Nuff Atas

10 Ogos 2015

Harapan Bongkar Misteri MH370


ANGGOTA penyiasat melakukan pemeriksaan ke atas komponen sayap flaperon yang ditemui di pesisir pantai Saint Andre pada 29 Julai lalu.

SEPERTI biasa, Nicholas Ferrier memulakan tugasnya sebagai pekerja pembersihan pantai de­ngan memungut sampah-sampah yang ditemui di sekitar pesisir pantai Saint Andre di Pulau Reunion dekat Madagascar.

Ferrier dalam rutin hariannya akan berjalan di sepanjang pesisir pantai Saint Andre sambil menunggang basikal jenis BMX miliknya untuk mengutip sampah-sampah yang dibuang oleh para pengunjung pantai.

Namun, sekitar Mei 2015 lalu, lelaki berusia awal 50-an itu telah menemui sebuah objek berupa kerusi berwarna biru yang disangkakan kerusi penumpang bas yang telah dibuang.


Tanpa usul periksa dan rasa curiga, lelaki itu telah membakar kerusi tersebut kerana menganggap ia hanya sebuah kerusi biasa yang telah dibuang.

“Saya telah menemui kerusi itu sekitar awal bulan Mei lalu dan telah membakarnya,” dakwa Ferrier yang tidak mengetahui objek tersebut boleh jadi pintu untuk memecahkan kebuntuan misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi sejak Mac tahun 2014 lalu.

Dalam satu kenyataannya kepada akhbar The Telegraph baru-baru ini, Ferrier turut memberitahu dia pernah menemui beberapa objek lain di pantai yang terkenal kerana gelombang ombak yang besar selain dihuni oleh ikan jerung ganas.

“Saya juga menemui beg pakaian yang masih mempunyai barangan di dalamnya tidak berapa jauh daripada lokasi kerusi penumpang itu ditemui.

“Saya juga telah membakar beg pakaian tersebut kerana itu adalah tugas saya sebagai seorang pengutip sampah,” cerita­nya sambil menunjukkan lokasi dia telah membakar kesemua objek dipercayai milik pesawat malang itu.

Sayap flaperon

Kisah yang sama turut dikongsi oleh seorang wanita bernama Isabelle yang juga merupakan penduduk tempatan apabila mendakwa dia dan anaknya yang berusia 10 tahun juga menemui objek yang dipercayai sayap milik pesawat ­Boeing 777-200ER itu.

Menurut Isabelle, selain objek yang dikatakan sayap pesawat, turut ditemui ialah beg pakaian yang tertimbus di dalam pasir di pantai tersebut, namun tidak dapat mengambilnya kerana ombak besar sebelum kedua-dua beranak itu pulang ke rumah seperti biasa.

Penemuan beberapa objek asing termasuk serpihan sayap kapal terbang yang ditemui di Pulau Reunion itu akhirnya tersebar dan menjadi perbualan hangat apabila ia didakwa merupakan serpihan bangkai pesawat milik MAS penerbangan MH370.

Lebih menguatkan andaian apabila pihak MAS sendiri memaklumkan kepada Timbalan Kementerian Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi bahawa serpihan komponen sayap yang dikenali sebagai flaperon sepanjang dua meter itu adalah milik pesawat Boeing 777.

“MAS sendiri memberitahu saya bahawa serpihan sayap pesawat yang ditemui di pulau berkenaan memang milik pesawat jenis Boeing 777,” kata beliau kepada agensi berita AFP ming­gu lalu.


NICHOLAS FERRIER menunjukkan lokasi dia membakar kerusi penumpang pesawat MH370 yang disangka kerusi sebuah bas.

Kenyataan itu sekali gus menghidupkan semula harapan bagi merungkai persoalan tentang misteri kehilangan pesawat yang membawa 239 orang penumpang termasuk 12 anak kapal itu.

Dalam perkembangan lain, pekerja pembersihan pantai Pulau Reunion juga mendakwa menemui dua buah botol yang juga dipercayai mempunyai kaitan dengan pesawat MH370.

Salah satu daripada botol itu merupakan botol air bertulisan bahasa Cina, manakala satu botol lagi merupakan botol dipercayai diisi sabun pencuci tangan dengan tertera perkataan dalam bahasa Indonesia.

Bagi merungkai persoalan dan misteri yang membelenggu seluruh penduduk dunia tentang status terbaharu pesawat MH370 itu, sekumpulan pasukan penyiasat Malaysia telah diterbangkan ke Paris, Perancis pada hujung minggu lalu sebelum menuju ke Toulouse.

Pada masa yang sama, serpihan komponen sayap flaperon yang ditemui itu telah dibawa ke sebuah makmal di bandar Toulouse, selatan Perancis untuk ujian oleh pakar penyiasat Peran­cis dan Malaysia termasuk Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Serpihan sayap flaperon yang tiba pada pukul 6.17 pagi waktu tempatan dari Pulau Reunion telah dibawa dengan menggunakan jalan darat ke makmal Kementerian Pertahanan berdekatan bandar Toulouse pada Isnin lalu sebelum ujian ke atasnya dibuat pada hari Rabu.

Dalam ujian tersebut, Jean-Paul Troadec yang merupakan bekas ketua agensi siasatan kemalangan udara Perancis, Bereau d’Enquetes d’Analyse (BEA) memberitahu, analisis yang dijalankan akan memberi tumpuan kepada dua perkara.

Bagi mengenal pasti sama ada komponen sayap flaperon itu adalah milik MH370, beberapa kajian termasuk jenis cat pada komponen sayap itu dianalisis untuk merungkai jawapan yang membelenggu masyarakat dunia.

“Setiap syarikat penerbangan mengecat pesawat mereka dengan kaedah tertentu.

“Jika cat tersebut sama dengan kaedah yang digunakan oleh Penerbangan Malaysia, maka kami akan mendapat lebih kepastian bahawa sayap flaperon terbabit adalah milik MH370,” kata Troadec sewaktu menemui agensi berita antarabangsa.

Siasatan lebih mendalam turut dilakukan oleh pakar penyiasat untuk mengetahui cara komponen tersebut terpisah daripada sayap utama sama ada kerana impak kuat yang di­sebabkan terhempas ke atas permukaan laut atau sebaliknya.

Teritip

Bukti lain yang membantu menyelesaikan persoalan tentang MH370 adalah berdasarkan teritip yang terdapat pada komponen sayap semasa ia ditemui.

Beberapa saintis berkata, maklumat daripada teritip itu dapat digunakan bagi menentukan tempoh komponen tersebut berada di dalam laut.

“Jika usia teritip itu lebih tua daripada tarikh tragedi itu, komponen tersebut bukan daripada bangkai MH370,” kata seorang profesor madya di Universiti Macquarie, Melanie Bishop.

Penantian penuh misteri selama 515 hari tentang kehilangan pesawat MAS MH370 bagaimanapun akhirnya terungkai dalam satu sidang akhbar khas yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal pagi Khamis lalu.

Walaupun berat bagi sesetengah pihak terutamanya keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi tersebut, keputusan analisis yang dijalankan ke atas komponen sayap flaperon adalah sepadan dengan pesawat MH370 oleh pasukan penyiasat antarabangsa.

Sah MH370

“Hari ini, selepas 515 hari pesawat tersebut hilang, dengan hati yang berat, saya ingin me­nyatakan bahawa pasukan pe­nyiasat penerbangan antarabangsa telah mengesahkan bahawa serpihan sayap pesawat yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik MH370,” kata Najib pada sidang akhbar tergempar pukul 2 pagi di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Terdahulu pada 24 Mac tahun lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa penerbangan MH370 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)menuju ke Beijing, China pada 8 Mac tahun lalu telah berakhir di selatan Lautan Hindi bersama semua 239 penumpang dan anak kapal.

Sepanjang tempoh kehilangan pesawat malang itu, pelbagai usaha pencarian dilakukan dengan bantuan anggota yang membabitkan 112 buah pesawat dan 13 kapal yang meliputi kawasan seluas 134,000 kilometer persegi.

Lokasi yang menjadi destinasi terakhir pesawat MH370 itu di Lautan Hindi merupakan lautan ketiga paling besar di dunia, malah diberi gelaran The Lonely Ocean atau Lautan Sepi berikutan kedudukannya yang terpencil dan jarang dilalui oleh kapal-kapal dagang.

Sejarah dunia penerbangan sebelum ini telah melalui beberapa tragedi yang serupa membabitkan kehilangan pesawat dan masih belum ditemui sehingga ke hari ini.

Sumber: Kosmo

0 comments: