Nuff Atas

29 Oktober 2015

Makanan dan Minuman Tercemar Punca Kepialu (Tifoid)


Bakteria daripada najis manusia punca utama Kepialu ~ Gambar Hiasan

Umum mengetahui, demam kepialu atau tifoid yang dilaporkan menular di beberapa kawasan di ibu negara bukanlah isu kesihatan yang baharu, namun generasi hari ini kurang mengetahui tentang wabak ini yang boleh mengancam kualiti hidup manusia.

Pelbagai pihak dipersalahkan termasuklah restoran yang menggunakan khidmat pekerja asing tanpa izin (PATI) di bahagian dapur yang tidak melalui pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan suntikan vaksin untuk mencegah penularan wabak tifoid.

Demam kepialu adalah disebabkan oleh bakteria yang dinamakan Salmonella typhi (S.typhi) yang diambil daripada nama seorang pakar bakteria Amerika Syarikat iaitu Daniel Elmer Salmon pada 1900.


Demam yang sering berlaku di negara-negara endemik seperti India dan Bangladesh dikaitkan dengan aspek kebersihan di mana penularan penyakit ini adalah melalui makanan, minuman, dan air yang digunakan untuk membersih makanan.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara Puncak Alam, Dr. Maimunah Mustakim, demam kepialu dikaitkan dengan kebersihan diri dan makanan kerana S.typhi hanya mengkoloni atau menyerang tubuh badan manusia.

Seseorang yang diserang dengan penyakit ini akan membawa bakteria di dalam saluran pencernaan mereka.

“Kebiasaannya, bakteria yang memasuki usus boleh mati melalui tindak balas daripada asid perut. Seseorang yang makan makanan yang telah tercemar oleh bakteria S.typhi dalam jumlah yang banyak, bakteria tersebut boleh melepasi tindak balas asid perut dan terus menuju ke bahagian usus.

“Dengan bantuan faktor adhesin, bakteria akan melekat pada receptor di bahagian usus dan menyebabkan radang. S.typhi boleh menjadi berganda di dalam sel imun seperti makrofaj dan seterusnya merebak ke seluruh tubuh melalui darah,” katanya.

Menurut beliau, bakteria ini, boleh berada di dalam tubuh manusia tanpa menunjukkan sebarang gejala penyakit dan keadaan ini dinamakan sebagai pembawa (carrier), yang mana najis mereka boleh mengandungi sehingga 10 bilion bakteria per gram najis.

Pembawa biasanya tidak menunjukkan gejala demam kepialu kerana keupayaan tubuhnya menentang jangkitan bakteria itu, namun mereka akan terus membawa bakteria ini di dalam badan dan dikeluarkan melalui najis.

Jika pembawa tidak mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi ketika mengendalikan makanan, dikhuatiri akan menjangkiti mereka yang memakan makanan dan minuman yang dikendali.

Dalam erti kata lain, pengendali makanan tidak mengamalkan kaedah pembersihan tangan yang betul selepas ke tandas dan terus menyentuh makanan dalam keadaan yang kotor.

Katanya, kaedah penyediaan makanan untuk dimasak juga sangat penting seperti membasuh bahan makanan mentah dengan betul bagi mengelakkan pencemaran bakteria melalui makanan.

Kaedah penyimpanan yang betul sama ada yang mentah mahupun yang sudah dimasak juga perlu diberi perhatian.

“Gejala penyakit boleh dikesan dalam jangka masa dari enam ke 72 jam selepas dijangkiti bakteria, disusuli dengan demam yang berpanjangan, muntah, sembelit, cirit-birit dan sakit pada bahagian abdomen dalam tempoh satu hingga tiga minggu,” katanya.

Elak makan di tempat kotor

Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia, Prof. Dr. Zamberi Sekawi berkata, demam kepialu merupakan wabak yang boleh dirawat kerana negara kita mempunyai vaksin bagi menangani penyakit ini, namun semua pihak haruslah berwaspada terutamanya dalam aspek kebersihan.

Ujarnya, mereka yang disahkan menghidap demam kepialu akan diberikan antibiotik dan kematian jarang berlaku jika pesakit mendapatkan rawatan awal.

Namun, jika mereka hanya membiarkan keadaan itu, pesakit berisiko untuk menghidap pelbagai komplikasi yang melibatkan organ-organ badan yang lain yang boleh membawa maut.

“Amat penting bagi setiap orang memastikan bahawa orang yang mengendalikan makanan bukanlah dalam kalangan pembawa kerana ada pengendali makanan tidak meletakkan aspek kebersihan pada tahap tertinggi menyebabkan mereka mengambil sikap sambil lewa tentang cara-cara penyediaan makanan yang .

“Walaupun pengendali makanan di negara kita diwajibkan untuk mengambil suntikan tifoid sebelum beroperasi, kesedarannya masih lagi di tahap yang rendah. Lambakan warung-warung di tepi jalan yang beroperasi tanpa lesen turut mengundang kepada masalah ini,” katanya.

Saranan beliau agar orang ramai juga perlu menimbangkan untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi mengelakkan jangkitan demam kepialu jika menetap di kawasan yang berisiko atau berhasrat untuk ke negara yang biasa diserang wabak kepialu.

Selain, tingkatkan tahap berjaga-jaga dalam aspek kebersihan terutamanya ketika makan di luar. Orang ramai perlu mengelakkan diri daripada makan dan minum di tempat yang kotor dan menitikberatkan kebersihan makanan yang diambil.

“Bahayanya tidak akan berakhir kerana jangkitan demam kepialu boleh berlaku kepada sesiapa dan di mana sahaja. Dengan mengambil langkah-langkah pencegahan, anda mampu untuk mengelakkannya dan mengurangkan penyebaran kepada orang lain,” katanya.

OLEH NURSYAMIMI SAIDI [27 Oktober 2015]
Sumber: Utusan

0 comments: