02 Jun 2015

Floria Diraja Putrajaya 2015



Bunga Lili Tema Utama Festival Floria Diraja Putrajaya 2015

Festival Floria Diraja Putrajaya 2015 yang akan berlangsung di Anjung Floria, Presint 4 pada 30 Mei hingga 7 Jun ini bakal menampilkan bunga lili sebagai tema utama.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Dr. Aseh Che Mat berkata, bunga lili menjadi pilihan utama kerana mempunyai pelbagai spesies yang menghasilkan warna yang indah dan menarik.

Beliau berkata, penganjuran festival bunga dan taman terbesar di Malaysia itu akan diuruskan oleh anak syarikat milik penuh PPj iaitu Putrajaya Floria Sdn. Bhd. (PFSB) dengan bertemakan Alunan Pancarona.


“Penyertaan peserta antarabangsa pada tahun ini disasarkan melebihi 50 orang yang terdiri daripada pereka bunga dan arkitek landskap seperti dari Australia, Kemboja, Kanada, China, Hong Kong, India, Itali, Jepun, Oman, Singapura, Korea Selatan dan New Zealand.

“Pelbagai pendekatan baharu dibawa kali ini seperti Taman Musim Bunga dan Taman Musim Sejuk yang buat julung kalinya dipamerkan di negara ini, sekali gus memberi simulasi taman Eropah pada musim sejuk beserta salji.

“Saya percaya dua taman ini akan memberi satu pengalaman baharu kepada pengunjung bukan sahaja dari segi cuaca serta suhu yang akan dikawal dengan penggunaan teknologi, tetapi juga bunga yang berasal dari Eropah seperti tulip,” katanya pada sidang akhbar memperkenalkan Festival Floria Diraja Putrajaya 2015.

Menurut Aseh, penganjuran Festival Floria Diraja Putrajaya 2015 yang masuk edisi kelapan akan mempamerkan lebih 400,000 pokok daripada pelbagai spesies, kultivar bunga serta tanaman hiasan bakal ditampilkan di tapak pameran seluas 11.2 hektar.

Katanya, lebih 300 aktiviti harian akan diadakan sepanjang sembilan hari festival itu berlangsung seperti demonstrasi gubahan bunga, bengkel berkebun, acara hiburan, pertandingan fotografi, pertandingan cat air serta seni dan kraf.

“Floral Pavilion yang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung sebelum ini juga akan diberikan kelainan menerusi sudut Embassy Row yang akan turut disertai oleh beberapa kedutaan yang mewakili negara masing-masing.

“Pameran bunga di Embassy Row itu akan ditampilkan dalam pelbagai variasi, reka bentuk dan gubahan yang begitu kreatif . Suruhanjaya Tinggi Kenya adalah peserta pertama yang mengesahkan penyertaan,” ujarnya.

Selain itu katanya, PPj juga menyasarkan kehadiran seba­nyak sejuta pengunjung dari dalam dan luar negara ke Festival Floria Diraja Putrajaya 2015 kerana festival berkenaan dianjurkan semasa musim cuti persekolahan.

“Untuk memudahkan pengunjung, kaunter tiket masuk akan dibuka dua hari sebelum Festival Floria Diraja Putrajaya 2015 berlangsung iaitu dari pukul 9 pagi hingga 7 malam.

Sumber: Utusan [28 Januari 2015]



Taman Musim Sejuk, Bunga Keunikan Floria Diraja Putrajaya 2015

Taman Musim Bunga dan Taman Musim Sejuk merupakan keunikan terbaharu dalam penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2015 yang akan berlangsung pada 30 Mei sehingga 7 Jun 2015 ini.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat berkata, pada setiap edisi penganjuran festival itu, pihaknya akan membawa kelainan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke acara yang sudah masuk kali kelapan dianjurkan.

"Selain kedua-dua taman tersebut, terdapat banyak lagi pembaharuan yang kita bawa termasuk penambahbaikan infrastruktur tapak festival dan ruang pameran bunga serta taman.

"Oleh itu, kita sasarkan sejuta pengunjung ke Floria Diraja Putrajaya 2015, malah acara ini berlangsung pada musim cuti sekolah dan sudah tentunya diharapkan mendapat sambutan luar jangkaan," katanya.

Mengulas lanjut kerjasama 30 rakan pintar tersebut, Aseh memberitahu, usaha yang melibatkan pihak kerajaan dan swasta itu dapat mengurangkan kos penganjuran ditanggung kerajaan yang melaksanakan langkah perbelanjaan berhemat.

"Menerusi jalinan ini, Floria Diraja Putrajaya 2015 menjadi platform bagi agensi-agensi tersebut mempromosikan perkhidmatan dan produk mereka serta mendidik orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

"Di samping itu, kerjasama tersebut juga dapat memupuk semangat kekitaan dalam kalangan agensi terbabit dalam memberikan komitmen tinggi terhadap acara ini yang amat dinanti-nantikan pengunjung pada setiap tahun," katanya.

Antara 30 rakan pintar Floria Diraja Putrajaya 2015 adalah Tourism Malaysia, Putrajaya Holdings (PjH), Marina Putrajaya Sdn. Bhd. dan Kumpulan Shapadu.

Sementara itu, Aseh berkata, bayaran masuk ke Floria Diraja Putrajaya 2015 ditetapkan sebanyak RM5 untuk dewasa manakala kanak-kanak berusia 7 sehingga 12 tahun dikenakan RM1.

Sumber: Utusan [25 April 2015]

Raja Permaisuri Agong Lancar Floria Diraja Putrajaya 2015

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari ini berkenan melancarkan Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya (Floria Diraja Putrajaya 2015) di Pesisiran Tasik, Presint 4 di sini.

Baginda turut berkenan meluangkan masa kira-kira sejam melawat tapak pameran termasuk Taman Diraja, Taman Kucing, Floral Pavilion serta tarikan terbaharu festival kali ini iaitu simulasi Taman Musim Bunga dan Taman Musim Sejuk di Eropah.

Seekor kucing betina bernama Cocoon jenis 'Maine Coon' yang dibawa khas dari Estonia turut dipersembahkan kepada Raja Permaisuri Agong untuk dijadikan pasangan kepada kucing jenis sama bernama 'Louis Vuitton' (LV) yang dihadiahkan kepada Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah semasa perasmian Floria tahun 2014.



Festival kelapan itu bermula hari ini sehingga 7 Jun bertemakan 'Alunan Pancarona' yang menggunakan bunga Lily sebagai bunga tema dengan himpunan 100 jenis bunga Lily serta 400,000 pokok dari pelbagai spesis yang lain.

Tengku Adnan dalam ucapannya berkata festival tahun ini diiktiraf oleh World Flower Council International dengan anugerah 'Joyce White, World Flower Council International Award of Excellence ' yang diiringi hadiah wang tunai US$500 untuk peserta terpilih di Floral Pavilion.

"Festival bunga ini yang ditunggu-tunggu oleh penjual, pembeli dan peminat bunga dan tanaman hiasan tempatan berpotensi untuk dikembangkan lagi dengan penglibatan pengimport dan pengeksport bunga dari dalam dan luar negara," katanya.

Katanya, festival tahun ini mencatat rekod dengan penglibatan lebih 50 pereka bentuk taman dan penyusun bunga antarabangsa dari 28 negara antaranya Afrika Selatan, Australia, Denmark, Ecuador, Hong Kong, Korea, Belanda, Perancis, Sepanyol, United Kingdom dan Oman.

Menurutnya festival itu juga menyediakan 50 lot komersial berkonsep Garden Bazaar dan 'hort mart', lebih 60 gerai jualan makanan dan minuman serta 83 lot hasil kraf dan seni.

Floria Diraja Putrajaya dibuka kepada lawatan umum mulai hari ini hingga 7 Jun dari 9 pagi hingga 10.30 malam pada Isnin hingga Khamis dan dari 9 pagi hingga 12 tengah malam pada Jumaat hingga Ahad.

Sumber: BERNAMA [30 Mei, 2015]

Taman Persahabatan China-Malaysia Tarikan Floria Diraja Putrajaya 2015

Apabila berkunjung ke Floria Diraja Putrajaya 2015, pastinya tidak lengkap sekiranya tidak melawat Taman Persahabatan China-Malaysia yang menjadi bualan dan tumpuan orang ramai di Putrajaya ekoran keunikannya.

Berkonsepkan taman kekal di tapak Floria Diraja Putrajaya di Presint 4, Taman Persahabatan China-Malaysia seluas 0.24 hektar yang berci­rikan gaya Lingnam itu dibina sebagai tanda hubungan yang semakin kukuh antara kedua-dua negara.

Dengan kos perbelanjaan sebanyak RM1.5 juta, pastinya keunikan dan kecantikan Taman Persahabatan China-Malaysia itu berjaya menarik ribuan pengunjung sepanjang berlangsungnya Floria Diraja Putrajaya 2015 yang bermula semalam hingga 7 Jun 2015 ini.

Pengunjung Floria Diraja Putrajaya 2015 tidak putus-putus mengunjungi Taman Persahabatan China-Malaysia, malah mereka ju­ga tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kena­ngan di taman tersebut.

Seorang pengunjung, Noratikah Abdul Hadi, 26, berkata, keunikan Taman Persahabatan China-Malaysia amat menyerlah dan berada di taman tersebut seolah-olah berada di China kerana semua hiasan melam­bangkan keindahan yang terdapat di negara itu.

Katanya, Taman Persahabatan China-Malaysia adalah taman pertama yang dilawatinya selepas memasuki tapak penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2015 kerana keunikannya yang tersendiri malah kedudukannya juga strategik kerana bersebelahan tasik Putrajaya.

“Saya tahu mengenai Taman Per­sahabatan China-Malaysia ini melalui laman sosial, saya lihat banyak gambar menarik diambil di sini, jadi kesempatan mengunjungi Floria Diraja Putrajaya 2015 tidak akan saya lepaskan untuk melawat taman ini.

“Bayaran tiket masuk ke Floria Diraja Putrajaya 2015 juga amat berpatutan dan bagi saya bayaran itu berbaloi dengan keindahan bu­nga-bungaan yang dipamerkan, jadi tidak rugi bagi saya menghabiskan masa terluang di sini,” katanya.

Selain itu seorang lagi pengunjung, Rabiatul Adawiati Mohd. Ghazali, 27, berkata, hiasan dan bunga-bungaan yang menghiasi Taman Persahabatan China-Malaysia membuatkan ramai pengunjung terpesona dan meluangkan masa yang agak lama di taman tersebut.

Katanya, pengunjung berpu­su-pusu datang ke Taman Persahabatan China-Malaysia se­ma­ta-mata untuk bergambar, keunikannya terserlah dan rata-rata pengunjung yang datang ke taman itu teruja dengan apa yang dilihat kerana seperti berada di China.

“Saya juga mahu mengesyorkan kepada mereka yang datang ke Floria Diraja Putrajaya 2015 agar mengunjungi Taman Persahabatan China-Malaysia ini, saya yakin keunikan hiasan bercirikan Lingnam ini akan menarik perhatian anda.

“Saya difahamkan Taman Persahabatan China-Malaysia ini adalah tapak kekal, jadi selepas penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2015 ini, saya akan kembali lagi ke sini untuk bersantai bersama keluarga,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Koh, 60, berkata, elemen-elemen unik yang mempunyai hubung kait dengan kehidupan masyarakat Cina membuatkan dia tertarik untuk mengunjungi taman tersebut.

“Bagi saya pembinaan taman ini amat unik, dengan bercirikan Lingnam kita dapat melihat pelbagai keindahan, binaannya juga amat menarik selain turut dilengkapi dengan kolam di tengah-tengah taman,” katanya.

Dalam pada itu, antara tarikan lain yang terdapat di Floria Diraja Putrajaya 2015 ialah Taman Lili, Taman Diraja, Taman Pereka Bentuk, Tea Party Garden, Taman Inovasi, Taman Kucing, Taman Kanak-kanak.

Turut disediakan ialah Bazar Tanaman dan Pasar Hortikultur yang menjual segala keperluan perkebunan dan tumbuh-tumbuhan seperti pokok hiasan, pokok ulam-ulaman, pokok buah-buahan, pokok bunga berpasu, perabot taman, peralatan taman, produk bioteknologi dan perkhidmatan landskap.

Sumber: Utusan [01 Jun 2015]

0 comments: