16 Ogos 2015

Al-Quran Di Universiti Birmingham Antara Manuskrip Tertua


Disahkan sebagai manuskrip tertua berdasarkan tulisan dan helaian kertasnya. (REUTERS).

Manuskrip al-Quran yang disimpan di Universiti Birmingham, United Kingdom (UK) kini menjadi antara bahan manuskrip tertua di dunia. Pengesahan itu diperoleh melalui satu kajian saintifik moden oleh sebuah makmal di universiti terkemuka di UK.

Analisis radiokarbon telah mengesahkan helaian kertas mengandungi ayat-ayat suci itu ditulis antara tempoh 568 hingga 645 selepas masihi (AD) dengan ketepatan 95.4 peratus.

Ujian yang dijalankan di sebuah makmal di Universiti Oxford itu juga menunjukkan tempoh tersebut hampir dengan zaman Nabi Muhammad SAW yang secara umumnya hidup antara 570 hingga 632 AD.


Dalam masa sama, kesimpulan ujian itu membuktikan tentang kewujudan kitab suci Islam itu. Ia juga secara tidak langsung memberi pengiktirafan kepada warisan dan pengajian Islam pada masa depan.


INILAH manuskrip Al-Quran yang dikatakan tertua. (REUTERS).

Pengarah Koleksi Khas (Perpustakaan Penyelidikan Cadbury) di Universiti Birmingham, Susan Worrall berkata, analisa radiokarbon itu telah menghasilkan keputusan menakjubkan, khususnya dalam usaha mereka untuk memahami tentang tulisan awal al-Quran itu.

“Kami amat gembira kerana dokumen sejarah yang penting itu ada di Birmingham, yang merupakan sebuah bandar yang kaya dengan kepelbagaian budaya di UK,” katanya.

Manuskrip al-Quran itu adalah sebahagian daripada koleksi University Mingana Collection of Middle Eastern Manuscripts dan dipamerkan di Perpustakaan Penyelidikan Cadbury.

Koleksi itu telah meningkatkan lagi status bandar Birmingham sebagai pusat intelektual bagi pengajian agama dan berupaya menarik kehadiran pakar teologi terkemuka dunia.

Terdiri daripada dua helaian daun kertas, manuskrip al-Quran itu mengandungi sebahagian surah 18 hingga 20 dan ditulis dalam tulisan Arab yang dikenali sebagai Hijazi.

Sementara itu, Dr. Alba Fedeli yang turut menjalankan kajian itu sebagai sebahagian daripada penyelidikan PhD berkata: “Kedua-dua daun kertas yang ujian radiokarbon mengesahkan tarikhnya dari awal abad ketujuh itu mempunyai persamaan dengan manuskrip yang disimpan di Bibliothèque Nationale de France, Paris.”

Nabi Muhammad SAW menerima wahyu di antara tahun 610 dan 632 AD. Pada masa itu, wahyu Allah SWT itu tidak dikumpulkan dalam bentuk buku, sebagaimana yang terdapat pada hari ini.
Sebaliknya, wahyu itu dihafal oleh para sahabat Rasulullah SAW dan ada sebahagian ditulis pada batu, pelepah pokok kurma dan belulang unta.

Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, pemimpin pertama umat Islam selepas wafatnya baginda telah mengarahkan ayat-ayat suci itu dikumpulkan dalam bentuk buku.

Pembukuan ayat-ayat suci itu berjaya diselesaikan pada masa pemerintahan Khalifah Uthman Al-Affan iaitu pada tahun 650 AD. Umat Islam percaya bahawa al-Quran yang mereka baca dan hafal pada hari ini adalah teks yang sama dihasilkan ketika pemerintahan Uthman kerana ia dianggap tepat dan selari dengan apa yang disampaikan kepada Rasulullah SAW.

Dalam pada itu, Ketua Kurator Manuskrip Persian dan Turkish di Perpustakaan British, Dr. Muhammad Isa Waley menyifatkan penemuan itu sebagai amat menarik.

“Kita mengetahui sekarang bahawa tulisan tangan Hijazi yang cantik dan mudah dibaca itu datang pada masa pemerintahan tiga Khulafa’ Ar- Rasyidin.

“Berdasarkan sejarah, ayat-ayat suci itu dikumpul, disusun dan disunting mengikut susunan yang ada pada hari ini adalah berasaskan usaha yang dilakukan oleh Zayd ibn Thabit, ketika pemerintahan khalifah pertama.

“Salinan itu kemudiannya diedarkan kesemua bandar-bandar di bawah pemerintahan Islam,” katanya.

Sumber: Utusan

0 comments: