Nuff Atas

21 Disember 2015

Masjid Ihsaniah Iskandariah Terbina Guna Anyaman Buluh


MASJID Ihsaniah Iskandariah di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Perak menggunakan buluh sebagai bahan utama untuk dinding yang menjadikannya unik.

MASJID merupakan seni bina Islam yang sering mendapat perhatian di seluruh dunia kerana ia merupakan satu tanda fizikal penting bagi umat Islam terutamanya sebagai tempat beribadat dan penyatuan masyarakat Islam.

Lazimnya masjid dibina menggunakan bahan bata, batu dan kayu. Namun begitu, di negara ini terdapat sebuah masjid yang menggunakan bahan yang amat istimewa iaitu buluh sebagai bahan binaan utama.

Buluh merupakan sejenis tumbuhan yang boleh didapati dengan mudah di negara ini. Tumbuhan itu merupakan bahan binaan yang tidak asing lagi dalam seni bina rumah Melayu pada zaman dahulu, namun penggunaannya sebagai bahan binaan yang dijadikan dinding masjid telah mendapat perhatian ramai.


Masjid lama ini dikenali dengan nama masjid Ihsaniah Iskandariah yang terletak di Kuala Dal, Padang Rengas, Perak. Menurut rekod, masjid ini dibina pada tahun 1936 dan dirasmikan oleh Sultan Perak ke-30 pada tahun 1938. Pada hari ini masjid Ihsaniah telah berusia 77 tahun masih lagi mengekalkan seni binanya yang unik selepas menjalani kerja pemuliharaan oleh Jabatan Warisan pada akhir tahun 2008.

Struktur utama masjid dan beberapa bahagian kecil masjid ini seperti daun tingkap, daun pintu, kepala tingkap dan pintu diperbuat menggunakan kayu. Ini merupakan sebuah bangunan masjid dua tingkat yang berbentuk segi empat tepat. Dewan sembahyang terletak di bahagian atas manakala bahagian bawah pula digunakan sebagai tempat serba guna pada hari ini.

Terdapat tiga buah pintu masuk dan pintu masuk ke dewan sembahyang terletak di bahagian tengah yang dibezakan sebagai pintu utama dengan kehadiran tangga batu di hadapannya. Sejurus selepas melangkah masuk ke dalam pintu ini pengunjung akan melihat tangga ke bahagian dewan sembahyang di sebelah atas.

Terdapat empat set tingkap di sebelah kanan dan kiri di setiap tingkat. Tingkap di bahagian atas turut dihiasi dengan ukiran kekisi sebagai elemen ciri-ciri keselamatan. Rekaan bangunan masjid ini menyediakan ruang dengan peredaran udara dan pencahayaan yang amat baik.

Bahagian menara masjid disatukan dalam binaan masjid di bahagian depan bersebelahan dengan bahagian mihrab iaitu tempat yang menandakan arah kiblat. Tidak seperti seni bina Melayu yang rata-rata menggunakan bumbung tinggi, masjid ini menggunakan rekaan bumbung rata yang dihiasi dengan ukiran papan cantik di sekelilingnya. Ciri ini juga merupakan satu keunikan dalam seni bina masjid Ihsaniah Iskandariah.

Sebelum kerja pemuliharaan, bangunan masjid yang menggunakan anyaman buluh sebagai dindingnya ini hanya menggunakan warna asal buluh yang dinamakan buluh minyak. Namun selepas kerja-kerja itu dijalankan ia telah diperindahkan dengan penggunaan cat berwarna kuning, putih dan hitam yang membentuk motif bunga potong berlian di mana dalam seni Islam ia turut dikenali sebagai corak geometri.

Seni anyaman buluh ini dikenali sebagai tepas dalam budaya masyarakat Melayu Perak. Ia dikatakan dianyam oleh masyarakat tempatan di Kampung Kuala Dal sewaktu pembinaan bangunan asal, tetapi pada tahun 2008 sewaktu kerja pemuliharaan dijalankan, tiada masyarakat tempatan yang mahir menganyam kelarai.

Kelarai yang digunakan pada hari ini dihasilkan di Perlis. Selain daripada itu, ukiran yang digunakan sebagai hiasan di dalam masjid ini semuanya merupakan motif foliate atau tumbuhan tempatan seperti motif pokok kacang, bunga tikan seladang, bulan dan bintang pecah lima. Motif ini diukir menggunakan teknik ukiran tebuk tembus pola lengkap. Plak perasmian masjid yang asal mempunyai ukiran tulisan Jawi yang merekodkan nama sultan dan tarikh perasmian masjid.

Hasil ukiran asal memperlihatkan kualiti dan kehalusan kemahiran para tukang pada waktu itu. Dihasilkan 100 peratus menggunakan bahan dan kemahiran tempatan, masjid ini merupakan satu bukti kehalusan dan kualiti warisan kesenian Islam tempatan di Perak khususnya dan di Malaysia amnya. Lawati dan hargai warisan kesenian Islam tempatan.

OLEH ROSMAHWATI AHMAD ZAKARIA
Sumber: Utusan

3 comments:

shameel Iskandar berkata...

Unik sekali . teringin nak ke sana satu masa nnt

anamika berkata...

Good work! Visit
digital marketing company
Thanks

Dewi Aja berkata...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami http://kbagi.com/ atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)