03 Jun 2015

‘Menggulung Diri’ Bersama Benak Di Batang Lupar


Antara aksi hebat para peserta meluncur bersama benak.

SEAWAL pukul 7 pagi, Antony Colas, 46, sudah tidak sabar untuk turun beraksi mencabar gulungan ombak setinggi kira-kira tiga meter di tengah-tengah Batang Lupar di Sri Aman, Sarawak.

Biarpun hanya berdepan dengan ombak sungai atau benak yang terhasil daripada fenomena air laut pasang dari muara Batang Lupar, namun warga Perancis itu tetap teruja untuk meluncur.

Masakan tidak, pengalaman menyaksikan ombak benak buat pertama kalinya sudah cukup mengkagumkan kerana alunannya berbeza dengan ombak laut iaitu sekadar berlaku beberapa minit sahaja.


Lapan jam kemudian atau tepat pada pukul 3 petang, permukaan air di sekitar Batang Lupar mula beralun menandakan kehadiran benak yang amat dinanti-nantikan oleh setiap peminat sukan air itu.

Bagi Colas, perasaan gementar tetap ada walaupun luaran kelihatan agak tenang sebelum beraksi di atas papan luncur dan ‘menggulung diri’ bersama benak.

Ini kerana, sehari sebelum Pesta Benak berlangsung, dia bersama rakan-rakannya yang sedang bersiar-siar secara kebetulan ternampak seekor buaya sedang ‘bersantai’ di tebing sungai berkenaan.

“Mulanya, saya akui bimbang dengan keselamatan diri, namun apabila memikirkan kepuasan serta keseronokan bermain-main dengan benak, saya bertekad meneruskan misi saya.

“Cebisan pengalaman bergulung bersama benak pasti memberi kepuasan berganda kepada saya dan peserta lain kerana kami dapat bertahan lebih lama berbanding meluncur di pesisiran pantai,” katanya ketika ditemui di Sri Aman, Sarawak.

Sungguhpun namanya turut dikenali dalam arena sukan air itu, Colas tetap rendah diri, malah dia tampil secara bersahaja ketika memperagakan aksi luncurnya yang memiliki kelas tersendiri.

Cabaran



Fenomena benak ini unik kerana hanya berlaku di 65 tempat di seluruh dunia.

Katanya, kepenatan mengejar benak bersama papan luncur di Batang Lupar adalah pengalaman yang sukar dilupakannya.

“Mulanya, saya bimbang untuk meluncur di situ (Batang Lupar) lebih-lebih lagi ia merupakan ‘taman permainan’ bagi seekor buaya legenda yang dikenali sebagai Bujang Senang suatu ketika dulu.

“Detik yang paling saya tidak boleh lupa sepanjang meluncur di situ ialah saat kali pertama berdiri atas papan luncur sambil ‘menggulung diri’ bersama benak.

“Kepuasan sebenar hanya tercapai selepas keluar dari gulungan ombak yang pastinya tidak tergambar oleh kata-kata,” katanya.

Mengimbas kembali kenangannya mencabar benak buat kali pertama beberapa tahun lalu, Colas mengakui, dia hampir menarik diri kerana tiada rakannya yang sudi meluncur bersamanya ketika itu.

Ceritanya, Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshudin Abang Seruji ketika itu yang menjemputnya untuk meluncur benak di Batang Lupar.

“Pada mulanya, saya serba salah untuk menolak jemputan itu kerana saya bukanlah seorang peluncur yang hebat.

“Namun, selepas memikirkan kepuasan bertarung dengan gulungan ombak ganas yang terhasil di Batang Lupar ini, saya bertekad datang ke Sarawak dan menyertai aksi luncur ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berkata, fenomena alam yang mempamerkan keunikan arus kuat di Batang Lupar telah diangkat sebagai Pesta Benak sejak tahun 2001.

Jelasnya, benak merupakan ombak sungai yang terhasil ketika air laut pasang dan menyebabkan pertembungan arus antara air laut dan sungai.

Keadaan itu ujarnya, menyebabkan air sungai mengalir ke arah yang bertentangan iaitu ke bahagian hulu di Batang Lupar.

“Dengan kelajuan 20 hingga 30 kilometer sejam, benak yang bermula di lokasi pertamanya di Pulau Seduku, Batang Lupar itu boleh mencecah ketinggian sehingga enam meter.

“Dari Pulau Seduku pula, benak akan berterusan sehingga 30 kilometer (km) ke Engkelili iaitu kira-kira 70km dari Laut China Selatan,” katanya.

Setakat ini, individu yang mahu meluncur tidak perlu mendapat kebenaran daripada mana-mana pihak.

Unik


Pesta Benak turut menarik penyertaan peserta luar negara.

Mengulas lanjut, fenomena benak yang berlaku di Batang Lupar adalah satu fenomena yang unik kerana hanya berlaku di 65 tempat di seluruh dunia, termasuk Sarawak.

Katanya, apa yang menarik perhatian, fenomena benak yang terdapat di Sarawak khususnya di Batang Lupar adalah fenomena alam yang cukup unik dan sungguh menakjubkan.

“Selain di Batang Lupar, terdapat tiga tempat lain di negeri ini yang turut mengalami fenomena benak iaitu di Batang Sadong, Batang Samarahan dan Batang Saribas.

“Sebenarnya, fenomena benak berlaku pada musim air pasang besar apabila air dari muara Batang Lupar memasuki sungai yang cetek dan menghasilkan ombak besar menyusuri sungai hingga ke muara,” jelasnya.

Francis menambah, lazimnya ketinggian ombak bergantung kepada kecetekan sungai tersebut iaitu jika sungai itu cetek, maka bertambah besar dan tinggi ombak yang dipanggil ‘benak’ yang akan mengalun ke hulu dan menyebabkan air sungai cepat pasang.

Menurutnya, aliran air yang deras dari muara ke hulu akan saling berlanggar dan membentuk gelombang yang lebih menarik dan unik sekali gus mencipta kemunculan fenomena benak di Batang Lupar.

“Di Batang Lupar, ketinggian dan besarnya benak terserlah apabila melintasi tebingan Sri Aman di sini. Ombak besar serta alunan tinggi yang terhasil itu pasti memukau mereka yang pertama kali menyaksikan fenomena ini,” katanya.

Popular


Benak boleh didapati di Batang Sadong, Batang Samarahan, Batang Saribas di Sarawak.

Lebih menarik ujarnya, Pesta Benak yang mempamerkan keunikan arus kuat itu semakin terkenal apabila diiktiraf sebagai antara lima acara paling popular dalam kalendar pelancongan Sarawak.

Jelasnya, empat lagi acara popular dalam kalender pelancongan negeri ini ialah Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia, Regata Sarawak, Borneo Jazz Festival dan Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo.

“Keunikan pergerakan arus dari laut menghala ke hulu sungai ini telah melonjakkan kedudukan Pesta Benak dari tempat kesembilan kepada tempat kelima tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Jossem Daweg, 44, mengakui sangat teruja apabila menyaksikan keunikan benak di Batang Lupar tersebut buat kali pertamanya.

Katanya, fenomena benak yang menakjubkan itu secara tidak langsung dapat mengangkat nama Bahagian Sri Aman di pentas pelancongan dunia.

“Kehadiran peluncur-peluncur antarabangsa ke sini juga sudah cukup membuktikan status dan populariti pesta (benak) ini semakin meningkat,” katanya.

Jossem menambah, promosi pesta tahunan yang menonjolkan keunikan benak itu perlu diperhebatkan lagi sebagai produk pelancongan baharu khususnya di wilayah tengah Sarawak.

Ujarnya, ia termasuk menyediakan pakej pelancongan lengkap dengan kemudahan pengangkutan dan penginapan yang berkonsepkan inap desa kepada para pelancong.

“Ia sekali gus memberi peluang kepada pengunjung luar untuk mendalami budaya dan gaya hidup suku kaum Iban yang sebahagian besarnya menetap di sini.

“Kita mahu menarik lebih ramai pelancong melalui pesta ini kerana ia mampu membantu menjana sektor pelancongan yang berteraskan keunikan benak dan budaya masyarakat setempat,” katanya.

Oleh MULLER ASEN
Sumber: Kosmo

0 comments: