Nuff Atas

03 April 2018

129 Tahun Menara Eiffel Dikunjungi Awam

Suasana di kawasan sekitar begitu meriah. Di setiap penjuru menara tersebut, kelihatan puluhan pelancong dari dalam dan luar negara mengambil kesem­patan untuk merakam potret mereka di Menara Eiffel yang begitu popular dalam kalangan pelancong dari seluruh dunia.

Masing-masing kelihatan tersenyum puas tatkala berpeluang meninjau keindahan struktur dan seni bina menara tersebut. Riak kagum jelas terpancar pada wajah mereka.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa menara yang didirikan oleh seorang arkitek terkenal Perancis, Alexandre Gustave Eiffel pada tanggal 31 Mac 1889 itu telah berjaya menawan setiap mata yang memandang.

31 Mac, 2018, genap 129 tahun Menara Eiffel dibuka kepada orang awam.



Ketika menara tersebut siap dibina pada tahun 1889, Menara Eiffel dinobatkan sebagai struktur binaan tertinggi di dunia apabila ia memerlukan sebanyak 1,665 langkah untuk tiba ke puncak menara tersebut.

Bagaimanapun, kedudukan tersebut berubah selepas menara pencakar langit Chrysler di New York yang berketinggian 319 meter didirikan pada tahun 1930.

Menurut seorang pelancong dari Switzerland, Cecile Giacomotti, 27, dia kagum dengan struktur binaan menara besi yang tersergam indah di hadapan matanya itu.

“Sebelum ini, saya begitu mengimpikan untuk melawat menara yang gah ini dan setelah sekian lama, saya berjaya menjejakkan kaki buat pertama kalinya di sini.

“Saya kagum dengan kehalusan senibina yang terdapat pada menara ini. Walaupun ia dibina sepenuhnya menggunakan hasil tangan manusia, namun siapa sangka menara ini masih kukuh berdiri sehingga ke hari ini.

“Malah, kini ia menjadi destinasi idaman pelancong dari dalam dan luar negara,” jelasnya.

Menurut sejarah penubuhan Menara Eiffel, bangunan tersebut dibina selepas Jawatankuasa Centennial menganjurkan Exposition Universelle (World Fair) bagi menandakan ulang tahun ke-100 Revolusi Perancis.

Pada waktu itu, lebih daripada 100 orang arkitek telah menyerahkan pelan lukisan menara masing-masing bagi memboleh­kan karya mereka dibina di Champ-de-Mars yang terletak di tengah-tengah pusat bandar raya Paris.

Bagaimanapun, pihak Jawatankuasa Centennial akhirnya memilih firma perundingan dan pembinaan Eiffel et Compagnie yang dimiliki oleh seorang arkitek dan pembuat logam terkenal di Perancis iaitu Alexandre-Gustave Eiffel.

Ini kerana, kesemua Jawatankuasa tersebut tertarik dengan keunikan karya Eiffel yang mana dia mempertaruhkan pelan sebuah menara besi terbuka dengan ketinggian mencapai 300 meter (1,000 kaki) di Paris.

Eiffel mengambil masa selama dua tahun sahaja bagi menyiapkan keseluruhan pembinaan menara tersebut. Kerja-kerja pembinaan dijalankan sekitar tahun 1887 dan siap sepenuhnya pada Mac 1889.

Biarpun Eiffel menerima kredit di atas pembinaan Menara Eiffel, namun rekaan tersebut sebenarnya merupakan hasil kerjasamanya dengan seorang pekerja, yang merupakan jurutera struktur bernama Maurice Koechlin.

Biarpun menara itu dipuja oleh seluruh masyarakat dunia, namun suatu ketika dahulu kewujudan Menara Eiffel pernah dipertikaikan oleh beberapa pihak.

Dakwa mereka, menara tersebut berkemungkinan akan menjadi tidak stabil dan merosakkan pemandangan sekitar Paris memandangkan ia diperbuat daripada besi dan kelihatan tidak menarik.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut ternyata meleset kerana menara tersebut kini dilaporkan menerima kunjungan lebih 7 juta pengunjung dari dalam dan luar negara setiap tahun.

Malah, berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh pengurusan menara tersebut pada tahun 2017, Menara Eiffel telah menerima lebih 300 juta pelancong sejak dibuka kepada umum pada tahun 1889.

Sehingga ke hari ini, menara tersebut dijaga rapi oleh pihak berkuasa dan akan dicat setiap tujuh tahun sekali menggunakan 60 metrik tan cat.

Menara berketinggian 299.9 meter yang di bina di Champ-de-Mars, Paris pada 31 Mac 1889 kini menjadi kebanggaan masyarakat Perancis dan telah menerima sebanyak 300 juta pengunjung sejak dibuka.

Catatan:
1. Menara berketinggian 299.9 meter ini mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.
2. EIFFEL merupakan individu yang bertanggungjawab menghasilkan menara berprestij tersebut.

Tajuk Asal: 129 tahun pembukaan Menara Eiffel kepada umum
Tarikh Siar: 01 April 2018
Sumber Asal: KOSMO

0 comments: