23 November 2015

Generasi Y dan Z Mendahulukan Telefon Bimbit



Telefon bimbit adalah segala-galanya sekarang. Orang sekarang terutamanya yang berumur 34 tahun ke bawah seperti tidak boleh berenggang sama sekali dengan telefon bimbit. Kehidupannya adalah dalam lingkungan objek leper yang bersegi empat tepat itu.

Sambil makan, jari jemari mereka pantas mengimbas skrin telefon. Begitu juga apabila menonton televisyen atau mendengar ucapan penting. Pendek kata, apa juga kerja yang sedang dibuat mesti ditemani atau diselang seli dengan mengimbas telefon bimbit.

Orang malah sanggup membahayakan nyawa dengan memandu sambil menggunakan telefon bimbit. Ada pula telefon bimbit yang dicipta untuk memudahkan pengguna menaip sambil memandu.


Kini, sudah menjadi kebiasaan orang berjalan sambil melayari Internet atau berbalas mesej melalui telefon bimbitnya mahupun memuat turun gambar dalam Instragram atau Facebook.

Zaman berubah pantas daripada komputer meja kepada komputer riba dan kemudiannya kepada tablet. Semua peralatan itu kini dianggap tidak lagi diperlukan. Jika digunakan pun untuk kerja-kerja yang serius dan berkualiti tinggi sahaja.

Hal yang demikian kerana fungsi semua peralatan itu sudah boleh dilakukan oleh telefon bimbit. Selain berkongsi teks, pengguna telefon bimbit juga aktif menonton dan berkongsi video.

Mengikut satu kaji selidik, aliran aplikasi untuk video mencapai 45 peratus dan bakal berkembang sehingga 60 peratus. Jumlah pengunaan video pula berkembang pada kadar 55 peratus setahun.

Jadi, siapa yang dapat menyalurkan maklumat atau data bervideo bakal menerajui industri maklumat pada masa depan. Maknanya, akhbar dalam versi cetak dan juga televisyen akan terus kehilangan pembaca/penonton dengan meningkatnya jumlah pengguna telefon bimbit ini jika mereka tidak turut terlibat dalam menyajikan bahan untuk peranti itu.

Data pada 2014 menunjukkan terdapat lebih 10 juta pengguna telefon bimbit di Malaysia.

Di peringkat global, kini terdapat 2.6 bilion pelanggan telefon pintar dan dijangka mencapai jumlah 6.1 bilion pada 2020, angka yang akan mengatasi jumlah pelanggan telefon tetap. Kesannya terhadap aliran data atau maklumat begitu besar. Ini bagaikan satu letusan. Jika sudah begini, manalah generasi ini ada waktu untuk membelek akhbar bercetak.

Inilah yang ditekankan dalam setiap persidangan Media Digital Asia (DMA) yang dianjurkan sejak 2009 untuk industri penerbitan khususnya media cetak. Tahun ini dalam DMA yang diadakan di Hong Kong pada 17-19 November 2015 lalu, topik teknologi telefon pintar hangat dibincangkan.

Bagi memenuhi kehendak pengguna telefon bimbit yang bertambah dengan drastik itu, syarikat penerbitan atau penyedia kandungan juga perlu mengubah cara kerja dan juga produk. Semuanya perlu disajikan dengan pantas, padat tapi ringkas dan menarik, bergambar atau video dan grafik.

Bersesuaian

Kesimpulannya, apa juga data yang mahu disalur atau dikongsi mesti bersesuaian dengan keperluan pengguna gajet segi empat itu.

Bagi kes Malaysia, angka tertinggi pengguna telefon bimbit berumur 20-24 tahun iaitu 17.3 peratus. Ini diikuti umur 25-29 tahun (15.8 peratus) dan 30-34 tahun sebanyak 13.8 peratus. Pengguna berumur 35-39 tahun pula mencatat 10.8 peratus hampir sama dengan pengguna berumur 15-19 tahun (11.4 peratus).

Sebab itu andaian mengatakan generasi muda sekarang kurang membaca dalam konteks mendapatkan maklumat adalah salah. Mereka sebenarnya terdedah dengan begitu banyak maklumat, yang diperoleh daripada Internet yang tanpa sempadan dan had itu. Maklumat yang mereka perolehi bukan lagi dalam bentuk kertas atau melalui televisyen.

Sudah tentulah kaedah untuk mengurus komuniti yang begini sifatnya berbeza dengan cara yang digunakan untuk generasi selepas Perang Dunia Kedua (1946 hingga 1964). Kini adalah waktu generasi millenial atau generasi Y (umumnya yang lahir pertengahan 1970 hingga 2000) dan juga generasi Z yang lahir awal tahun 1990-an.

Mungkinkah akhbar cetak akan berkubur di Malaysia? Soalan ini sudah berulang kali ditanyakan. Realitinya, semua akhbar di Malaysia sudah mempersiapkan diri sama ada menjadi separa digital atau bakal beralih sepenuhnya digital.

Sebenarnya ini hanya soal platform - menggunakan kertas atau digital. Langganan akhbar elektronik atau e-paper juga menunjukkan peningkatan. Berita-berita mahupun artikel pula dalam akhbar kini pendek-pendek. Selain gambar, keutamaan juga diberikan untuk grafik dan lakaran karikatur.

Penghasilan video dalam akhbar dalam talian juga semakin meningkat. Bahan berita yang dihasilkan sengaja disesuaikan untuk telefon bimbit yang berskrin kecil dan memori berkapasiti rendah berbanding komputer meja itu.

Sesiapa pun sekarang - media, kerajaan, pengiklan dan parti politik - yang mahu menyalurkan apa jua maklumat perlu memikirkan kesesuaian data yang ingin dikongsi agar dapat turut diakses dengan mudah melalui telefon bimbit.

Bahan maklumat yang ilmiah atau berat sifatnya sebagai contoh, perlu diolah secara kreatif dalam bentuk teks padat, gambar, video atau grafik. Setiap bahan perlu ada ciri-ciri nilai terkini, tajuk dan visual menarik, disampaikan dengan pantas, tidak panjang dan boleh dikongsi.

Inilah trend dunia sekarang dan tidak terkecuali di Malaysia. Inilah generasi yang lebih kritis yang sentiasa mendahulukan telefon bimbit. Generasi ini sebenarnya sangat dahagakan berita terkini, yang relevan dan bersifat sepanjang masa.

Oleh: ZULKEFLI HAMZAH  |  22 November 2015
Sumber: Utusan

0 comments: