Nuff Atas

13 Ogos 2015

Memulihara Habitat Burung Hijrah di Teluk Bako-Buntal


Kira-kira 27 spesies burung air yang menjadikan Telok Bako-Buntal sebagai kawasan persinggahan.

MENIKMATI pemandangan di sekitar kuala sungai di Kampung Buntal, Kuching, Sarawak pada petang itu sangat menenangkan dengan cuaca yang redup, tiupan angin sepoi-sepoi bahasa dan bunyi-bunyian unggas sambil memerhati gelagat sekawan burung mencari makan di gigi air.

Keadaan kampung yang terletak di Teluk Bako-Buntal itu agak berlainan dengan muara sungai lain sama ada di Timur Malaysia mahupun Semenanjung. Ini kerana ia menjadi tumpuan ribuan burung air iaitu sekumpulan spesies burung yang menjadikan kawasan perairan seperti tasik dan pantai sebagai tempat mencari makan serta membiak.

Ia sekali gus menjadikan perkampungan yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar raya Kuching itu unik dan sering dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.


Kuala sungai di kampung tersebut menjadi tumpuan ribuan ekor burung air berikutan kedudukannya yang terletak di dalam laluan atau flyway bagi pelbagai spesies burung yang berhijrah dari hemisfera utara ke hemisfera selatan atau sebaliknya.

Flyway merupakan laluan burung hijrah yang bergerak setiap tahun dari tempat pembiakan ke kawasan lain merentasi pelbagai negara dan benua berikutan tibanya musim sejuk di habitat asal haiwan tersebut.

Menurut Penolong Pengarah, Jabatan Biodiversiti dan Konservasi Kawasan Dilindungi, Sarawak Forestry Corporation Sdn. Bhd. (Sarawak Forestry), Oswald Braken Tisen, terdapat sembilan rangkaian laluan burung hijrah di dunia iaitu laluan Amerika Tengah, Amerika Pasifik, Amerika Atlantik, Laut Hitam-Mediterranean, Asia Timur-Afrika Timur, Asia Tengah dan Asia Timur-Australasia yang meliputi kawasan seluas lebih kurang 350 juta kilometer persegi.

“Teluk Bako-Buntal dikenali sebagai wintering site (tempat rehat musim sejuk) atau refueling site (tempat persinggahan sementara) untuk burung-burung hijrah ini. Ia termasuk dalam laluan Asia Timur-Australasia yang meliputi negara-negara seperti Rusia, Jepun, China, Korea, Australia dan New Zealand.

“Kawasan ini merupakan tapak persinggahan yang pertama di Malaysia dan diiktiraf pada 23 Ogos 2013 selepas Malaysia menjadi ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Perkongsian Laluan Burung Hijrah Asia Timur-Australasian (EAAFP) pada tahun 2012,” ujarnya.

Keadaan muka bumi di pesisiran pantai Teluk Bako-Buntal yang dilitupi kukup lumpur serta hutan paya bakau merupakan antara faktor utama kawasan tersebut menjadi tarikan kepada lebih kurang 25,000 ekor burung hijrah sekitar bulan Oktober hingga April setiap tahun.

Memelihara dan memulihara kawasan yang menjadi tempat mencari makan dan habitat sementara burung-burung hijrah itu pada musim sejuk adalah sangat mustahak bagi mengekalkan populasi haiwan tersebut serta menghindarkan daripada kepupusan.

Terdapat kira-kira 27 spesies burung hijrah dikesan menjadikan Teluk Bako-Buntal sebagai tempat persinggahan sementara. Kebanyakannya terdiri daripada spesies terancam dan hampir pupus seperti Nordmann’s Greenshank, Asian Dowitcher serta Far Eastern Curlew.

Spesies terancam

“Salah satu spesies burung yang singgah di sini semasa tempoh penghijrahan besar-besaran ialah Chinese Egret dan ia merupakan antara spesies terancam.

“Pemuliharaan kawasan ini amat diperlukan berikutan lebih 10 peratus daripada populasi burung tersebut di dunia singgah di sini dan jika sesuatu tidak dilakukan pasti akan menyumbang kepada faktor kepupusannya kelak,” katanya.

Berikutan biodiversiti di Teluk Bako-Buntal yang kaya dengan pelbagai jenis hidupan laut, terdapat sebilangan kecil burung hijrah yang menjadikan kawasan tersebut sebagai habitat kekal sekali gus menambahkan kepelbagaian spesies haiwan di situ.

Kerja-kerja pemerhatian terhadap jumlah serta spesies burung hijrah di kawasan itu giat dijalankan oleh Sarawak Forestry bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) apabila tiba musim penghijrahan bagi mengetahui corak perjalanan haiwan itu setiap tahun.


Pemuliharaan Telok Bako-Buntal bukan sahaja penting kepada burung air malah komuniti setempat.

Sementara itu, sebagai langkah awal, Sarawak Forestry turut merancang menjalinkan kerjasama dengan rangkaian tapak laluan burung hijrah lain seperti Taman Negara Kushiro-Shitsugen, Jepun bagi menjalankan kajian lebih lanjut mengenai spesies haiwan berkenaan yang berasal dari Asia Timur khususnya negara Matahari Terbit itu.

“Kita sering menjalankan proses pemantauan terhadap kawasan ini dari semasa ke semasa termasuk memantau keadaan kukup lumpur, paya bakau dan persekitaran umum bagi memastikan tiada sebarang perubahan drastik yang boleh menjejaskan kehadiran burung air semasa musim penghijrahan.

“Negara-negara yang termasuk dalam laluan penghijrahan burung-burung ini akan bekerjasama antara satu sama lain untuk menjaga kawasan persinggahan haiwan tersebut supaya kekal terpelihara seperti keadaan asalnya. Ini kerana burung-burung ini tidak dapat bertahan jika kawasan seperti ini musnah,” ujarnya.

Selain penting dalam memelihara populasi burung hijrah di dunia, Teluk Bako-Buntal turut memberi impak terhadap sosioekonomi penduduk setempat yang bergantung kepada ekosistem di situ sebagai punca pendapatan dengan mencari kerang buluh atau ambal yang terdapat di kawasan kukup lumpur untuk dijual.

Di samping itu, pembinaan esplanad yang baru sahaja siap awal tahun ini di kampung tersebut dilihat mampu menarik lebih ramai pelancong ke situ sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan berasaskan ekopelancongan.

Pelancong

Seorang penduduk, Oren Yatin, 68, berkata, suasana di perkampungan tersebut ternyata berubah menjadi sedikit sibuk apabila tiba musim penghijrahan burung dengan kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara untuk menyaksikan pemandangan yang jarang dapat dilihat pada hari-hari biasa.

Disebabkan tempat tersebut kini menjadi tumpuan pelancong, penduduk setempat tidak melepaskan peluang berniaga secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan mereka yang kebanyakannya adalah nelayan.

“Pembinaan tempat tinjauan seperti esplanad ini memang bagus kerana sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat hasil jualan secara kecil-kecilan. Ia juga dapat memberikan kemudahan kepada pengunjung untuk melihat burung hijrah,” luahnya.

Seorang pengunjung, Kiflie Kamal, 29, berkata, dia mendapat tahu mengenai tarikan yang terdapat di kawasan itu melalui rakan-rakannya yang berpeluang melihat kehadiran ribuan burung hijrah dari pelbagai negara.

Perjalanan jauh yang terpaksa ditempuhinya bersama rakan-rakan untuk sampai ke situ ternyata berbaloi walaupun tidak dapat melihat kelibat burung hijrah kerana pemandangan kuala sungai di situ sudah cukup mendatangkan kedamaian kepada mereka.

“Saya mendapat tahu mengenai tempat ini daripada rakan-rakan dan mereka memberitahu kawasan ini mempunyai pemandangan yang cantik terutama pada waktu petang selain boleh melihat burung-burung yang berhijrah beribu kilometer dari negara lain.

“Tempat ini memang sesuai untuk dijadikan tempat riadah bersama keluarga dan rakan-rakan kerana terdapat kemudahan seperti esplanad ini yang memudahkan orang ramai meninjau kawasan sekitar sebelum pergi menikmati makan malam di restoran makanan laut segar yang terletak tidak jauh dari sini,” tuturnya yang tinggal di Asajaya, Sarawak.

Oleh MAHFUZ MOHAMAD
Sumber: Kosmo

0 comments: