15 Ogos 2015

Cas Kereta Sambil Memandu di Lebuh Raya



KEMAJUAN sains dan teknologi masa kini mendorong pelbagai inovasi dihasilkan oleh pakar-pakar atau saintis semata-mata mahu memudahkan kehidupan manusia.

Boleh dikatakan banyak negara di dunia sedang berlumba-lumba menghasilkan pelbagai rekaan teknologi yang bukan sahaja mendapat sambutan tetapi kegunaannya sangat bermanfaat kepada manusia sejagat.

Pada Selasa 11 Ogos 2015 lalu, kerajaan Britain mengumumkan akan membuat percubaan pertama menggunakan pengecas kenderaan elektrik tanpa wayar di sepanjang jalan raya di negara itu pada tahun 2015 ini.


Satu ‘lebuh raya elektrik’ dengan lorong khas akan dibina bagi membolehkan pemilik mengecas kereta elektrik di atas jalan raya sambil memandu tanpa perlu berhenti di mana-mana stesen seperti yang dilakukan sebelum ini.

Polisi kerajaan Britain menetapkan agar disediakan tempat mengecas pada jarak setiap 32 kilometer.

Teknologi baharu itu akan memberi berita gembira kepada pemilik kenderaan tersebut kerana tidak perlu risau untuk mengecas kereta itu lagi malah, penggunaan kereta elektrik menjadi semakin popular.

Pastinya pengenalan teknologi baharu tersebut menggembirakan para pemilik kerana mereka tidak perlu lagi risau tentang masalah pengecasan kereta.

Selain itu, ia bakal mempopularkan lagi kenderaan mesra alam itu dalam kalangan penduduk di negara berkenaan.

Percubaan tersebut akan dilakukan selama 18 bulan diikuti ujian oleh orang awam bagi merasai sendiri manfaat teknologi yang dikenali sebagai ‘dinamik pemindahan tenaga tanpa wayar’.

Teknologi tersebut membolehkan kereta elektrik mendapat janaan kuasa daripada peralatan yang dipasang di bawah permukaan jalan di England. Pengecasan dapat dilakukan dengan pantas.

Kebanyakan kereta elektrik perlu dicas semula selepas 160 kilometer.

Ketua jurutera Highways England, Mike Wilson berkata, percubaan tersebut menggunakan kereta khas yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, jika berjaya pihak Highways England akan memasang teknologi tersebut di lebuh raya dan jalan-jalan utama di sekitar Britain.


Proton Holdings Bhd. turut membina kereta elektrik daripada model Proton Saga. – Gambar hiasan

“Ia akan menjadi percubaan pertama kami di atas jalan raya sebenar. Kami akan menguji keberkesanan teknologi ini dan kemampuannya beroperasi secara selamat dan efektif di lebuh raya serta jalan-jalan utama.

“Teknologi ini sangat bagus kerana ia membolehkan kereta elektrik dipandu untuk perjalanan jarak jauh secara terus tanpa perlu berhenti dan mengecas bateri di stesen,” katanya.

Pelaburan

Highways England merupakan syarikat milik kerajaan Britain yang bertanggungjawab memajukan industri automotif dan lebuh raya di negara berkenaan berkembang maju.

Selain itu, syarikat tersebut juga bertanggungjawab mengawal selia aliran trafik bagi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Kerajaan Britain melaburkan jutaan dolar untuk menjayakan projek berkenaan bagi menggalakkan penggunaan kenderaan rendah pelepasan karbon dan mesra alam bagi menjaga bumi daripada pencemaran karbon dioksida.

Walaupun penggunaan kereta elektrik hanya satu peratus di Britain, statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengeluar Motor dan Pedagang (SMMT) menunjukkan penjualan kereta itu di Britain meningkat secara mendadak sejak 12 bulan lalu dengan purata 2,400 buah kenderaan didaftar setiap bulan.

Lebih 35,000 kereta elektrik telah didaftarkan di Britain sejak tahun 2001.

Menteri Pengangkutannya, Andrew Jones berkata, kerajaan Britain telah memperuntukkan dana sebanyak £500,000,000 (RM3.1 bilion) untuk tempoh lima tahun akan datang bagi memastikan teknologi tersebut dapat dimanfaatkan sepenuh oleh rakyat negara itu.

“Britain ingin menjadi negara pertama mengaplikasikan teknologi tercanggih tersebut di samping membantu meningkatkan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam sektor itu.

“Percubaan pertama ini akan melibatkan kenderaan yang sesuai dengan teknologi tanpa wajar dan menguji peralatan yang dipasang di bawah permukaan jalan raya bagi memastikan ia benar-benar bersedia untuk digunakan,” jelasnya.

Kerajaan Britain komited untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 80 peratus pada tahun 2050.


Pemilik kereta elektrik ketika ini perlu berhenti di stesen pengecas untuk mengecas kenderaan mereka. – Gambar hiasan

Pada tahun 2013, sebanyak 25 peratus karbon dioksida dilepaskan oleh asap kenderaan sehingga ia mendorong kerajaan Britain untuk menggalakkan rakyatnya menggunakan kenderaan mesra alam.

Sementara itu, Naib Presiden Sistem Pendorongan Elektrik di Kumpulan Volvo Lennart Stegland memberitahu, hasil kajian yang dijalankan oleh pihaknya mendapati teknologi ‘dinamik pemindahan tenaga tanpa wayar’ menggunakan kaedah pemindahan tenaga melalui medan elektromagnet di permukaan jalan raya. Ia menjanjikan masa hadapan yang cerah dan mencipta sejarah baharu dalam industri kereta elektrik.

“Medan elektromagnet itu akan memindahkan tenaga antara dua objek. Penggunaan sistem itu sebenarnya merupakan perkara biasa dalam pembuatan peralatan elektrik di rumah seperti berus gigi elektrik tetapi tidak pernah digunakan secara komersial bagi tujuan mengecas kereta.

Potensi

“Pengecasan tanpa wayar ini mempunyai potensi yang besar. Teknologi ini memberi keselesaan dan berkesan untuk memindahkan tenaga elektrik kepada kenderaan ketika memandu. Kajian kami menunjukkan ia selamat digunakan tanpa sebarang masalah,” katanya.

Jelasnya, pemandu kenderaan elektrik hanya perlu berada di atas permukaan peranti pengecasan di sepanjang jalan raya yang dibina khas dan ia akan dicas secara automatik. Kaedah pengecasan baharu itu akan menjadi salah satu faktor peningkatan permintaan kereta elektrik.

Ujian menggunakan teknologi ‘dinamik pemindahan tenaga tanpa wayar’ telah dilakukan ke atas model kereta elektrik Volvo C30. Hasil kajian itu mendapati ia dapat dicas sepenuhnya tanpa kabel selama dua jam setengah.

Menurut Lennart Stegland, pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan Siemens yang merupakan syarikat pengeluar kenderaan, dalam usaha membangunkan pemanduan menggunakan teknologi elektrik dan pengecasan yang berteknologi tinggi untuk diaplikasikan ke dalam sistem kenderaan elektrik.

Sumber: Kosmo

0 comments: