03 September 2015

Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672): Bekerjasama Mengasing Sampah

DIHARAPKAN langkah mewajibkan pengasingan bahan buangan sisa pepejal
Pengasingan bahan buangan sisa pepejal di rumah sebelum dibuang ke dalam tong sampah memastikan imej lori sampah yang moden milik Emterra Environmental di Kanada sentiasa bersih.

BERKUATKUASA 1 September 2015, sejumlah 10 juta penduduk di beberapa negeri di Malaysia diwajibkan meng­asingkan bahan buangan sisa pe­pejal mengikut komposisi di rumah masing–masing sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Peraturan baharu mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) itu berkuat kuasa di negeri–negeri yang telah bersetuju untuk menerima pakai akta terbabit iaitu Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Berdasarkan peraturan baharu itu, pemilik premis termasuk penghuni kediaman bertingkat seperti kondominium dan rumah pangsa boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM1,000 jika gagal mematuhi undang–undang tersebut.

Menurut Seksyen 74 (1) dan (2) Akta 672, orang awam harus me­lakukan usaha pengasingan sisa pepejal dan kegagalan berbuat demikian, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum sebanyak RM1,000.

Seksyen 108 (2) (g) Akta 672 terbabit juga memperuntukkan bahawa menjadi tanggungjawab individu untuk mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula sekali gus dapat mengelakkan lambakan sisa pepejal di pusat–pusat pelupusan sampah yang terdapat dalam negara kita.

Namun, menurut pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), hukuman denda terbabit hanya akan dikuatkuasakan pada 1 Jun 2016 bagi memberi ruang kepada orang ramai untuk membiasakan diri selain bagi meningkatkan tahap kesedaran orang ramai mengenai kepentingan untuk mengasingkan sisa pepejal yang dibuang.

Buat masa ini, mereka yang didapati tidak melaksanakan peraturan akan diberikan notis amaran terlebih dulu.

Mengikut Akta 672, sisa pepejal bermaksud apa–apa bahan seke­rap atau benda lebihan lain yang tidak dikehendaki atau keluaran yang ditolak yang timbul daripada penggunaan apa–apa proses serta apa–apa benda yang dikehendaki dilupuskan kerana sudah pecah, lusuh, tercemar atau selainnya rosak. Ini termasuklah bahan–bahan pepejal seperti plastik, kertas, kadbod, kaca, logam, sisa makanan, sisa pukal, sisa kebun dan lain–lain.

Penguatkuasaan undang–undang baharu ini amat penting bagi memelihara kebersihan alam se­mula jadi dalam negara kita di samping dapat mendidik warganegara supaya lebih bertanggungjawab me­ngenai isu pembuangan sisa sampah.

Pada masa sama, peraturan baharu terbabit juga dapat mendidik masyarakat mengenai kepentingan untuk melakukan proses kitar semula bahan–bahan yang dibuang bagi membendung masalah pembuangan sampah yang dilihat kian meruncing dalam negara kita.

Peraturan terbaharu itu bukanlah satu perkara yang baharu. Pro­ses pengasingan bahan sisa sampah sudah pun lama dilaksanakan di kebanyakan negara maju bagi memelihara kebersihan alam sekitar serta pada masa sama dapat membentuk sahsiah masyarakat supaya mempunyai nilai–nilai murni dalam aspek memelihara alam sekitar.

Tempoh sembilan bulan yang diberikan oleh pihak berkuasa untuk mendidik orang ramai mengenai pelaksanaan peraturan terbabit perlu digunakan dengan sebaik mungkin oleh semua pihak yang berkaitan bagi memberi pendedahan serta mendidik warga penduduk me­ngenai peraturan baharu tersebut sebelum tindakan penguatkuasaan undang–undang dilakukan.

Pihak media memainkan peranan yang penting bagi memberi lebih banyak pendedahan mengenai kepentingan pelaksanaan peraturan baharu tersebut kepada masyarakat umum. Pihak yang berkaitan juga perlu merangka peraturan dan garis panduan untuk dimaklumkan kepada orang ramai mengenai kaedah pelaksanaan peng­asingan sisa pepejal terbabit agar dapat dilaksanakan dengan lebih baik serta berkesan.
Kerjasama semua amat diperlukan bagi menjayakan peraturan baharu berkenaan. Semua pihak juga perlu mempunyai tahap kesedaran yang tinggi mengenai tujuan dan matlamat asal peraturan baharu itu yang dibuat bagi memelihara alam sekitar daripada terus tercemar oleh aktiviti manusia.

Gene­rasi muda terutamanya para pelajar sekolah perlu dididik mengenai kepentingan serta kebaikan yang boleh diperoleh melalui peraturan baharu itu. Negeri–negeri yang masih belum menerima pakai Akta 672 terbabit perlu segera mene­rimanya bagi menjayakan segala ­usaha murni untuk memelihara alam sekitar dalam negara kita.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah 
& Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Sumber: Utusan

0 comments: