02 April 2018

Potensi Ketum Dalam Perubatan

Image result for daun ketum

Ubah Persepsi Ketum

KETUM atau nama saintifiknya, Mitragyna Speciosa merupakan khazanah negara yang tidak ternilai, terbukti sejenis tumbuhan semula jadi yang dikenal pasti memiliki pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan, mampu menjana pendapatan penduduk selain berpotensi menjadi komoditi baru menjana ekonomi negara.

Melalui pelbagai kajian pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang telah dijalankan farmaseutikal antarabangsa mendapati daum ketum yang telah diproses secara klinikal mampu memberi manfaat yang banyak terhadap dunia perubatan demi kebaikan manusia sejagat.

Sehingga kini, amat sedikit paten berhubung dengan ubat atau produk berasaskan ketum seperti mana yang terdapat dalam laman web European Patent Office (Espacenet), World Intellectual Property Organization (WIPO), US Patent and Trademark Office (USPTO) dan Google Patent.


Malah, ketum yang telah diproses mendapat pasaran yang tinggi dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah untuk tujuan perubatan oleh farmaseutikal antarabangsa. Berdasarkan harga eksport daun ketum semasa yang dikeringkan dari Asia Tenggara (seperti daun teh Cina) atau diproses menjadi serbuk untuk pasaran dunia kini menjangkau harga sekitar AS$50 (RM200) hingga AS$60 (RM300) sekilogram.

Kajian yang telah dilakukan Mohamad Sukor Abdul Karim dan Fauziah Shaffie dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Kedah bertajuk Ketum Sebagai Sumber Pendapatan Untuk Menampung Kos Sara Hidup: Kajian ke atas Petani Padi dan Penoreh Getah di Negeri Kedah yang disiarkan oleh Journal Business and Social Development Volume 5 Number 1, March 2017, seharusnya membuka mata semua pihak.

Kajian itu yang dilakukan di kawasan Muda, Kedah, kawasan jelapang padi utama di Malaysia mendapati ketum bukan sahaja digunakan untuk tujuan perubatan (tradisional) malah digunakan untuk menampung kos sara hidup harian mereka yang terhimpit akibat kos sara hidup penduduk yang semakin meningkat.

Kebanyakan daripada petani yang dikaji terdiri daripada penoreh getah di kawasan terlibat didapati memiliki pokok ketum untuk tujuan kegunaan sendiri dan untuk dijual.

Malah, majoriti penduduk sedar bahawa menjual dan mengedar ketum adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952, namun mereka langsung tidak menghiraukan undang-undang tersebut.

“Walaupun Majlis Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah telah memutuskan bahawa penyalahgunaan ketum adalah haram, namun ramai dalam kalangan mereka tidak menghiraukan fatwa tersebut kerana bagi mereka, ketum adalah ubat dan boleh mengubati pelbagai jenis penyakit termasuklah penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis.” (Mohamad Sukor Abdul Karim dan Fauziah Shaffie. Hlm: 84 )

Di samping itu, penduduk juga berpendapat bahawa ketum boleh memulihkan tenaga badan termasuklah tenaga batin.

“Asas kepercayaan inilah yang menyebabkan mereka menolak sekeras-kerasnya tindakan kerajaan menguatkuasakan undang-undang terhadap ketum (Hlm: 85).

Menurut kajian itu lagi, ketum bukanlah satu isu atau perkara yang serius sehingga perlu dikenakan tindakan undang-undang.

Malah, kawalan terhadap ketum menyebabkan negara ini telah lama kehilangan pendapatan daripada prospek industri ketum yang tidak dikomersialkan seperti telah dilakukan negara-negara lain seperti China, Taiwan, Indonesia yang mampu menjana pendapatan bernilai berbilion ringgit hasil eksport daun ketum untuk pasaran antarabangsa.

Ironinya, kajian yang telah dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati tumbuhan ketum yang tumbuh di bahagian utara tanah air dari negeri Perak sehinggalah ke Perlis dikenal pasti memiliki kualiti yang tinggi dan boleh dijual dengan harga yang lebih mahal di pasaran antarabangsa.

Memetik kenyataan Profesor Madya Dr. Samihah Khalil dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyatakan telah ada bukti kajian saintifik yang menunjukkan alkaloid mitrgynine dalam daun ketum berpotensi untuk melawan ketagihan arak dan heroin.

Beliau yang juga Ketua Penyelidik Kajian-Kajian Penyalahgunaan Daun Ketum di Kawasan Utara Semenanjung Malaysia dan Cadangan Penyelesaian (2016) menyatakan, ketum sememangnya berpotensi untuk rawatan tradisional dan alternatif.

Artikel Oleh: Sahidan Jaafar
Sumber: Utusan Malaysia Online
Tarikh Diterbitkan: 01 April 2018

0 comments: