28 Ogos 2015

Masjid Negara Bertiang Kasih Berbata Budi



Masjid Negara di ibu negara senantiasa menyambut mesra sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki di kompleks ibadah dan aktiviti umat Islam itu.

Sama ada musafir yang lelah berjalan dalam bahang matahari atau pekerja yang sibuk tetapi masih mahu mengambil kesempatan menambah pahala, tidak terhalang untuk berikhtikaf di bawah teduh anjungnya.

Bangunan bersejarah itu sudah biasa menerima kunjungan tokoh-tokoh antarabangsa termasuklah Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, yang melawat masjid itu hujung April 2014.


Malah Masjid Negara tidak pernah putus menerima lebih 240,000 pelancong setiap tahun, dari dalam dan luar negara, yang mahu merakamkan memori di bangunan ikon Malaysia itu.

Sejarah masjid ini mungkin sudah sering diceritakan. Bagaimanapun, pada ketika negara akan menyambut Hari Kebangsaan dan Masjid Negara sendiri akan meraikan Ulangtahun Jubli Emas pada 27 Ogos 2015 ini, wajar jika sejarah itu dikisahkan semula kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

Kisah pembinaan institusi ini penuh dengan nilai budi dan kasih sayang pemimpin dan rakyat berbilang bangsa kepada negara baharu merdeka iaitu Persekutuan Tanah Melayu. Kisah yang harus dikenang semula sebagai teladan untuk hari ini, apatah lagi semasa negara sedang menghadapi dugaan ekonomi dan politik.

LAMBANG KEMERDEKAAN DAN PERPADUAN

Seperti yang direkodkan dalam buku Masjid Negara terbitan Massa Monographs, keputusan untuk membina sebuah masjid sebagai "tanda peringatan negara mencapai kemerdekaan" telah diputuskan oleh para pemimpin kerajaan sebulan sebelum pengisytiharan kemerdekaan.

Susulan itu, satu jawatankuasa kerja di bawah pemantauan Timbalan Perdana Menteri Datuk (kemudian Tun) Abdul Razak telah ditubuhkan selepas merdeka bagi melaksanakan cita-cita murni itu.

Kos pembinaan berjumlah RM10 juta yang meliputi peruntukkan RM4.5 juta daripada Kerajaan Persekutuan, manakala belanja selebihnya diperoleh menerusi sumbangan kerajaan-kerajaan negeri, rakyat dan pihak lain.

Kerja pengumpulan wang untuk membina masjid itu juga adalah kempen mengumpul dana secara besar-besaran yang pertama diadakan di negara ini.

"Sambutan kepada rayuan ini amat menggalakkan. Sumbangan mula datang daripada orang perseorangan dan pertubuhan-pertubuhan daripada pelbagai bangsa di negara ini, yang menjadi satu bukti cemerlang terhadap perpaduan rakyat yang memberikan sokongan mereka kepada satu tujuan yang mulia," demikian menurut petikan daripada buku perasmian Masjid Negara keluaran Jawatankuasa Kecil Penerangan dan Acara 1965.

Derma turut diterima daripada anggota pasukan polis, angkatan tentera, penuntut Malaysia di luar negara, selain daripada kerajaan Brunei, Yayasan Shaw (di bawah Syarikat Perfileman Shaw Brothers) dan Jawatankuasa Masjid Muslim India Selatan.

MASJID NEGARA LAMBANG PERPADUAN

Perdana Menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman telah menyampaikan rasa penghargaan beliau kepada semua penderma.

"Bagi saya masjid negara ini menjadi lambang perpaduan seluruh rakyat Malaysia kerana masjid ini dibangunkan bukanlah semata-mata daripada wang derma orang Islam sahaja, tetapi juga daripada derma orang bukan Islam yang mempunyai semangat kerjasama dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara ini.

"Inilah satu daripada keistimewaan yang ada dalam negara ini." kata Tunku melalui perutusan beliau dalam buku perasmian itu.

Arkitek Masjid Negara Datuk Dr Baharuddin Abu Kassim memberitahu Bernama, pada masa itu rakyat berlainan agama bersedia untuk menyumbang bagi pembinaan masjid itu kerana gembira mereka telah diikhtiraf sebagai warganegara, serta berasa bangga dapat bernaung di bawah negara baharu itu.

"Khasnya pelombong. Mereka berkata "syarikat-syarikat kami telah menjadi kaya kerana timah yang datang daripada bumi negara ini, tiada siapa yang minta kami menderma atau jangan menderma, kami melakukannya dengan penuh sukarela," cerita tokoh berusia 86 tahun itu.

MASJID ASPIRASI PEMIMPIN BERJIWA RAKYAT

Satu lagi yang menarik dalam sejarah Masjid Negara adalah bagaimana masjid ini mendapat namanya.

Menurut catatan buku Masjid Negara, pada 5 Mac 1958 Mesyuarat Ketua-Ketua Menteri daripada sebelas buah negeri Persekutuan Tanah Melayu telah memutuskan untuk menamakan masjid itu sebagai Masjid Tunku Abdul Rahman, sempena mengingati jasa putera raja dari Kedah itu menerajui usaha mencapai kemerdekaan.

Tunku menolak penghormatan itu. Beliau sebaliknya mahu masjid itu dinamakan Masjid Negara sebagai tanda kesyukuran kemerdekaan Tanah Melayu yang dicapai secara aman tanpa sebarang pertumpahan darah.

Baharuddin berkata Tunku sentiasa mengingatkan ahli jawatankuasa kerja bahawa masjid itu adalah untuk negara.

"Beliau (Tunku) terus mengulangi yang bangunan ini adalah bagi negara," ujar Baharuddin.

Mengenai lokasi, terdapat saranan awal supaya masjid itu dibangunkan dalam kawasan Parlimen bertepatan dengan statusnya sebagai lambang kemerdekaan negara.

Sebagai arkitek pula Baharuddin mencadangkan agar masjid itu dibina di tepi Tasik Perdana bagi tujuan senibina, tetapi Tunku telah memilih tapak berdekatan stesen kereta api Kuala Lumpur.

"Pada pandangan Tunku ia akan memudahkan orang ramai yang berulang-alik dari negeri lain ke Kuala Lumpur untuk singgah ke masjid itu," kata Baharuddin.

Terdapat catatan yang memetik Tunku merasakan tapak itu seolah-olah sudah ditakdirkan Allah untuk dibina Masjid Negara.

"Semasa pemerintahan kerajaan kolonial beberapa bangunan kerajaan telah mula bertapak di kawasan ini, namun tidak ada sesiapa yang ingin memilih tapak ini untuk tujuan pembangunan.

"Ini memandangkan lurahnya yang curam dan berbukit bagaikan ia tidak memungkinkan kawasan ini digunakan. Semasa saya melihat tapak yang kosong ini, saya rasa Allah telah mentakdirkan ia dibangunkan sebagai Masjid Negara," kata Tunku seperti yang dilaporkan 'Malayan Times' pada 28 Ogos 1965.

WARISAN UNTUK GENERASI MUDA

Selepas kerja-kerja pembinaan yang mengambil masa lima tahun selesai, Masjid Negara akhirnya dibuka kepada orang ramai dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketiga Tuanku Syed Putra pada hari Jumaat, 27 Ogos 1965.

Menghampiri usia 50 tahun, masjid berkubah kebiruan berbentuk payung itu terus hidup dengan pelbagai aktiviti dakwah Islam, selain menjadi tumpuan 15,000 penghuni Islam kota raya menunaikan solat Jumaat saban minggu.

Sebagai contoh, terkini telah berlangsung Persidangan Perpustakaan Masjid Peringkat Kebangsaan di Dewan Syarahan masjid pada 11 dan 12 Ogos 2015.

Sambutan Jubli Emas (pada 27 Ogos 2015 ini) antara lain bertujuan menjadikannya Masjid Negara sebagai sebuah masjid contoh di Malaysia dalam aspek pengurusan, pengimarahan, kemudahan prasarana dan persekitaran.

Pihak masjid di bawah kepimpinan Imam Besar Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad turut berhasrat supaya sambutan itu akan menjadi satu wadah pendedahan kepada masyarakat, terutamanya generasi muda, tentang pengertian atau pentingnya masjid ini kepada mereka sebagai rakyat Malaysia.

Oleh Ainul Huda Mohd Saaid
Sumber: BERNAMA

Masjid Negra: Simbolik Islam Agama Rasmi


Simbol bebas daripada penjajah dan lambang perpaduan, toleransi kaum

KIRA-KIRA sebulan sebelum negara mencapai kemerdekaan 58 tahun lalu, pengisian hari keramat simbolik pembebasan daripada belenggu penjajah itu seperti kosong - seperti ada yang tidak kena dengan penetapan Islam sebagai agama rasmi negara. Sesuatu perlu dilakukan. 

Hasilnya pada 30 Julai 1957, dalam persidangan Majlis Kerja Kerajaan Persekutuan mencadangkan pembinaan sebuah masjid sebagai tanda peringatan Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Bagi menjayakannya, sebuah jawatankuasa kerja ditubuhkan di bawah pemantauan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak Hussein. Jawatankuasa kerja ini bertanggungjawab mendapatkan dana bagi membangunkan masjid ini dengan anggaran kos berjumlah RM10 juta. 

Sebanyak RM4.5 juta dipersetujui menggunakan peruntukan Pusat, manakala bakinya daripada sumber lain yang bertujuan menimbulkan semangat kerjasama atau kekitaan dalam pembinaannya.
Kerajaan negeri-negeri menyumbang sebanyak RM2.5 juta, ahli perniagaan dan korporat serta orang ramai menyumbang RM3 juta. Semua pihak terlibat termasuk sumbangan daripada masyarakat Islam, Kristian, Buddha dan Hindu, sekali gus melambangkan semangat perpaduan dan toleransi antara kaum.

Selepas itu, pada 5 Mac 1958, Mesyuarat Ketua-ketua Menteri yang dianggotai 11 buah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu memutuskan untuk menamakan masjid ini sempena nama Bapa Kemerdekaan, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sebagai menghargai jasanya menerajui usaha Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Namun, Perdana Menteri pertama itu tidak bersetuju, sebaliknya mencadangkan nama Masjid Negara diberi sebagai tanda kesyukuran kemerdekaan dicapai secara aman tanpa pertumpahan darah.

PEMILIHAN TAPAK

Tapak Masjid Negara dipilih berdasarkan kesesuaian lokasinya di tengah-tengah beberapa bangunan penting dan berdekatan dengan stesen keretapi yang merupakan sistem pengangkutan utama pada ketika itu.

Namun, keluasan tanah kerajaan tidak mencukupi dan sebagai pilihannya beberapa bangunan serta tanah sekitarnya terpaksa diambil dengan bayaran pampasan ganti rugi yang dipersetujui oleh semua pihak terlibat.

Selepas itu, kerja-kerja penyediaan tapak seluas kira-kira 5.3 hektar itu dimulakan pada Disember 1960. Pada 27 September 1961 Tunku Abdul Rahman telah merasmikan upacara penetapan kiblat.

PROSES PEMBINAAN

Kerja-kerja reka bentuk Masjid Negara diamanahkan kepada tiga orang arkitek dari Pejabat Pengarah Kerjaraya Persekutuan, iaitu Datuk Baharuddin Abu Kassim, Datuk Ir. Hisham AlBakri dan seorang arkitek British, H. Ivor Ashley.

Pada peringkat awalnya, arkitek utamanya Baharuddin membuat kajian terlebih dahulu sebelum mereka bentuk keseluruhan masjid ini dengan meninjau beberapa reka bentuk bangunan dan masjid luar negara sebagai panduan. Antara negara yang dilawati termasuklah Arab Saudi, Iran, Turki, Sepanyol, India dan Pakistan. Idea reka bentuk Masjid Negara merupakan gabungan seni bina moden bersulamkan seni bina tempatan.

Pembinaan struktur bangunan Masjid Negara bermula pada 1963. Tawaran bagi kerja-kerja pembinaan telah diberikan kepada Messrs Lim Chong, Syarikat Pembinaan Berhad. Pada 27 Februari 1963, Yang di-Pertuan Agong ke-3, Tuanku Syed Putra ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail menyempurnakan peletakan batu asas pembinaan Masjid Negara.


MASJID Negara ketika dalam proses pembinaan.

TEKNOLOGI PEMBINAAN

Masjid Negara mengambil kira falsafah seni bina moden melalui penggunaan teknologi dan bahan binaan terkini pada ketika itu. Penggunaan teknologi konkrit tetulang sebagai struktur utamanya merupakan bukti aplikasi teknologi terkini pada waktu itu. Hasilnya, struktur payung terbuka bergaris pusat 144 kaki persegi sebagai bumbung menutupi dewan solat dengan disokong 16 batang tiang bulat berteknologi konkrit tetulang setinggi 84 kaki.

Bumbung masjid dibina sebagai plat berlipat kukuh dan mampu melintang dengan lebih luas. Konsep pembinaan ini merupakan satu inovatif anak tempatan yang amat dibanggakan. Struktur bumbung berbentuk payung merupakan kubah masjid paling menarik di dunia seni bina moden hingga ke hari ini.

PERASMIAN

Masjid Negara dirasmikan pembukaannya pada Jumaat, 27 Ogos 1965 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail. Turut hadir dalam upacara itu ialah Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri dan beberapa orang kenamaan lain. Hampir 10,000 orang yang hadir dan menunaikan solat Jumaat berjemaah dengan diimamkan oleh Imam Masjidil Haram, Mekah, Sheikh Abdullah AI @ al-Khayyat.

OLEH TARMIZI ABDUL RAHIM
Sumber: Utusan

0 comments: