19 Oktober 2015

Keunikan Seni Tukangan Kayu Nusantara Oleh Bengkel Ukiran Wong Jowo


Rumah tradisional ini menjadi lokasi lawatan yang disediakan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Daerah Sabak Bernam kepada pelawat luar.

BERMULA sekadar mengisi masa terluang apabila tiada kargo pukal untuk dibawa menggunakan trak angkat susunnya, Nizam Md. Azhar, 46, kini mahir dalam seni pertukangan kayu.

Dia membuka bengkel ukiran Wong Jowo di kediaman tradisionalnya dan menawarkan perkhidmatan pertukangan kayu profesional di Sungai Limau, Kuala Selangor.

Lebih manis, rumah hasil tangannya itu bersama bapa mertua kini menjadi lokasi tumpuan pelancong. Lawatan ke rumah tradisional tersebut diuruskan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Daerah Sabak Bernam.


Rumah tukang kayu Wong Jowo itu telah menerima pelawat tempatan dan luar negara termasuk Jepun, Perancis, Singapura, Indonesia dan China.

Kehalusan dan keunikan kediaman itu diiktiraf apabila memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Rumah Tradisional Peringkat Negeri Selangor pada tahun 2011.

Nizam yang bekerja sebagai pemandu trak angkat susun di Pelabuhan Klang berkata, minatnya untuk menjadi tukang kayu berputik apabila kreativitinya dalam ukiran kayu menjadi sumber ‘duit tepi’.

Selepas berkhidmat selama 17 tahun di pelabuhan tersebut, Nizam akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman dan menjalankan perniagaan pertukangan kayu secara kecil-kecilan.

“Niat saya untuk pulang ke kampung pada awalnya adalah untuk mendirikan dan memiliki sebuah rumah tradisional, yang bukan sahaja menggambarkan kemahiran saya bertukang tetapi dapat memberi manfaat kepada orang kampung dengan berkongsi pengetahuan mengenai bidang ini.

“Alhamdulillah, ia berjaya dizahirkan dan direalisasikan dengan terbinanya rumah tradisional dan bengkel ukiran Wong Jowo ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Sungai Limau, Kuala Selangor.

Rumah tersebut didirikan menggunakan kayu-kayu terpakai yang berusia lebih 40 tahun hasil robohan dua buah rumah lama yang dibelinya di Sungai Nibong dan Pasir Panjang membabitkan kos sebanyak RM4,000.

Tiang utama


Kamaruddin menajamkan kemahiran bertukang dengan melihat dan merujuk hasil kraf tangan Nizam.

Kayu-kayu tersebut terdiri daripada pelbagai jenis termasuk cengal dan meranti.

Kayu cengal digunakan sebagai tiang-tiang utama rumah tersebut kerana ia lebih keras dan tahan lama manakala bahagian dalam rumah menggunakan kayu meranti dan campuran kayu biasa.

Nizam mengambil masa hampir setahun membina rumah tradisional yang dimulakan pada tahun 2000. Rumah tersebut didiaminya bersama isteri dan empat orang anaknya manakala bahagian bawah rumah dijadikan bengkel pertukangan.

Selain meningkatkan ekopelancongan di Sabak Bernam menerusi lawatan dan bengkel pertukangan kayu, kemahiran Nizam turut mendapat perhatian peminat bidang tersebut dari seluruh dunia.

Dia pernah menjadi guru kepada dua penggemar seni kayu dari Perancis.

Betapapun, Nizam berkata, dia tidak pernah menuntut ilmu dalam bidang tersebut tetapi pernah melanjutkan pelajaran di Sekolah Vokasional di Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 1985 dalam bidang pertukangan besi.

Namun, persaingan tinggi pertukangan besi pada waktu itu mendorong Nizam untuk beralih arah melakukan pertukangan kayu yang padanya mempunyai reputasi tersendiri.

Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu berkata, seni kayu sangat unik dan memerlukan minat serta kesabaran tinggi untuk penghasilan produk berkualiti.

Mengulas lanjut mengenai nama Wong Jowo yang diperkenalkan, Nizam memberitahu, bahawa dia sememangnya mempunyai campuran darah Jawa Ponorogo dan Jawa Pacitan. Namun, nama tersebut diangkat bagi mengembalikan nilai tradisional Nusantara yang pada hari ini semakin dilupai dan tenggelam dalam peredaran zaman.

Jelasnya, teknik ukiran Jawa mempunyai identiti sendiri dan dapat dibezakan dengan seni Melayu. Kebanyakan ukiran Jawa akan menggunakan motif haiwan dalam rekaan manakala kraf tangan Melayu mempunyai corak signatur dedaunan dan bunga.

Sehingga kini, Nizam tidak menang tangan menerima tempahan daripada orang ramai merangkumi perabot kayu, pembinaan rumah dan calet.

Hasil kraf tangan Nizam boleh mencecah harga lebih RM20,000 mengikut kepada saiz pertukangan dan kualiti kayu.

Salah satu syarikat yang melanggani hasil kraf tangan Wong Jowo ialah calet Restu Bonda Inn. Pemilik calet, Zarul Azhar Masnguti, 46, berkata, dia tertarik dengan hasil kraf tangan Wong Jowo, terutama ukiran kerawang yang cantik dan kemas. Idea untuk membuka tempat penginapan dengan konsep inap ala Jawa pada tahun lalu bertepatan dengan produk yang ditawarkan oleh Wong Jowo.

“Selepas berbincang dengan Nizam, saya bersetuju untuk menggunakan perkhidmatannya bagi membina tiga unit calet yang menggunakan bahan-bahan terpakai. Kayu-kayu yang digunakan untuk tiang-tiang utama terdiri daripada kayu cengal dan cempedak kerana ia lebih keras manakala bahagian dalam menggunakan campuran kayu biasa termasuk meranti.

Ukiran kerawang


Bahagian dalam rumah tradisional menampilkan ukuran siling menggunakan kayu campuran termasuklah meranti.

“Calet ini juga diperindahkan dengan ukiran kerawang kayu yang bermotifkan daun dan bunga untuk menonjolkan lagi konsep inap ala Jawa. Bahagian landskap juga dihiaskan dengan struktur daripada kayu seperti rumah burung, selain pokok bunga seri pagi yang rimbun,” jelasnya memberitahu kos keseluruhan pembinaan kesemua unit tersebut menghampiri RM100,000.

Zarul berkata, Restu Bonda Inn juga dalam proses menyiapkan pembinaan rumah penginapan kayu untuk pakej keluarga. Rumah tersebut menyediakan tema yang berbeza mengikut bilik iaitu gaya Jepun, Bali, moden dan Jawa.

Bagaimanapun, kesemua bilik menggunakan bahan asas pembinaan yang sama iaitu kayu.

Dalam pada itu, turut berkongsi minat dengan Nizam ialah seorang kakitangan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kamaruddin Karim. Penjawat kerajaan berusia 47 tahun itu menjadikan Nizam sebagai rujukan untuk melakukan kerja-kerja pertukangan kayu, terutama dalam memilih kualiti kayu terpakai.

“Memilih kayu memerlukan pengalaman dan kemahiran dalam mengenal pasti usia dan jenis kayu. Kualiti kayu boleh ditentukan dengan berat dan usianya. Kayu yang baik ialah kayu tua dan berat.

“Bagaimanapun, ada juga kayu yang muda tetapi berat dan sebaliknya. Jika menghadapi kesukaran untuk memilih biasanya saya akan mengambil kayu dengan kualiti sederhana,” jelasnya.

Walaupun menggunakan kayu terpakai atau kayu murah, Kamaruddin memberitahu, produk pertukangan masih boleh menandingi kualiti kayu-kayu mahal menerusi kraf tangan halus dan ketelitian dalam penghasilan. Pemilihan palet calet juga penting untuk menjadikan kayu lebih berkilat.

Anak kelahiran Sungai Limau itu juga melakukan kerja-kerja tukangan dan ukiran secara berperingkat di bahagian bawah rumah untuk menjaga ‘wajah’ rumah peninggalan arwah ayahnya, Allahyarham Karim Astro yang merupakan antara generasi terawal yang membuka kampung Sungai Limau. Kebanyakan ukiran bermotifkan kerawang bungaan dan daunan.

Walaupun kediaman tersebut telah mencecah usia 100 tahun namun, ia masih utuh kerana kayu rumah tersebut sentiasa dirawat menggunakan minyak.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Foto ABDUL NAZIR MOHAMED
Sumber: Kosmo

0 comments: