05 Disember 2010
Sentuhan Terakhir Sebelum SPM
(Gambar Hiasan)
“Cikgu, tak buat ke kelas tambahan Sains sebelum SPM?” Minta seorang pelajar beberapa hari sebelum SPM.
“Sudah tentu lah ada. Saya akan maklumkan kemudian.” Jawab si guru ringkas tanpa sebarang maklumat lanjut.
Jam 9.00 pagi, pada hari yang telah ditetapkan iaitu sehari sebelum penilaian terhadap kertas sains SPM, semua pelajar Tingkatan 5 Diamond telah sedia menunggu. Mereka kelihatan sangat bersedia untuk memulakan latihan ulangkaji mereka pada hari itu.
Sebagai tugasan, setiap pelajar diberikan satu salinan set soalan Sains Kertas 2 Peperiksan Percubaan SPM dari negeri K. Dalam set soalan tersebut terkandung soalan-soalan yang kebanyakannya pernah mereka jawab. Teknik menjawab dan jawapan kepada kebanyakan soalan juga telah beberapa kali dibincangkan.
“Cikgu, tak ada ke soalan ramalan?” Tanya seorang pelajar yg lain ketika si guru sedang menyemak jawapan latihannya.
Jawapan setiap orang pelajar perlu disemak saat mereka sedang menjawabnya agar memastikan kesemua soalan dijawab dengan betul, segala kesilapan dapat ditegur dan untuk memastikan semua tugasan yg diberi telah mereka selesaikan.
Bimbingan individu sedemikian amat penting memandangkan bukan semua pelajar bersedia ‘meminjamkan telinga’ mereka jika bimbingan dan teguran dibuat secara umum sahaja. Bimbingan secara umum juga menyebabkan keupayaan setiap individu tidak dapat dilihat dan terlepas pandang.
“Cikgu, apa perbezaan antara Mitosis dan Meiosis.” Tanya seorang pelajar merujuk kepada salah satu soalan yang perlu mereka jawab dalam latihan tersebut. Bayangkanlah soalan fasal meiosis dan mitosis sudah banyak kali dibincangkan sejak mereka berada di tingkatan 4 lagi.
Si guru menarik nafas panjang. Sebagai seorang guru tindakan yang perlu dilakukan di saat itu adalah melayan sahaja karenah pelajar dan memujuk hati agar bersabar utk memastikan mood belajar pelajar-pelajar tersebut tidak terganggu.
Bagi pelajar-pelajar yang agak cerdas, segala tugasan dapat di selesaikan 2 jam kemudian. Masa yang masih berbaki satu jam lagi mereka isi dengan berborak-borak dan bergurau senda. Sepatutnya mereka membuat ulangkaji sendiri dengan mencari permasalahan lain berhubung subjek Sains yang selalu mereka rungutkan sebagai subjek yang sukar untuk difahami. Nampaknya mereka terlalu yakin dengan kemampuan yang telah mereka capai tanpa berusaha utk mendapatkan yang lebih daripada itu.
10 minit lagi sebelum jam menunjukkan pukul 12.00 sebahagian pelajar telah pun mengemaskan alat tulis masing-masing ke dalam beg. Mereka semuanya berebut-rebut nak pulang. Tak ada seorang pun yang tinggal walaupun si guru telah dimaklumkan beliau bersedia melayan sebarang masalah berkaitan dgn subjek Sains sehingga 1.00 petang.
Berdasarkan penilaian kasar terhadap persediaan pelajar menghadapi SPM, dapat disimpulkan persediaan mereka adalah biasa-biasa sahaja. Sebahagian daripada mereka merasakan peperiksaan SPM bukanlah sesuatu yang mencemaskan. Sebahagiannya bergantung seratus peratus kepada guru untuk ‘menyuap’ segala ilmu yang sepatutnya mereka ‘hadamkan’.
Bagaimanapun tidak dapat dinafikan kebanyakannya telah menguasai kemahiran teknik menjawab. Apa yang masih belum dikuasai oleh kebanyakan mereka ini ialah penguasaan pengetahuan dan kefahaman. Oleh kerana kurangnya inisiatif mengulangkaji sendiri terhadap nota mata pelajaran dan membuat latihan maka sebahagian daripada mereka mempunyai 'memori jangka pendek' terhadap setiap ilmu yang ‘disuap’.
Di sinilah peranan guru memberikan segala bentuk latihan pengukuhan (walaupun soalan daripada topic yang sama berulang-kali), demi memastikan penguasaan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran.
Segala ilmu telah si guru curahkan, segala kaedah telah si guru cuba, segala usaha dan segala tips telah si guru berikan. Segalanya demi memastikan pencapaian akademik yang terbaik anak muridnya. Usaha terakhir yang mampu si guru lakukan hanyalah berdoa dan bertawakal agar pelajarnya melakukan yang terbaik dalam peperiksaan kelak demi pencapaian akademik mereka yang cemerlang dan masa depan mereka yang gemilang.
Kepada semua warga guru, ucapan tahniah diberikan kepada anda semua yang sedia melayan segala karenah pelajar anda dgn sabar dan sentiasa berusaha mendidik anak bangsa anda tanpa jemu demi memastikan anak bangsa tidak tercicir dalam mengharungi kehidupan yang penuh dgn cabaran.
Labels:
Masam Manis Payau
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
guru umpama matahari.....
cikgu koding...buatlah shoutmix....!!
Catat Ulasan