09 Ogos 2015

Pengasingan Sisa Pepejal Di Premis Kuat Kuasa 1 September 2015


RAKYAT sudah didedahkan mengenai kitar semula sejak kali pertama kempen kitar semula dilancarkan pada tahun 1996.

SEJAK bulan Julai 2015 lalu, pengguna di negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah sudah menerima surat ingatan mesra daripada syarikat konsesi pelupusan sisa pepejal di kawasan masing-masing.

Surat itu bertujuan mengingatkan pengguna untuk melakukan pengasingan sisa pepejal di punca (bukan hanya di rumah, tetapi juga di semua premis) dengan menggunakan kaedah 2+1 ketika membuang sampah.

Kaedah baharu iaitu kutipan sisa isi rumah dan organik dilakukan mengikut kekerapan dua kali seminggu, manakala kutipan sisa yang boleh dikitar semula, pukal dan kebun dilaksanakan sekali seminggu.


Kaedah berkenaan sudah dilaksanakan secara berperingkat selaras pengumuman oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, bahawa pengasingan sisa pepejal di punca akan dilaksanakan secara mandatori, mulai 1 September 2015 ini.

Serah notis peringatan

Kegagalan melakukan pengasingan berkenaan boleh menyebabkan pengguna dikenakan tindakan mengikut Seksyen 74(2) Akta 672 dengan sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000.

Bagaimanapun, untuk tempoh empat bulan iaitu sehingga akhir tahun ini, hanya notis peringatan diberikan kepada pengguna yang gagal melaksanakan arahan berkenaan bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem baharu itu.

Sistem baharu ini dilaksanakan sejajar dengan hasrat kerajaan bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan serta pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam seperti tertakluk mengikut Akta 672.

Orang ramai perlu mendisiplinkan diri bagi mengasingkan sisa makanan, bahan kitar semula, bahan pukal dan sisa kebun bagi memastikan kutipan dapat dilaksanakan dengan lancar dan mengikut jadual ditetapkan.

Sisa makanan perlu dimasukkan ke dalam beg plastik sampah, diikat kemas dan dibuang ke dalam tong sampah beroda yang diberikan percuma.

Bagi sisa yang boleh dikitar semula, pukal dan kebun hendaklah dimasukkan ke dalam beg plastik sampah, diikat kemas dan diletakkan di luar atau tepi tong sampah beroda pada hari kutipan.

Dengan mengasingkan sisa pepejal mengikut jenis, ia akan memudahkan proses pengasingan barangan kitar semula daripada sisa yang akan dilupuskan di tapak pelupusan.

Kita berharap tiada lagi alasan daripada orang ramai kononnya tidak tahu cara untuk mengasingkan sisa kerana rakyat negara ini sudah didedahkan mengenai kitar semula sejak kali pertama kempen kitar semula dilancarkan pada tahun 1996 dan sekali lagi pada tahun 2000.


SWM Environment menggunakan kaedah penerangan bagi memastikan pengguna mematuhi peraturan pengasingan sisa pepejal berikutan penguatkuasaan Akta 672.

Pengasingan langkah terbaik

Pengasingan sisa pepejal terbukti langkah terbaik dalam menggalakkan peningkatan kadar kitar semula dan pengurangan pelupusan sisa pepejal di tapak pelupusan.

Ia perlu dilaksanakan bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara maju dan membantu generasi akan datang menikmati kehidupan lebih hijau dan lestari.

Dengan sokongan orang ramai, jumlah sisa yang dibuang ke tapak pelupusan sampah dapat dikurangkan sehingga 40 peratus, sekali gus dapat memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan.

Sebaliknya, pelupusan sisa yang tinggi di tapak pelupusan hanya memendekkan jangka hayat tapak pelupusan, malah menyebabkan tapak pelupusan perlu diperluas dan dinaik taraf bagi menampung jumlah sisa untuk dilupuskan.

Seperti kita sedia maklum, dalam keadaan ekonomi dan pembangunan yang berkembang pesat pada masa ini, usaha untuk mendapatkan tanah bagi dijadikan tapak pelupusan sisa pepejal adalah sukar, selain terpaksa berdepan dengan bantahan daripada orang ramai dan tokoh politik.

Umumnya, Malaysia menjana 33,000 tan sisa pepejal setiap hari dengan hanya 10.5 peratus sahaja yang dikitar semula, manakala selebihnya dilupuskan di tapak pelupusan.

Kajian komposisi sisa pepejal yang dijalankan pada tahun 2012 mendapati, 30 peratus daripada sisa yang dilupuskan adalah bahan yang berpotensi dikitar semula.

Ini menunjukkan kadar kitar semula di negara ini amat rendah jika dilihat kepada potensinya.

Jika dilakukan perbandingan, negara maju seperti Sweden didapati berjaya melencongkan sisa pepejal sebanyak 99 peratus di mana 49 peratus dikitar semula, 49 peratus sisa diolah untuk menghasilkan tenaga, manakala hanya satu peratus sisa dilupuskan di tapak pelupusan.

Faktor yang menyebabkan kadar kitar semula yang rendah di negara ini adalah disebabkan tidak mengamalkan pengasingan sisa.

Sisa pepejal tidak diasingkan menyukarkan proses kitar semula dan merendahkan nilai bahan berkenaan.

Ia menyebabkan barang kitar semula yang tercemar dengan bahan organik mudah terurai perlu dibersihkan sebelum dapat digunakan semula dengan menggunakan air yang banyak.


KANAK-KANAK turut serta mengumpulkan bahan sisa pepejal dan bahan kitar semula.

Pencemaran air

Ini boleh menyebabkan pencemaran air, sekali gus membabitkan perbelanjaan kos operasi yang tinggi.

Selain itu, melupuskan barang boleh dikitar semula di tapak pelupus adalah sesuatu yang merugikan kerana barangan seperti plastik, kaca, besi, aluminium dan kertas boleh digunakan semula untuk memelihara sumber alam semula jadi, sumber air dan menjimatkan tenaga.

Kita berharap pelaksanaan arahan pengasingan sisa pepejal di punca ini, sasaran negara untuk mencapai kadar kitar semula melebihi 22 peratus pada tahun 2020 akan tercapai dengan jayanya.

INFO: Kitar Semula

* Jumlah sisa yang dibuang ke tapak pelupusan sampah dapat dikurangkan sehingga 40 peratus, sekali gus dapat memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan.

* Malaysia menjana 33,000 tan sisa pepejal setiap hari dengan hanya 10.5 peratus sahaja yang dikitar semula, manakala selebihnya dilupuskan di tapak pelupusan.

*Kira-kira 30 peratus daripada sisa yang dilupuskan adalah bahan yang berpotensi dikitar semula. Ini menunjukkan kadar kitar semula di negara ini amat rendah.

Oleh Mohd Zin Ali
Sumber: BHarian

0 comments: