02 September 2015

Kenali Personaliti Pasangan Anda Sejak Awal Bercinta


Pasangan masih boleh mengawal personaliti sebenar ketika bercinta kerana ketika itu mereka tidak diuji dengan cabaran hidup.– Gambar hiasan

Dalam beberapa minggu ini, kita dikejutkan dengan dua kisah suami yang mencederakan isteri.

Salah satunya membabitkan seorang wanita yang cedera parah di tangan kanan akibat ditetak suaminya dalam kejadian di Kampung Kubang Pisang, Rambai, Pendang, Kedah. Mangsa dilaporkan cuba menenangkan kemurungan yang dihadapi oleh suaminya.

Dalam satu lagi kes di Lahad Datu, Sabah, seorang wanita ditetak di leher oleh suaminya sehingga mati. Kedua-dua kes ini memberikan isyarat betapa konflik rumah tangga dan isu-isu psikologi yang berlaku dalam masyarakat begitu tragis dan menakutkan.


Timbul persoalan, mengapa tindakan yang sebegitu ganas telah diambil oleh suami atau pasangan masing-masing, sedangkan mereka mungkin telah mengharungi kehidupan bahagia sebelum ini? Setidak-tidaknya untuk beberapa tahun awal perkahwinan.

Ada yang berkata bahawa pasangan mereka berubah setelah berkahwin. Suami yang ketika bercinta kelihatannya begitu penyayang mengapa pula berubah menjadi seorang yang sangat ganas?

Isteri yang dulunya mungkin seorang yang lemah lembut, adakah juga bertukar watak daripada seorang biasa-biasa sahaja kepada seseorang yang kuat berleter?

Ada pula yang ketika bercinta sanggup berbelanja dan membelikan apa sahaja untuk pasangannya tetapi berubah menjadi kedekut setelah berumah tangga.

Hakikatnya, tidak ada apa yang berubah. Manusia sebenarnya mempunyai watak dan karakter sejak remaja lagi. Mustahil seseorang itu mula berubah setelah berkahwin.

Apa yang berlaku ketika bercinta, semuanya sangat indah. Orang sanggup berjanji dan berkorban apa sahaja. Mereka sanggup berbelanja besar untuk menarik perhatian pasangan masing-masing.

Dalam kata yang lain, apa sahaja yang dipamerkan adalah hal yang baik dan indah sahaja. Sebaliknya, personaliti atau karakter buruk yang dimiliki telah disembunyikan.

Tabiat

Kiranya, tabiat buruk yang dimiliki berjaya dikawal dengan sebegitu sempurna sehingga tidak dapat dikesan oleh pasangan masing-masing.

Hakikatnya, personaliti manusia ini telah dimiliki sejak di peringkat anak-anak. Ada yang bersifat penyabar, ada pula yang cepat pemarah. Bagaimanapun, sifat ini telah dikawal agar sesuai dengan persekitaran yang melingkungi mereka.

Misalnya, ketika di pejabat mereka terpaksa mengawal perasaan marah apabila berhadapan dengan ketua jabatan tetapi akan cepat meradang apabila berada di rumah.

Dikatakan bahawa personaliti manusia akan kekal. Bagaimanapun, apabila semakin berusia, ia semakin berkurangan sesuai dengan keadaan fizikal dan keupayaan kesihatan pada waktu tersebut. Begitupun, perasaan yang asal itu tetap kekal di dalam diri.

Disebabkan itu, dalam kebanyakan kes konflik rumah tangga, suami atau isteri yang kelihatannya berbeza berbanding ketika bercinta bukanlah bermaksud mereka telah berubah. Mereka hanya menampilkan diri mereka yang sebenar.

Setelah berumah tangga, desakan hidup dan pelbagai cabaran membuatkan mereka kembali menunjukkan diri yang sebenar.

Tertekan

Seorang lelaki akan mula berasa tertekan apabila isteri membebel dan adakalanya mula berfikir mengapa ketika bercinta dahulu wanita tadi tidak pernah membebel. Hakikatnya, sepertimana suami, isteri juga menyembunyikan watak sebenarnya ketika bercinta dahulu.

Disebabkan itu, dalam memilih pasangan, setiap orang muda mestilah berhati-hati. Jangan sesekali terpedaya dengan ‘apa yang dilihat’. Latar belakang pasangan mestilah disiasat terlebih dahulu.

Misalnya, melihat kehidupan keluarga bakal pasangan kita. Sekiranya latar keluarganya adalah bermasalah, sering diadukan dengan isu-isu konflik dan keganasan, ada kemungkinan bakal pasangan kita juga bakal membawa watak yang sama setelah berkahwin.

Ketika bercinta, mereka boleh menjadi orang lain kerana dirinya tidak diuji hingga menonjolkan diri yang sebenar. Sebaliknya, dalam keadaan realiti kehidupan yang sebenar, mereka tidak mampu ‘melakonkan’ watak itu lagi.

Disebabkan itu, ada kes yang sepatutnya dapat diselesaikan dengan begitu mudah, adakalanya berakhir dengan kisah tragis termasuk kecederaan parah dan kematian.

Bagi yang baru berkahwin, inilah waktunya untuk memerhatikan watak sebenar pasangan.

Ada yang kelihatan tenang tetapi mungkin seorang yang kasar. Ada seorang yang mengambil berat tetapi hakikatnya suka mendominasi.

Pasangan juga ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Ada yang boleh dinasihati secara bersendirian, ada pula yang hanya boleh dinasihati di hadapan teman-teman.

Dengan cara mengenal hati budi masing-masing, terutamanya pada tahun awal perkahwinan, kita mungkin boleh memanjangkan hayat bahtera rumah tangga.

Ingat, manusia ini adalah makhluk yang kompleks. Jangan percaya dan hanya menilai hati budi seseorang berdasarkan watak yang ditampilkan ketika bercinta. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Hakikatnya, manusia tidak boleh berubah sepantas itu. Mereka hanya menyembunyikan watak sebenar.

Sumber: Kosmo

0 comments: