Namun, di sisi lain, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis yang terletak di Arau membuka dimensi baharu dengan menjual buah mempelam harumanis.

Menurut Rektornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Redzuan Abd. Rahman, kira-kira 500 daripada 1,000 pokok harumanis yang ditanam di ladang seluas empat hektar di kampus universiti itu dijangka menghasilkan 12 tan metrik buah yang bernilai RM180,000.

“Hasil ini menambah nilai RM20,000 berbanding RM160,000 pada tahun lepas,” katanya.

Tambah Ahmad Redzuan, universiti itu akan memanfaatkan sepenuhnya keseluruhan pokok mangga harumanis merangkumi batang pokok, ranting, daun dan buah yang busuk.

Baja kompos

“Sebelum ini mempelam harumanis hanya dikenali dengan buahnya semata-mata.

“Sebagai contoh, buah mempelam harumanis yang busuk sepenuhnya, ranting dan daun yang gugur akan diproses semula menjadi baja kompos.

“Selain itu, kami juga akan mengurangkan penggunaan racun serangga untuk mendapatkan kualiti buah mempelam harumanis yang lebih baik,” katanya.

Kata Ahmad Redzuan, pihaknya akan memperkasa promosi buah mangga harumanis universiti itu dengan memperkenalkan pembalut jenama sendiri selain cuba memanjangkan lagi hayat ranum buah sehingga tiga minggu.

“Pembalut buah itu sendiri akan memudahkan kami menilai tempoh matang buah mempelam harumanis sebelum dikutip selain merekod kuantiti buah secara keseluruhan,” katanya.


MESKIPUN agak mahal, mangga harumanis mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan setempat dan di luar pasaran Perlis.

Tambah Ahmad Redzuan, masalah penjual buah mempelam harumanis kini ialah untuk memanjangkan tempoh hayat buah itu.

“Buah yang terlalu ranum tidak sedap dan mudah busuk. Ini boleh menjejaskan kualitinya dan menyebabkan pelanggan tidak berpuas hati.

“Jadi memanjangkan tempoh hayat buah amat penting terutama bagi pasaran di luar Perlis,” katanya lagi.

Buah mangga harumanis yang telah ranum hanya boleh bertahan seminggu dalam persekitaran luar sementara jika disimpan dalam peti sejuk hanya dua minggu.

Sekiranya melebihi tempoh tersebut, buah itu akan menjadi busuk dan tidak sedap dimakan.

Sementara itu, bagi seorang peraih mangga harumanis di Perlis, Mohd. Mustaqim Abdullah, sambutan tinggi terhadap buah mangga itu memberi situasi baharu kepadanya.

“Kira-kira 20 tahun dahulu, harga buah mempelam harumanis hanya RM4 sekilogram.

“Saya dan ayah perlu mempromosikan buah itu di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

“Namun, kini sambutan yang diterima cukup baik, malah stok kira-kira 50,000 kilogram setahun hanya cukup untuk pasaran Perlis sahaja.

“Rumah keluarga saya di Jalan Santan, Kangar akan dikunjungi pelanggan bagaikan kenduri kahwin tidak kira siang atau malam,” ceritanya tersenyum.

Curi buah

Menurut Mohd. Mustaqim, bisnes Perniagaan Abdullah Sekeluarga telah beroperasi lebih 30 tahun.

“Selain menjual mempelam harumanis, kami membantu peladang buah itu dengan membelinya pada harga berpatutan selain terlibat dalam kerja-kerja memproses, menggred dan membungkus,” katanya.

Tambahnya, ada pelanggan yang membeli buah mempelam harumanis untuk dihantar kepada anak mereka yang melanjutkan pelajaran di Rusia, Ireland, Emiriyah Arab Bersatu dan Arab Saudi.

Seorang peladang mangga harumanis Annuar Md. Noh memberitahu, penanaman pokok mempelam itu di Kampung Paya Kelubi, Kangar seluas 0.5 hektar telah memberi pendapatan sampingan kepada dia sekeluarga sejak lima tahun lalu.

“Terdapat 150 pokok mempelam harumanis yang ditanam dan pendapatan kasar yang diperoleh sekitar RM50,000 setahun. Musim harumanis hanya setahun sekali, jadi selepas itu, saya dapat menumpukan masa di bendang pula,” katanya.

Namun, Annuar menegaskan, proses penjagaan mangga harumanis bukan satu perkara yang mudah.

“Harga sekilogram mangga yang boleh mencecah sehingga RM35 menyebabkan ada segelintir rakyat negeri ini bertindak mencuri buah mempelam harumanis yang telah ranum.

“Selain itu, ada yang bertindak mencuri anak pokok mempelam harumanis kerana harga sepokok boleh mencecah RM40 bagi pokok yang berumur lebih enam bulan,” jelasnya.

Justeru, tidak hairan bagi pengusaha mangga harumanis di Perlis yang berskala besar memasang pagar elektrik selain mengupah pengawal bagi memantau keselamatan ladang mereka daripada berlakunya kes kecurian.


PULUT mangga merupakan antara hidangan berasaskan mempelam harumanis.

Kelainan produk

Hakikatnya, bagi rakyat negeri itu, harga mempelam harumanis ibarat barang mahal, malah ada yang mengibaratkan nilainya seperti emas.

Dalam pada itu, musim mangga harumanis di negeri yang mendapat jolokan Indera Kayangan itu menampilkan kelainan dengan pengenalan 14 jenis produk makanan berasaskan buah berkenaan.

Sebelum ini, pelanggan sekadar menikmati jus dan buahnya sahaja tetapi kini keenakan Raja Mempelam itu boleh dirasai dalam bentuk lain.

Pengarah Pertanian Perlis, Zulkepli Amin Jusoh berkata, buat julung-julung kalinya, jabatan itu menganjurkan Festival Harumanis 2015 di Pusat Kecemerlangan Harumanis, Sungai Batu Pahat, Kangar yang bermula sejak 1 Mei 2015 lalu.

“Jika sebelum ini, pengunjung hanya sekadar menikmati buah, jus dan pulut harumanis semata-mata, namun kali ini mereka boleh menikmati 14 jenis produk berasaskan buah itu seperti lolipop, aiskrim goreng, roti keju, harumanis crepe, float dan smoothie.

“Harga yang dijual berpatutan bermula serendah RM1. Selain itu, kami menyediakan perkhidmatan kereta api khas yang membawa pengunjung ke ladang mempelam harumanis dengan kadar bayaran RM3 (dewasa) dan RM1 untuk pelajar sekolah,” katanya.

Tambah Zulkepli, pengunjung yang menaiki kereta api khas itu dapat meninjau dan melihat proses harumanis ditanam, dipetik selain mendengar taklimat penjagaan pokok itu.

“Mereka juga boleh bergambar di ladang tersebut selain boleh merasai sendiri buah yang segar sebelum membelinya.

“Harga mempelam harumanis RM23 sekilogram tidak termasuk kotak yang berharga RM4,” katanya.

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Sumber: Kosmo

Walau Mahal, Harumanis Tetap Jadi 'Buruan'

KEPELBAGAIAN jenis buah mangga memberi kelainan kepada setiap satunya. Antara yang menjadi sebutan kini adalah jenis harumanis yang sangat istimewa kerana keenakan dan aroma serta kaya dengan vitamin C dan E.

Perlis adalah satu-satunya negeri pengeluar mangga harumanis di negara ini yang bermusim, hanya sekali dalam setahun.

Pastinya negeri tersebut menjadi tumpuan peminat tegar harumanis setiap kali musim buah tersebut yang bermula pada pertengahan April dan berakhir awal Jun. Tinjauan ke negeri tersebut mendapati harumanis dijual di beberapa kawasan, antaranya Chuping, Padang Besar dan Kangar yang dijual antara RM20 hingga RM25 untuk sekilogram (kg).

Bagaimanapun, di ibu kota, harumanis dijual dengan harga RM25 sehingga RM30 ke atas bagi sekilogram. Tidak hanya itu, penjual harumanis juga memanfaatkan laman sosial bagi memasarkan harumanis melalui kaedah tempahan dan akan mengirim kepada pembeli apabila tiba waktunya.

Tempahan meningkat setiap hari

Bagi pengusaha harumanis, Akibi Sulaiman, dia menerima tempahan lebih 100 kg setiap hari daripada pelanggannya di seluruh negara.

“Saya menjual harumanis sejak pertengahan April lalu dan setiap hari saya terpaksa membeli daripada pembekal luar kerana permintaan yang tinggi. Saya berniaga di rumah bermula jam 1 petang dan berakhir 12 malam.

“Selalunya, saya mengambil tempahan empat atau lima hari awal bagi memastikan pelanggan akan mendapat harumanis yang sedia untuk dimakan.

"Kadang- kadang ada pelanggan membeli secara terus dan mereka perlu peram selama beberapa hari sebelum dimakan terutamanya yang berada luar Perlis,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Paya Kampung Besar, Jalan Kaki Bukit, Kangar.

Akibi berkata, sejak musim harumanis, dia dan isterinya, Zuriyati Mat Alim, akan menguruskan perniagaan dan memastikan kebun harumanis berkeluasan hampir dua ekar yang mempunyai 80 pokok dijaga rapi bimbang berlaku kecurian.

“Saya hanya menjual buah ini antara RM20 hingga RM21 sekilogram mengikut saiz serta gred A dan B.

"Alhamdulillah, setakat ini, permintaan pelanggan tidak pernah putus dan kadang-kala saya tidak mampu memenuhi kehendak mereka,” katanya yang menerima tempahan melalui panggilan telefon sahaja.

Menurutnya, penjagaan harumanis tidak boleh diambil mudah kerana memerlukan ketelitian sama ada ditanam menggunakan benihnya sendiri, 'kahwin sanding' atau tut. Isinya mempunyai dua warna iaitu kuning dan oren.

“Sepokok harumanis mampu mengeluarkan buah antara 30 hingga 400 biji setahun. Harumanismempunyai pelbagai saiz iaitu besar dan sederhana.

"Selalunya sekilogram adalah dua biji sahaja,” katanya yang turut menanam di sekitar halaman rumahnya.

Perlu sediakan lebih 300 kilogram harumanis

Bagi pembekal harumanis, Mohd Nazrul Yaacub, musim harumanis sepanjang pertengahan April sehingga Jun dianggap bulan rezeki kepada beliau sekeluarga dan rutin hariannya akan berubah.

“Saya perlu menghantar harumanis kepada penjual tepat pada masanya iaitu sebelum tengah hari dan bergantung kepada permintaan mereka, antaranya pada waktu petang.

“Saya menjadi pembekal harumanis kepada beberapa peniaga harumanis di sekitar Perlis, antaranya di Kangar dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Paya,” katanya yang juga penjaga kebun hampir dua ekar yang mempunyai 95 pokok harumanis.

Menurutnya, penjagaan harumanis rumit kerana perlu dibalut menggunakan kertas berwarna coklat dan putih selama 75 atau 80 hari sebelum dipetik.

“Selain itu, faktor cuaca juga mempengaruhi pengeluaran harumanis kerana buah itu begitu sensitif kepada cuaca basah selain serangan serangga.

“Pada tahun lalu, pokok di kebun saya mampu menghasilkan dua tan harumanis dan menjangkakan pada tahun ini akan dapat jumlah yang sama juga," katanya.

Menurutnya, harga RM25 kg dijangka bertahan sehingga pertengahan Mei sahaja dan selepas itu harganya akan meningkat kepada RM30 dan RM35.

Beli dari rumah pekebun

Sementara itu, kakitangan awam, Abdul Rahim Mahamoud, 40, berkata, keistimewaan harumanis ialah baunya yang wangi dan mempunyai serat yang membantu sistem pencernaan dalam badan.

Dia gemar membeli buah harumanis daripada rumah pekebun sendiri berbanding membelinya di gerai buah di tepi jalan raya.

“Saya bimbang jika membeli buah di tepi jalan tidak berkualiti dan agak mahal berbanding membelinya daripada pekebun. Saya membelinya dalam kuantiti yang banyak iaitu bermula daripada 10 kg.

“Saya membelinya untuk makan bersama keluarga dan dihantar kepada kawan-kawan serta saudara-mara yang berada di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang menempahnya,” katanya.

Menurutnya, jika musim harumanis, pembeli rela berbaris untuk membelinya kerana tidak mahu terlepas merasai khasiat harumanis.

Sementara itu, suri rumah, Jamilah Mohd Ali berkata, setiap tahun dia pasti membeli harumanis, sama ada membelinya sendiri atau mengirim kawan-kawan atau anak-anaknya yang berkunjung ke Perlis.

“Harumanis mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana rasanya lain daripada beberapa jenis mangga lain.

"Walaupun harganya agak mahal tetapi ia memberikan kepuasan apabila disajikan bersama pulut dan jus.

"Keenakannya sukar diungkap kerana hanya yang merasainya sahaja akan tahu,” katanya yang menggemari isi harumanis berwarna oren.

NORSHAHZURA MAT ZUKI
Sumber: Sinar Harian

0 comments: