27 Disember 2010

Secebis Kisah Cabaran Mendidik Anak-Anak

(Gambar Hiasan)
Antara dua orang budak lelaki ini iaitu Si Along dan Si Angah, di dapati Si Angah adalah yang berperangai pelik sekali. Kuat sangat memberontak.

Kalau diikutkan kehendak budak berdua itu pastinya masa sepanjang cuti akhir tahun persekolahan itu ingin dipenuhi dgn aktiviti bermain terutamanya permainan daripada komputer dan internet. Mereka boleh senaraikan macam-macam 'game' antaranya Domino, Cooking Academy, Diner Dash, Mario dan macam-macam lagi yang mereka sahaja yang tahu menyebutnya.

Sambil bermain game komputer mereka juga mengadap TV Astro saluran 613 (Play House Disney). Jadual siaran rancangan saluran tersebut seperti Mickey Mouse Club House, Handy Manny, Animal Mechanical, Chloe’s Closet, Little Einstein dan Imagination Mover ada dalam kepala masing-masing.  Itulah kehebatan mereka melaksanakan kerja 2 dalam 1.

Sesuatu mesti difikirkan agar masa terluang hampir satu setengah bulan diisi dgn aktiviti bermanfaat. Si bapa merancang penyertaan mereka ke Program KAFA (Kelas Agama dan Fardu Ain) anjuran satu badan dakwah yang berlangsung selama sebulan bermula sebaik cuti persekolahan berlangsung sehinggalah pertengahan Disember. Kelas tersebut berlangsung selama 3 jam, setiap petang isnin hingga jumaat bagi kanak-anak berumur 7 hingga 9 tahun. Sepanjang kursus tersebut mereka akan diajar utk hafaz beberapa surah lazim, belajar ilmu fardu ain dan praktikal solat.

Rancangan ini telah dimaklumkan kepada kedua-dua mereka sebelum cuti persekolahan bermula. Nampaknya tiada masalah, mereka bersetuju.

Hari pertama pernyertaan, tiada sebarang masalah ditimbulkan. Nampaknya mereka berdua sangat bersemangat.

Tetapi hari kedua Si Angah mula menunjukkan ragam.
”Kenapa KAFA tu tak satu hari sahaja, kenapa mesti kena menghadiri KAFA lagi?”

Atas dasar paksaan dia pergi juga tetapi berterusan merungut sepanjang perjalanan dengan mengutarakan bermacam-macam helah.

“Baju ni gatal sangat lah, tak selesa” Antara rungutannya sambil teresak-esak menangis.

Sampai di tempat kursus si bapa paksa si Angah turun kereta dan dukung dia masuk ke tempat kursus. Si Angah menjerit-jerit tak nak masuk sambil lempar kasut dan beg. Si Ayah terus menuju ke kereta dan meninggalkan si Angah berterusan menjerit-jerit.

Semasa perjalanan pulang selepas selesai KAFA hari itu, Si Angah pun berkata,
“ Kawan-kawan semua ada minuman dan makanan utk masa rehat”
“Esok ummi akan bekalkan air minuman dan gula-gula.” Jawab si bapa.

Maka keesokan harinya mereka pun ke kelas KAFA dgn sekotak air Ribena dan sebatang Lolipop. Walau bagaimanapun mulut si Angah masih lagi berbunyi,

“Kenapa KAFA ni lama sangat? Kita tak ada masa nak bermain. Kita ada banyak mainan nak main.” Rungutnya sepanjang perjalanan.

Hari esoknya jam hampir 2.20 petang. Kedua-dua budak lelaki tersebut masih lagi menghadap TV. Tidak mahu mandi sendiri. Terpaksalah si bapa memandikan mereka. Pakaian mereka juga si bapa yang memakaikan.

“Tak nak lah bawak air dan lollipop dari rumah. Kawan-kawan semua ada duit utk beli ais krim dan coklat semasa rehat,’ Kata si Angah sambil matanya tak terlepas dari memandang TV.

Oleh kerana tak mahu suasana tegang berterusan si ibu pun memberi RM1.00 setiap seorang.

Rungutan hari berikutnya pula,
“Kenapa KAFA tu tak waktu pagi, waktu petang banyak cerita 'new episode' dalam Play House Disney tak dapat tengok.”

Dan alasan hari berikutnya pula,
“Selsemalah hari ini. Tak boleh pergi KAFA.” Kata si Angah sambil membuat aksi seperti orang selsema.

Si Along patut diberi pujian kerana tidak banyak merungut. Tetapi tindakannya banyak dipengaruhi oleh si Angah. Apa-apa aktiviti yang dilakukan adalah berdasarkan kepatuhan kepada si Angah. Bagaimanapun satu perangai buruknya, ada harinya apabila dia malas dia pun menghabiskan masanya dgn tidur sepanjang kursus.

Rungutan demi rungutan kedengaran setiap hari daripada mulut si Angah. Keaadaan begini berterusan walaupun sudah 3 minggu menyertai kursus KAFA. Bagaimanapun minggu terakhir dia menunjukkan perubahan positif. Semua ini berlaku dgn izin Allah kesan daripada nasihat, ganjaran dan hukuman yang berterusan.

"Orang islam kenalah belajar mendalami ilmu agama agar boleh beramal dengan sempurna seterusnya melayakkan kita masuk syurga Allah." Itu adalah antara nasihat yang diberikan. Bagaimanapun si bapa pasti mereka mungkin kurang faham dengan konsep yang terkandung dalam nasihat tersebut. Ini kerana tiada sebarang perubahan sikap ditunjukkan oleh Si Angah.

Usaha terakhir adalah perlaksanaan hukuman. Hukuman yang kelihatan sangat berkesan adalah larangan bermain komputer sehingga selama seminggu. Hukuman ini menyedarkan mereka berdua betapa bosannya dunia mereka tanpa permainan komputer. Hasilnya mereka berkelakuan baik.

Di hari ketiga hukuman Si Angah pun berkata ketika dalam perjalanan pulang,
"Hari ini Abah boleh bagi kami main komputer. Kami tak buat apa-apa masalah pun hari ini..."

Untuk berlaku tegas laptop tersebut tidak diberikan kepada mereka pada hari itu, tetapi diberikan pada hari kelima hukuman atas alasan diringankan hukuman kerana berkelakuan baik.

Demikianlah betapa kreatif kanak-kanak zaman ini. Pepatah melayu ada mengatakan ‘Meletur buluh biarlah bermula dari rebungnya’. Lihatlah bagaimanapun dalam usia rebung mereka mampu berusaha mencipta pelbagai alasan agar kita tunduk dengan kehendaknya. Cabaran tentulah lebih hebat dan peratus kegagalan mendidik pasti lebih tinggi jika tugas mendidik baru hendak dimulakan di saat rebung mula menjadi keras.

Pengaruh persekitaran menyebabkan tugas untuk mencorakkan anak-anak menjadi sukar. Televisyen, internet dan rakan-rakan turut mencorakkan warna-warna tertentu dalam diri anak-anak ini.

Si bapa yakin saat umur rebung ini mereka masih boleh dibentuk. Walaupun mereka memberikan pelbagai alasan dan banyak rungutan tetapi mereka tidak membantah untuk melaksanakan sesuatu arahan. Maka dengan itu tugas mendidik dapat diteruskan, walaupun pendidikan itu terlaksana dalam keadaan mereka menghadamkannya secara terpaksa. Lambat laun apabila mereka mula meningkat dewasa, mereka pasti dapat menerima hakikat dan memahami mengapa sesuatu aktiviti pendidikan diatur untuk mereka.

Rasulullah S.A.W.bersabda:
“Setiap anak diahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi.” Riwayat Al-Bukhari.

Segalanya terserah kepada Allah. Kita manusia hanya mampu merancang, kejayaan sesuatu rancangan terletak kepada ketentuan Allah.

0 comments: