26 November 2015

Pentingnya Persediaan 
Hadapi Banjir



BARU-BARU ini penulis menerima satu kiriman video yang menunjukkan bahaya banjir. Di dalam video tersebut dipaparkan, “hanya dengan 12 inci (0.3 meter) kedalaman air mengalir, sebuah kereta kecil boleh dihanyutkan. Manakala kedalaman air antara 18 hingga 24 inci (0.4-0.6 meter) pula boleh menghanyutkan kenderaan bersaiz besar.”

Kenyataan ini membawa penulis mengimbau pengalaman lalu. Seorang jiran maut kerana cuba melintasi satu kawasan banjir berhampiran taman perumahan kami. Ketika itu, air masih cetek dan aliran air juga “kelihatan” amat perlahan.

Namun, siapa menyangka, ketika cuba melintasi kawasan tersebut, kenderaan jiran tadi telah dibawa arus kerana secara tiba-tiba aliran air menjadi deras dan meningkat dengan mendadak. Ini amat mengejutkan bagi kejiranan kami.


Kesimpulannya kita tidak boleh mengambil ringan kuasa air. Walaupun kelihatan mengalir lesu, namun pada bila-bila masa, tanpa kita jangkakan, boleh menjadi sangat deras. Penulis percaya, ramai antara kita yang tidak menyedari hakikat ini.

Persepsi mengambil mudah akan kuasa air ini perlu diubah. Peribahasa Melayu sendiri ada menyatakan bahawa “kecil api menjadi kawan, besar menjadi lawan.” Walaupun aliran air kelihatan lemah atau kawasan banjir masih belum begitu dalam, ini tidak bermakna kawasan itu selamat.

Oleh itu, jangan sesekali kita mengambil mudah perubahan dalam alam persekitaran kita, walaupun perubahan yang berlaku itu kecil dan kelihatan tidak signifikan. Apatah lagi bagi negara kita ini, bencana berkait dengan air seperti banjir sering berlaku.

Untuk tidak mengambil mudah, persediaan menghadapi bencana banjir harus diberikan perhatian menyeluruh. Bencana banjir mahupun bencana lain seperti jerebu, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya, boleh membawa kesan tidak baik kepada kehidupan manusia dalam bentuk kehilangan nyawa, kecederaan anggota, kehilangan harta benda, serta tekanan jiwa.

Sebagai contoh, episod banjir besar 2014 yang melanda negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Pahang dan Terengganu serta termasuk juga Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Perlis telah mencatatkan kerugian ham­pir satu bilion ringgit.

Jabatan Kerja Raya pula menganggarkan kos baik pulih jalan, sistem pembetungan, longkang dan bahu jalan yang rosak akibat banjir di negeri-negeri yang disebutkan tadi, mencecah RM388 juta.

Selain kerugian kepada manusia, sesuatu bencana juga boleh memberi kesan kepada persekitaran manusia. Kesan ini boleh dilihat dari segi perubahan keseluruhan landskap atau rupa bentuk persekitaran.

Dalam masa sama, kemusnahan flora dan fauna juga tidak boleh diabaikan. Walau bagaimanapun, kesan terhadap persekitaran ini jarang dinilai dengan wang ringgit. Jika turut diambil kira, kemungkinan besar kesan kerugian yang ditaksirkan akan meningkat.

Kesan besar daripada bencana ini menuntut kita membuat persediaan secara menyeluruh. Persediaan perlu bukan sahaja untuk mengelakkan atau mengurangkan kesan bencana kepada manusia tetapi tindakan tersebut penting agar pihak-pihak yang terlibat dapat bertindak serta memberikan perkhidmatan pada kadar yang cepat, wajar dan bersesuaian.

Dengan kata lain, apabila banjir berlaku, pihak-pihak terlibat sudah tahu apa yang perlu dilakukan berdasarkan langkah-langkah di dalam Prosedur Kendalian Standard (SOP) menghadapi bencana.

Persediaan pula bukan semata-mata di pihak kerajaan, tetapi perlu dibuat oleh semua pihak terlibat termasuk mangsa bencana, ahli masyarakat, badan-badan bukan kerajaan serta anggota-anggota penyelamat.

Malah, boleh kita katakan bahawa peranan kerajaan adalah pada tahap minimum sahaja.
Dalam konteks ini, peranan komuniti setempat adalah lebih penting dan relevan. Ini kerana, komuniti setempat adalah kumpulan yang paling hampir dengan kawasan dan mangsa banjir.

Oleh itu, mereka lebih tahu keadaan persekitaran kawasan banjir dan mempunyai maklumat berkaitan penduduk atau mangsa banjir. Kelebihan ini memudahkan mereka untuk mengakses kawasan dan mangsa banjir dengan cepat. Malah, oleh sebab mereka mengenali masyarakat setempat, tahap kepercayaan dan keyakinan mangsa banjir terhadap mereka lebih tinggi dan ini memudahkan usaha-usaha menyelamat.

Komuniti setempat yang dimaksudkan di sini boleh sahaja terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadah yang lain, ahli jawatankuasa kampung, anggota Rela mahupun badan-badan bukan kerajaan setempat.

Dalam hal ini, walaupun dikatakan bahawa peranan kerajaan adalah pada tahap minimum sahaja, namun kerajaan harus membantu dalam usaha pemberdayaan komuniti setempat tadi. Bantuan yang diperlukan boleh berbentuk kewangan, latihan, meningkat pengetahuan dan kesedaran terhadap bencana banjir, peralatan keselamatan, persediaan dan pengurusan psikologi, peningkatan kemahiran menyelamat serta kesedaran tentang SOP ketika berhadapan dengan bencana.

Penjelasan-penjelasan di atas menunjukkan bahawa persediaan menyeluruh untuk menghadapi bencana banjir, mahupun bencana-bencana yang lain, amat penting. Selain persediaan bersifat materi, persediaan dari segi kekuatan jiwa juga tidak boleh diabaikan. Persediaan menyeluruh sebegini akan memudahkan usaha membantu dan menyelamat.

Bencana, tidak kira apa bentuk sekalipun, boleh dilihat dari pelbagai sudut. Kejadian bencana adalah satu tanda. Bencana boleh sahaja dilihat sebagai tanda kealpaan manusia memelihara serta memulihara alam ini atau sebagai tanda peringatan serta amaran Allah SWT kepada umat manusia yang leka.

Tidak kira apa tanda sekalipun, manusia harus bersedia berhadapan dengannya. Malah, bersiap-siaga itu sesuatu yang alamiah dan juga satu tuntutan dalam hidup manusia. Maka, sama-samalah kita melakukan persediaan, tidak kira untuk sesuatu bencana yang sudah dijangkakan mahupun yang datang tanpa sapaan.

Ditulis oleh: Unknown
PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS),
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Sumber: Utusan

0 comments: