23 Ogos 2015

Komponen Sihat Makanan Kucing


Kucing memerlukan protein, karbohidrat, vitamin dan mineral dalam diet mereka.

Kucing yang sihat lazimnya memulakan rutin harian dengan makanan yang berkhasiat. Setiap pemilik kucing inginkan yang terbaik untuk si manja mereka.

Kebanyakan syarikat pemakanan kucing mengambil berat tentang perkara ini. Sehubungan itu, setiap makanan kucing mempunyai ramuan-ramuan berkhasiat untuk perkembangan si manja.

Antara ramuan penting dalam hidangan si manja ialah protein, lemak tenusu, asid lemak omega, karbohidrat, vitamin dan mineral.


Sumber protein boleh didapati daripada daging seperti lembu, ikan dan ayam. Daging-daging asli kaya dengan protein berkualiti tinggi di samping mempunyai perasa yang membuka selera kucing.

Selain itu, kucing juga memerlukan lemak tenusu dan asid lemak omega. Lemak yang mengandungi tenaga seperti asid lemak mampu menyerap vitamin A, E, D dan K malah omega-3 dan omega-6 membantu dalam meningkatkan sistem imun kucing.

Karbohidrat seperti bijirin mil penuh pula membantu mengekalkan stamina dan tenaga si manja yang aktif. Kajian saintis Purina menunjukkan kucing memerlukan karbohidrat tinggi untuk tenaga.

Campuran vitamin dan mineral menyempurnakan lagi diet si manja di samping membantu pertumbuhan bulu-bulu yang cantik dan berkilat.

Sementara itu, kebanyakan pemilik kucing masih mencari makanan yang sesuai untuk haiwan kesayangan mereka dan soalan lazim yang biasanya diajukan ialah makanan manakah lebih sesuai sama ada basah atau kering?

Sebenarnya, kedua-dua makanan tersebut bagus untuk perkembangan kucing dan ia bergantung juga kepada cara penjagaan pemilik. Setiap kucing mempunyai makanan kegemaran, jadi pemilik perlu memberi perhatian.

Nutrisi

Jika pemilik memberi makanan mengikut diet dan nutrisi kucing, makanan kering atau basah bukan satu masalah.

Apa yang penting ialah selera kucing masing-masing. Sesetengahnya menyukai makanan basah manakala sesetengah yang lain sebaliknya. Kedua-dua makanan tersebut mempunyai kebaikan tersendiri.

Kebiasaannya, makanan kering membantu dari segi pertumbuhan gigi manakala makanan basah pula mampu memberikan penghidratan yang diperlukan.

Pemilik bebas untuk memberi si manja mereka makanan basah, kering atau kedua-duanya sekali. Namun begitu, pemilik seharusnya sentiasa meneliti berat kucing masing-masing dan mengubah kadar makanan mereka.

Perlu diingatkan bahawa kucing juga mempunyai makanan kegemaran dan mengidam sesuatu makanan. Jika kucing anda jenis yang suka mencuba sesuatu yang baharu, beri mereka makanan yang mempunyai pelbagai rasa dan tekstur. Sentiasa meneliti kucing anda ketika mereka memakan makanan basah dan kering.– www.purina.com

Sumber: Kosmo

0 comments: