Nuff Atas

30 Julai 2015

Ketahui Penggunaan Dan Kesan Ubat


KESAN sampingan ubat perlu dikenal pasti dan cara mengatasinya harus diberi perhatian supaya kesan negatif dapat dielakkan. GAMBAR HIASAN

UBAT adalah satu bahan yang dibuat secara kajian saintifik yang mampu menimbulkan perubahan terhadap tubuh badan. Umumnya ubat adalah selamat sekiranya diambil mengikut sukatan dan masa yang betul walau kadangkala ada memberi sedikit kesan negatif. Kesan negatif tidak bererti ubat membawa keburukan tetapi pengguna mesti bijak mengambil langkah pencegahan yang bersesuaian.

Terdapat berbagai rupa bentuk, warna dan saiz tablet. Banyak yang mirip antara satu sama lain tetapi fungsi atau kegunaannya mungkin sangat jauh berbeza. Jika anda tidak kenal ubat yang anda gunakan, kecenderungan mengambil ubat yang salah atau tidak sesuai amat tinggi. Anda sangat berisiko mengalami kemudaratan.


Masyarakat terutama yang menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis sangat digalakkan untuk mengenali ubat yang digunakan. Nama ubat sangat penting untuk diingat terutama sekiranya bekalan terputus ketika berada di tempat lain yang jauh dari fasiliti kesihatan yang biasa membekalkan ubat.

Nama ubat termasuk vitamin dan ubatan herba juga penting dimaklumkan kepada doktor seandainya menjalani rawatan untuk masalah kesihatan lain supaya interaksi antara ubat sedia ada dengan ubat yang akan diberikan dapat dipertimbangkan.

Sukatan ubat penting bagi menjamin keberkesanan. Sukatan ubat berbeza-beza mengikut jenis ubat dan cara kerja ubat terhadap tubuh badan manusia. Mengurangkan sukatan ubat dengan sendiri mungkin membuatkan kawalan penyakit kurang berkesan manakala memakan ubat melebihi sukatan ditetapkan mampu menimbulkan masalah kesihatan lain.

Waktu mengambil ubat yang terbaik juga perlu diberi perhatian. Ada ubat perlu dimakan pada ketika perut kosong iaitu setengah hingga satu jam sebelum makan. Atau andainya terlupa, perlu dimakan anggaran dua jam setelah makan ketika proses penghadaman makanan telah selesai. Ini biasanya diperlukan bagi ubat-ubat yang dapat terganggu penyerapannya oleh makanan. Ada ubat yang diserap lebih baik oleh tubuh badan dengan adanya makanan di dalam perut, jadi ubat perlu dimakan ketika atau sebaik sesudah makan.

Cara penyimpanan ubat adalah satu lagi aspek penting kerana penyimpanan yang betul menjamin keberkesanan dan keselamatan penggunaan ubat serta menghindari ubat dari tercemar atau rosak.

Ubat sebaiknya dibiarkan kekal dalam kemasan asal serta sampul ubat yang bertulis arahan penggunaan bagi mengelak kekeliruan. Simpanlah ubat dalam bekas bertutup, kering dan jauh dari pancaran cahaya yang kuat. Sesetengah ubat seperti antibiotik cecair dan insulin perlu disimpan di dalam peti sejuk.

Kesan sampingan ubat perlu dikenal pasti dan cara mengatasinya perlu diberi perhatian supaya kesan negatif dapat dielakkan. Ubat kencing manis dapat menimbulkan kesan sampingan yang dipanggil hipoglisemia atau paras gula darah menjadi sangat rendah. Keadaan ini boleh berlaku jika ubat tidak digunakan dengan cermat atau pesakit tetap memakan ubat namun tidak mengambil sebarang makanan.

Pesakit perlu mengenalpasti tanda-tanda hipoglisemia seperti pening, sakit kepala, loya, berpeluh, tampak pucat dan rasa lemah atau kepenatan. Pesakit perlu tahu tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku hipoglisemia untuk mengelak perkara lebih serius seperti sawan, pitam atau koma daripada berlaku.

Ada ubat tertentu seperti ubat cair darah dan ubat untuk penyakit sawan apabila digunakan memerlukan pemantauan darah secara berkala. Pengguna perlu tahu kepentingan pemantauan tersebut serta tanda-tanda yang menunjukkan kemungkinan kadar ubat dalam darah tidak bersesuaian dan perlu perubahan sukatan. Jika selepas pemantauan, sukatan ubat diubah, pesakit perlu mengikut sukatan yang baru bagi mengelak timbul masalah.

Ada ubat-ubat yang dibuat dengan lapisan pelindung atau coating supaya perut tidak terasa pedih selepas memakannya. Ada juga lapisan pelindung yang dibuat supaya ubat dikeluarkan sedikit demi sedikit atau disebut slow release ke dalam tubuh badan supaya kesan ubat kekal berpanjangan. Ubat seperti ini tidak boleh dikunyah kerana fungsi perlindungan terhadap dinding perut akan dimusnahkan.

Bagi ubat slow release, kesan berkala ubat menjadi tidak berfungsi malah sukatan ubat dapat meningkat secara mendadak dan boleh memberi kesan tidak baik.

Kebanyakan ubat batuk, selesema dan alergi dapat menimbulkan kesan mengantuk. Ubat-ubat ini tidak sesuai diambil ketika perlu memandu kenderaan atau mengendalikan mesin serta tugas yang memerlukan tumpuan.

Sesetengah ubat mempunyai lebih daripada satu kegunaan. Pengguna perlu tahu fungsi lain sesuatu ubat bagi mengelakkan memakan ubat jenis lain sehingga menyebabkan penggunaan ubat yang berlebihan. Berilah perhatian ketika doktor menerangkan fungsi ubat-ubat tersebut.

Contoh mudah adalah ubat yang mengandungi parasetamol. Selain untuk demam, parasetamol juga mampu mengurangkan kesakitan. Jadi seandainya seorang pesakit mengalami demam beserta sakit kepala, tidak perlulah memakan parasetamol bersamaan ubat tahan sakit yang lain pula.

Pengguna juga wajar mengetahui jangka masa yang diperlukan untuk sesuatu ubat memberi kesan. Ada ubat memberi kesan serta merta, ada yang mengambil masa beberapa jam, ubat seperti vitamin tambah darah perlu diambil berterusan sebelum kesan positif dapat dirasakan. Ubat seperti antibiotik pula perlu diambil sehingga habis untuk satu jangka masa tertentu seperti arahan doktor bagi memastikan penyembuhan yang sempurna dan mengelakkan resistensi ubat.

Kenalilah ubat-ubat yang anda gunakan. Prihatinlah tentang kelebihan dan kekurangan ubat masing-masing agar keberkesanan rawatan dapat ditingkatkan dan kesan-kesan yang boleh menyebabkan kemudaratan dapat dikurangkan.

Oleh: ZALILLAH ABDUL MANAN
PENULIS ialah Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) Pahang.
Sumber: Utusan

0 comments: