29 Julai 2015

Tan Sri Muhyiddin Yassin Digugurkan Daripada Kabinet

Jangan biar isu 1MDB jadi beban Umno

Gugur Muhyiddin keputusan yang amat sukar

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada kabinet adalah satu keputusan yang amat sukar tetapi terpaksa dilakukan agar jemaah menteri dapat bergerak sebagai satu pasukan yang jitu.

Perdana Menteri berkata, kabinet perlu bertindak sebagai pasukan yang jitu dalam apa jua keadaan, melangsungkan agenda pembangunan negara serta menguruskan isu-isu negara yang berbangkit agar dapat bertindak dengan berkesan.


"Saya boleh menerima perbezaan pendapat dan kritikan sebagai sebahagian daripada proses dalam membuat keputusan namun sebagai anggota kabinet perbezaan pendapat tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap kerajaan serta negara.

"Ia juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama," kata Najib ketika mengumumkan senarai anggota kabinet baharu di Perdana Putra.

Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas khidmat bakti yang dicurahkan oleh Muhyiddin serta menteri dan timbalan menteri yang kini tidak lagi bersama dalam pentadbiran kerajaan.

Dalam rombakan kabinet yang diumumkan pada 28 Julai, 2015, Najib menggugurkan Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menggantikannya dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Empat menteri kabinet yang turut digugurkan ialah Datuk Seri Hasan Malek, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri G. Palanivel dan Datuk Dr Ewon Ebin.

Najib berkata beliau yakin kabinet yang baharu dapat meneruskan hasrat kerajaan untuk menjayakan segala perancangan yang telah dijanjikan, meningkatkan keyakinan serta sokongan rakyat kepada Barisan Nasional.

"Keputusan menggantikan Timbalan Perdana Menteri dengan Ahmad Zahid serta empat menteri dan timbalan menteri dan perubahan portfolio dibuat setelah mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran," katanya.- BERNAMA

Sumber: Utusan [28/7/2015]

Muhyiddin terima penggugurannya dengan hati terbuka

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menerima tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggugurkan jawatannya sebagai timbalan perdana menteri dengan hati terbuka.

Timbalan Presiden UMNO dan Ketua UMNO Pagoh itu berkata, beliau menghormati kuasa prerogatif perdana menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota kabinet dan berjanji akan terus mencurahkan bakti demi memperkukuh parti.

“Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah.

“Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

“Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet, maka saya reda." katanya.

Jelas Muhyiddin, walaupun bukan lagi tersenarai sebagai salah seorang anggota Kabinet, beliau akan terus melaksanakan tugas sebagai Timbalan Presiden Umno.

“Saya akan sentiasa setia kepada perjuangan UMNO. Sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya akan terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO.

“Kepada Allah saya berserah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Dalam kenyataan itu, Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana memberikan peluang kepadanya berkhidmat di jawatan itu bermula 10 April 2009.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai timbalan perdana menteri,” katanya.

Sumber: Utusan [28/7/2015]

0 comments: