31 Julai 2015

PAS dan Ulama Berpisah Tiada



SEJARAH Pas menyaksikan kebangkitan golongan ulamanya tidak dicapai dengan air mengalir deras. Atau bak sekadar hanya menubuhkan sebuah parti baharu.

Jika orang Pas kembali kepada sejarah, beberapa fenomena berlaku dalam parti dan luar Pas sekitar tahun 70-an yang menuntut parti itu melakukan perubahan kepimpinan yang lebih dinamik dan sesuai dengan tuntutan zaman.

Ini terutama tercetusnya bibit-bibit perpecahan dalam Pas di bawah kepimpinan Datuk Mohd. Asri Muda berikutan keputusannya membawa Pas menyertai kerajaan campuran pada 1972/73 dan kemudian kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 1974. Tindakan itu menyebabkan Pas terbahagi kepada dua puak, pro dan kontra.


Hal ini telah menggerakkan Pas untuk mewujudkan kepimpinan ulama bagi mengembalikan fungsi kewujudan Pas sebagai parti politik dan gerakan Islam. Faktor-faktor kesedaran terhadap Islam sejak tahun 1970 sebenarnya menggalakkan munculnya pertubuhan-pertubuhan yang bergerak atas nama Islam dalam menjalankan aktiviti dakwah di seluruh negara.

Badan dakwah yang lahir seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dianggotai pelajar dalam negeri dan luar negeri untuk merealisasikan cita-cita perjuangan Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Selain itu, terdapat pergerakan seperti tabligh dan al-Arqam.

Penglibatan tokoh-tokoh ABIM ke dalam Pas ketara selepas kekalahan Pas di Kelantan pada Mac 1978 ekoran surat Muhammad Natsir (Ketua Umum Masyumi) kepada Mohd. Asri supaya ABIM menyelamatkan Pas.

Hubungan akrab itu boleh dilihat ketika pilihan raya umum 1978 yang mana beberapa tokoh besar ABIM seperti Fadzil Nor (waktu itu Timbalan Presiden ABIM) dan Nakhaei Ahmad (Naib Presiden ABIM), Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman (Bendahari ABIM), Abdul Hadi Awang (Yang Dipertua ABIM Negeri Terengganu) dan Ustaz Yahya Othman (Ahli Syura ABIM) bertanding atas tiket Pas.

Pembabitan mereka secara langsung dalam Pas telah membawa satu pembaharuan dalam jentera dan fikrah perjuangan untuk merealisasikan Pas sebagai sebuah gerakan Islam.

Apabila Mohd. Asri mendapat mandat untuk masuk BN pada 1974 melalui muktamar Pas, dengan daripada 352 yang hadir, 143 menyokong, 19 berkecuali dan 190 menentang, ramai dari kalangan orang penting telah meninggalkan parti seperti Abu Bakar Hamzah (Setiausaha Agung), Amaludin Darus dan Ahmad Fakhruddin (bekas Ketua Pemuda Pas Kelantan).

Malah, ada kalangan mereka mengundi calon Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) atau calon bebas bagi menentang calan BN.

Kemenangan revolusi Iran waktu itu turut mempengaruhi ahli Pas untuk menolak kepimpinan Mohd. Asri sebagai Yang Dipertua Agung dalam muktamar Tahunan ke 28. Pembabitan mereka (yang hari ini muncul tokoh utama Pas, antaranya Allahyarham Fadzil Noor, Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Abdul Hadi) dalam Pas menyebabkan pengaruh Mohd. Asri semakin merosot, terutama selepas jatuh Kelantan ke tangan BN pada 1978.

Bibit-bibit awal ke arah kepimpinan ulama sudah nampak kelihatan apabila pada 1978, Dewan Pemuda Pas meluluskan satu usul supaya pemilihan kepimpinan parti dilakukan secara syura dengan ulama diberikan kedudukan yang lebih penting. Usul itu dilihat seperti menyindir Mohd. Asri yang mengamalkan demokrasi terpimpin kerana dalam kepimpinannya, ulama duduk di kelas dua.

Usul itu dikemukakan oleh Nakhaei dan diluluskan oleh Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat. Maka Dewan Pemuda Pas Pusat telah membentuk Jawatankuasa Penapis yang dianggotai oleh Nik Abdul Aziz, Fadzil, Abdul Hadi dan Mustafa Ali selaku lembaga penapis kelayakan calon. Mereka yang akan bertanding dalam Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat mestilah memenuhi kriteria keperibadian Islam, adil dan boleh berijtihad.

Golongan muda dalam Pas telah memperakui bahawa Pas diasaskan oleh para ulama dan seharusnya para ulama berkemampuan mewarnai gerakan dan haluan Pas dalam meneliti liku-liku politik negara. Mereka melihat Mohd. Asri yang memimpin Pas ketika itu gagal menunjukkan kemampuan untuk bergerak sebagai sebuah parti Islam.

Kemuncak dalam tindakan untuk mengetepikan kepimpinan Mohd. Asri secara drastik muncul apabila Dewan Pemuda Pas mengadakan Muktamar tahunan Ke-23 secara berasingan dengan Muktamar Pas Pusat. Ini suatu tindakan luar biasa.

Dengan itu, Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat tidak dirasmikan oleh Mohd. Asri, sebaliknya oleh Fadzil yang ketika itu menyandang Naib Presiden Pas. Sehingga hari ini peraturan itu diguna pakai, iaitu Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat diadakan secara berasingan dengan diawalkan sehari daripada Muktamar Pas Pusat.

Tindakan yang dibuat oleh Dewan Pemuda Pas itu telah menimbulkan kemarahan kepada kepimpinan lama tetapi mendapat sanjungan daripada order baru (golongan yang menyokong perubahan).

Apabila muktamar Pas Pusat pada 1982 berlangsung, perwakilan Dewan Pemuda Pas telah menolak cadangan Jawatankuasa Agung Pas untuk melantik Sudin Wahab, seorang penyokong kuat Mohd. Asri sebagai Pengerusi Tetap. Sebaliknya mencadangkan Kasim Ahmad sebagai pengerusi tetap.

Mohd. Asri yang menyedari kemarahan perwakilan terhadapnya telah bertindak untuk tidak menyampaikan ucapan dasar pada hari pertama muktamar, tetapi berbuat demikian pada hari kedua. Ini menyebabkan terdapat khabar angin bahawa perwakilan daripada Terengganu akan mengemukakan undi tidak peraya terhadapnya.

Para perwakilan melaungkan slogan “Murakbar Asri” sebelum beliau menyampaikan ucapan Dasar. Pada 22 Oktober 1982, Dewan Pemuda Pas Pusat mengemukakan usul tentang kepimpinan ulama dan penubuhan Majlis Syura Ulama Pas.

Dewan Pemuda Pas telah mengemukakan usul supaya ucapan dasar Yang Dipertua Agung Pas ditolak. Ketiga-tiga usul itu diterima oleh muktamar dan menjadikan ucapan dasar Yang Dipertua Pas yang pertama ditolak dalam sejarah Pas.

Mohd. Asri dan rakannya kemudian menghantar surat peletakan jawatan dan menyerahkan kembali kepada muktamar pada petang 22 Oktober 1982. Yusuf Rawa kemudiannya dilantik sebagai Yang Dipertua Agung Pas dengan laungan Allahu Akbar oleh perwakilan.

Oleh: ZULKIFLI JALIL [27 Julai 2015]
Sumber: Utusan

0 comments: