05 Januari 2015
Musibah Bah Kuning Di Kelantan
Hampir 90 peratus Kota Bharu tenggelam. Laluan utama dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ke ibu negeri ini juga tenggelam, keadaan kelam-kabut. Pada masa yang sama mesej meminta pertolongan tersebar. Di merata tempat orang memohon bantuan kerana terperangkap.
Ketika itu Gua Musang dan Kuala Krai bagai dilanda tsunami. Semuanya hancur dan musnah. Amukan Sungai Kelantan tidak dapat ditahan. Ada yang mengelarnya sebagai ‘bah kuning’ dan kesannya lebih buruk daripada ‘bah merah’ pada tahun 1926. Kedua-dua daerah tersebut tidak boleh dimasuki melalui laluan darat mahupun udara.
Manek Urai yang paling mendapat perhatian kerana mesej daripada seorang guru yang terperangkap di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai Lama menjadi ‘viral’ dalam laman sosial dan aplikasi Whatsapp.
Wartawan Utusan bertemu dengan mangsa-mangsa banjir yang terperangkap di SMK Manek Urai Lama pada hari pertama laluan darat untuk masuk ke sekolah itu dibuka.
Keadaan mereka amat menyedihkan namun mereka masih tenang, rasa syukur dipanjatkan, tidak ada sedikit pun rasa marah dihamburkan kepada kerajaan terutama pasukan penyelamat biarpun tiga hari tanpa bantuan kerana kesemua mereka memahami kesukaran untuk masuk ke kawasan tersebut disebabkan arus yang deras dan cuaca buruk untuk helikopter terbang menghulurkan bantuan.
Kata mereka, ketika kemuncak ‘bah kuning’, tidak ada siapa di pusat pemindahan sementara di SM Manek Urai Lama dapat tidur lena kerana air naik sehingga ke tingkat tiga dan arusnya mengegarkan bangunan setinggi empat tingkat itu. Surau asrama di hadapan bangunan itu juga ranap, juga kelihatan dengan jelas rumah-rumah yang dihanyutkan arus di Sungai Lebir.
Banjir Di Tanah Merah
Pada masa itu, tumpuan hanya diberikan kepada Kuala Krai dan Gua Musang, semua terlupa lebih 20,000 sedang menderita di daerah Tanah Merah. Daerah itu juga menerima kesan yang dahsyat cuma kemusnahan tidak seteruk yang dialami oleh penduduk di Kuala Krai dan Gua Musang. Tanah Merah juga terputus hubungan sehingga timbul cerita ada penduduk terpaksa memecahkan pasar raya untuk mengambil makanan.
Semua kawasan yang terletak di tebing Sungai Kelantan menerima kesan amukannya. Tidak ada yang dapat menahannya. Pasukan penyelamat seperti bomba, polis, tentera dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah melaksanakan tugas mereka dengan cukup berkesan biarpun tidak menang tangan dan terpaksa melupakan bahawa mereka juga mangsa banjir.
Penubuhan Jawatankuasa Bencana Banjir Negeri Kelantan yang diketuai oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed telah memainkan peranan penting melicinkan usaha untuk menyelamat dan membantu yang pada mulanya agak kelam-kabut kerana keadaan di luar jangka. Jawatankuasa tersebut disertai oleh agensi Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan.
Benar, sudah ada cakap-cakap Negeri Serambi Mekah ini akan dilanda banjir besar tetapi tidak sesiapa yang menjangkakan kesannya sedahsyat ini. Kuala Krai menjadi destinasi utama ‘bah kuning’ kerana di sini percantuman dua sungai iaitu Sungai Lebir dan Sungai Galas untuk membentuk Sungai Kelantan.
Bumi seolah-olah tidak menyerap langsung hujan lebat sejak beberapa hari sebelum itu. Untuk rekod, musibah ini digelar bah kuning oleh penduduk disebabkan airnya berwarna kuning serta membawa lumpur yang amat tebal.
Puncanya adalah kita lupa untuk ‘bersahabat dengan alam’ sebagaimana titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Gunung-ganang, bukit-bakau, semuanya ditarah untuk pembangunan tanah demi roh perut. Alam menunjukkan amarahnya.
Bagaimanapun usaha dan tumpuan kini adalah untuk membangunkan semula negeri ini. Bantuan tiba mencurah-curah. Ini menunjukkan solidariti rakyat Malaysia yang merentasi agama, bangsa dan kepentingan politik. Namun biarlah bantuan ini disampaikan secara tersusun agar semua mendapatnya secara saksama.
Kini, Kota Bharu, Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat diselaputi debu tebal. Debu daripada lumpur yang ditinggalkan oleh bah.
Membersihkan lumpur mungkin mudah tetapi untuk membina semula semangat yang runtuh memerlukan iltizam yang tinggi. Semua pihak perlu berganding bahu untuk membina semula Negeri Serambi Mekah ini.
Sumber: Utusan [04012015]
Pembalakan, Pembukaan Tanah Antara Faktor Banjir Besar
Banjir lumpur. Dua perkataan mudah disebut rata-rata mangsa apabila diminta menceritakan bencana banjir besar yang membawa banyak kemusnahan kepada Kelantan.
Dari mana lumpur itu datang?. Lantas mereka percaya lumpur itu dari kawasan bukit bukau di Ulu Kelantan berikutan banyak kawasan hutan 'diterangkan' untuk ladang kelapa sawit dan tanaman sayur-sayuran.
Paras air naik mendadak dan deras, dari mana?.
Terpacul dari mulut mereka, hujan sangat lebat di kawasan Ulu Kelantan dan pengondolan bukit bukau penyumbang kepada pergerakan arus deras umpama "Tsunami Darat" menenggelam kawasan rendah dan menghayutkan objek di hadapan 'kepala air'.
Banjir yang melanda ke semua 10 jajahan di Kelantan itu memaksa lebih 104,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan.
Hujan lebat berterusan selama 48 jam di kawasan Ulu Kelantan [Gua Musang dan Kuala Krai] menterjemahkan kebimbangan penduduk apabila jajahan Gua Musang dilanda banjir besar mulai 22 Dis, 2014.
Dalam tempoh yang singkat, limpahan air Sungai Galas dengan arus yang deras 'menenggelamkan' bandar lama Gua Musang dan beberapa kampung sekitarnya.
Musibah itu melumpuhkan aktiviti di bandar lama Gua Musang dan kampung-kampung berhampirannya akibat dinaiki air antara dua dan lima meter, turut menyebabkan berpuluh kenderaan tenggelam.
TIDAK SANGKA AIR NAIK MENDADAK
Rata-rata penduduk tidak menyangka banjir begitu besar bukan sahaja menenggelam banyak rumah tetapi turut menghanyutkan beberapa buah rumah di hadapan mata mereka.
"Air naik begitu mendadak. Kami bergegas menyelamatkan diri ke kawasan yang lebih tinggi. Namun ramai yang terperangkap umpama duduk di sebuah pulau yang di kelilingi air berarus deras. Memang mencemaskan," itu yang dapat digambarkan oleh seorang penduduk Kampung Lembaga Gua Musang, Ramli Ibrahim, 55 tahun.
Beliau melihat pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, bertungkus lumus menyelamatkan mangsa yang panik dengan insiden luar biasa itu.
"Kami yakin banjir lumpur "seakan warna teh tarik" dan warnanya sama dengan tanah bukit, datang bersama air yang menuruni bukit bukau di kawasan Ulu Kelantan, mungkin banyak tanah runtuh di bukit yang digondolkan," katanya.
Ramli berkata banyak batang balak hanyut memasuki kampung dan menghentam rumah penduduk hingga roboh manakala balak yang hanyut mengikut arus sungai tersangkut di jambatan Sungai Galas, menyekat aliran air dan meningkatkan kuasa terjahan arus deras ke kawasan daratan.
Seorang lagi mangsa berkongsi pengalamannya, Bidah Abdullah, 65, berkata belum pernah berlaku dalam sejarah kejadian banjir sebelum ini melanda begitu kuat sekali hingga turut menghanyutkan rumahnya.
Beliau berkata air memang naik dengan cepat hingga semua barangan penting juga tidak sempat diselamatkan dan dihanyutkan bersama rumah.
MALAPETAKA BESAR
Banjir terburuk yang dianggap malapetaka besar, terus mengganas ke jajahan Kuala Krai, gabungan air dari tiga sungai iaitu Sungai Lebir, Sungai Nenggiri dan Sungai Galas bercantum di Kemubu di Kuala Krai, membentuk Sungai Kelantan -- itulah 'Tsunami Darat' menjadikan sekitar jajahan itu bagaikan 'lautan' iaitu air naik setinggi tingkat tiga bangunan Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama.
Limpahan air deras yang mengganas mulai 22 Dis, 2014 bukan sahaja menghanyutkan banyak rumah malah beratus rumah dan harta benda lain rosak teruk manakala ribuan penduduk menyelamatkan diri ke kawasan tinggi termasuk mendaki bukit.
Sebahagian Hospital Kuala Krai turut dinaiki air dan bandarnya lumpuh 'ditenggelami' banjir dan diburukkan lagi dengan bekalan elektrik dan air bersih terputus.
Memeritkan lagi apabila jalan darat yang menghubungkan Kuala Krai-Kota Baharu terputus ditenggelami banjir menyukarkan penghantaran bantuan melalui jalan darat.
Penggunaan bot pula menghadapi kesukaran kerana arus deras manakala cuaca buruk menjadi kekangan kepada helikopter untuk sampai ke lokasi tertentu, apapun pasukan penyelamat bekerja keras memastikan bantuan sampai kepada mangsa.
Wartawan Bernama, Zabidi Ishar yang membuat tinjauan di jajahan Kuala Krai selepas banjir surut, menggambarkan kawasan itu ibarat diserang garuda. Itulah yang dapat digambarkan keadaan kemusnahan teruk di beberapa buah kampung di jajahan itu.
Ia juga mengingatkan tragedi tsunami yang pernah berlaku di negara ini pada 2004 apabila melihat kemusnahan teruk yang dialami penduduk di perkampungan berkenaan.
Dalam tempoh yang sama, jajahan lain iaitu Tanah Merah, Pasir Mas, Machang, Tumpat, Kota Baharu dan Jeli teruk akibat banjir.
Seorang peniaga di bandar Kota Baharu, Ayob Salleh, 55, berkata premis perniagaannya dipenuhi lumpur yang dibawa arus banjir dari Ulu Kelantan.
"Ini kerana kawasan lain yang berhampiran Sungai Golok keadaan air adalah agak jernih, macam sekitar Bendang Pak Yong di Tumpat yang dilanda banjir akibat limpahan Sungai Golok, airnya jernih. Kami duduk atas rumah boleh nampak ikan berenang dalam air," katanya yang tinggal di Kampung Pauh Sepanjar, Tumpat.
PEMBALAKAN DAN PENEBANGAN HUTAN SKALA BESAR
Mengulas bencana banjir itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Zulhazman Hamzah berkata antara faktor berlakunya banjir lumpur yang teruk itu ialah penebangan hutan dalam skala besar di kawasan berbukit di Ulu Kelantan untuk tanaman kelapa sawit dan sayur-sayuran.
Pembalakan haram juga menyumbang kepada hakisan tanah serta menjadikan sungai cetek dan berlumpur.
Hujan lebat yang berterusan beberapa hari menyebabkan aliran air dari kawasan tanah tinggi itu terlalu pantas meluru ke sungai-sungai kerana tiada penahan semulajadi iaitu pokok.
"Apabila tiada pokok untuk memegang tanah maka berlaku runtuhan tanah dan dibawa bersama arus ke sungai-sungai hingga terjadilah banjir lumpur dan kalau kita lihat keadaan airnya seperti 'teh tarik' itu menunjukkan terdapatnya lumpur," katanya.
Dr Zulhazman berpendapat pembukaan tanah untuk pertanian itu menyebabkan banyak pokok balak ditebang sekaligus tiada lagi 'benteng semulajadi", telah menyumbang kepada ancaman hakisan tanah dan banjir.
Oleh Mohamad Bakri Darus
Sumber: BERNAMA
Teruskan membantu mangsa banjir
Kesan limpahan air banjir di tebing Sungai Lebir, Kuala Krai, seminggu selepas banjir besar melanda Kelantan.
BANJIR besar yang melanda Kelantan khususnya Kuala Krai, Dabong dan Gua Musang baru-baru ini menjadi penutup tirai paling tragis tahun 2014 yang diratapi ribuan mangsa.
Sehingga saat ini, cerita-cerita mangsa yang bertarung nyawa menyelamatkan diri sehingga terpaksa bermalam di atas pokok dan mengunyah daun-daun belukar untuk menahan kelaparan masih hangat diperkatakan.
Di tiga kawasan itu sahaja, lebih 2,000 rumah lenyap dihanyut arus banjir manakala lebih 100,000 penduduk berkampung di pusat-pusat pemindahan.
Secara umumnya, rakyat di negara ini tahu apa yang berlaku di Kelantan walaupun laporan berita dari ‘pusat’ bencana ketika banjir mula-mula mengganas agak terhad.
Bagi masyarakat di luar Kelantan, skala banjir itu sekadar dapat dibayangkan melalui gambar yang terpapar di dada akhbar, WhatsApp dan Facebook. Hakikatnya masih ramai yang tidak memahami situasi sebenar bencana yang menenggelamkan bahagian tengah negeri itu.
Sebaik sahaja surut, banjir yang dinamakan bah kuning itu dikelaskan oleh media massa sebagai yang terbesar pernah berlaku di negara ini.
Rekod itu sedikit sebanyak membuka mata banyak pihak sekali gus memberi gambaran baharu kepada rakyat negara ini betapa dahsyatnya bah yang membadai Kelantan.
Hakikatnya, tiada siapa yang benar-benar memahami kemusnahan dan ketakutan yang dilalui oleh mangsa-mangsa banjir kecuali mereka sendiri.
Jika kita berdiri di atas jambatan Sungai Lebir, bagi yang datang dari arah Gua Musang akan dapat menyaksikan kesan pertama malapetaka itu. Nyata sekali ia bukan sesuatu yang terjangkau oleh fikiran. Kesan lumpur kuning itu bukan setakat melepasi tebing bahkan menumbangkan pokok-pokok di sepanjang sungai yang alirannya bertemu dengan Sungai Galas dan membentuk Sungai Kelantan di bahagian hilir.
Melihat pada paras normal sungai ketika itu dengan kesan lumpur yang ditinggalkan, limpahan air di bawah jambatan itu sekurang-kurangnya mencapai ketinggian bangunan tiga atau empat tingkat.
Di dalam hati tertanya-tanya sederas manakah air yang turun ke kawasan itu sehingga pokok-pokok sebesar sepemeluk dan rumah-rumah penduduk lenyap dihanyutkan arus.
Di Kampung Laloh, kelihtan sebatang balak sebesar empat pemeluk tersadai di atas jalan raya. Jika arus banjir mampu menghanyutkan kayu sebesar itu ke darat, tidak mustahil jambatan-jambatan di Kemubu dan Pulau Setelu, Gua Musang turut lenyap.
Dari Kampung Laloh, kemusnahan akibat amukan air itu boleh dilihat dengan jelas terutama di sekitar Kampung Pahi, Kampung Manek Urai, Kampung Hujong Tanjung, Pekan Kuala Krai dan Kampung Guchil.
Laluan yang menghubungkan Gua Musang ke Kuala Krai ketika itu dipenuhi penduduk kampung yang keluar ke pekan untuk mendapatkan sumbangan.
Meskipun dalam keadaan reda, pada wajah mereka terpampang kesedihan yang tidak tertanggung. Di tepi jalan kelihatan ramai yang termenung mengadap rumah yang tidak lagi boleh dihuni.
Pemandangan di sepanjang jalan ketika menghampiri bandar Kuala Krai dipenuhi lumpur, himpunan sampah, sisa-sisa runtuhan dan bau busuk yang menusuk. Mungkin selepas seminggu kering, bangkai haiwan dan bahan makanan mula memburuk.
Melihat kawasan yang bertukar menjadi ‘padang jarak, padang tekukur’ itu, penulis mula faham apa yang berlaku. Bukan sekadar banjir besar tetapi ‘tsunami’ yang membawa arus yang cukup deras.
Kehidupan di sekitar bandar Kuala Krai bagaikan terhenti. Tiada lagi urusan jual beli kerana masing-masing membawa haluan untuk mencari semula ‘kehidupan’ meskipun sudah kehilangan kesemuanya.
Perjalanan kami ke ceruk kampung juga tidak kurang mendukacitakan. Penduduk di sekitar Chenulang yang terletak berhampiran Sungai Nal antara yang terjejas teruk.
Tidak dinafikan, melihat pada kemusnahan yang berlaku dan memikirkan nasib mangsa terutamanya kanak-kanak di situ membuatkan hati berasa pilu.
Mungkin mereka tidak berharap, tetapi tanpa bantuan daripada kita semua, tentu sukar untuk mereka meneruskan kehidupan.
Oleh ABDUL HALIM HADI
Sumber: Utusan [09012015]
Pasca Banjir Satu Lagi Cabaran Buat Penduduk
Selepas melalui fasa kritikal iaitu banjir, penduduk sekali lagi terpaksa menghadapi fasa yang juga mencabar iaitu pasca banjir.
Ini kerana penduduk sekali lagi diuji dengan ketiadaan bekalan air bersih dan elektrik yang seterusnya menyukarkan aktiviti harian mereka.
Di Kampung Lubok Jong, Kuala Krai, mendapati penduduk terpaksa mendapatkan bekalan air di sungai berdekatan dan terdapat juga segelintir daripada mereka mendapatkan air bukit (air mata air) yang mengalir di tepi jalan.
Kelihatan penduduk sejak awal pagi membawa bekas seperti botol dan besen untuk mengangkut air bersih ke rumah masing-masing untuk memulakan aktiviti harian mereka.
Seorang penduduk Ismail Hashim, 40, dari Kampung Lubok Jong berkata setiap pagi beliau akan mendapatkan air untuk membersihkan diri dan membasuh rumah.
"Memang kena angkut air dari pagi. Kami orang dewasa tak apa, tapi kanak-kanak nak mandi susah.
"Tengok ada air bukit di tepi jalan memang jernih kalau dibandingkan dengan air sungai yang keruh, itu yang saya ambil air dekat sini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata ketiadaan bekalan air bersih lebih menyukarkan aktiviti harian berbanding ketiadaan bekalan elektrik.
"Elektrik tak ada kami boleh lagi terima. Kalau boleh biar bekalan air tu pihak berwajib pulihkan cepat," katanya.
Seorang lagi penduduk, Abdullah Zakaria, 39, berkata beliau berharap pihak berwajib dapat membaik pulih bekalan air bersih demi kemudahan penduduk di kampung berkenaan.
"Air bersih memang penting, kami nak mandi, basuh rumah dan macam-macam lagi, kalau hari-hari kena angkut air memang susah.
"Macam mana dengan keluarga yang ada anak kecil lagi susah, takut juga kalau guna air sebarangan nanti kena penyakit," katanya.
Jawatankuasa Khas Bencana Banjir Negeri Kelantan hari ini menyatakan pembekalan air oleh syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) secara keseluruhannya mencapai 65 peratus di mana 20 loji telah beroperasi dan baki 13 loji lagi masih dalam baik pulih.
Tinjauan di sekitar bandar Kuala Krai, amat menyedihkan kerana banyak jalan yang rosak dan berdebu, banyak rumah yang musnah dan kedai yang rosak akibat banjir.
Untuk mendapatkan barangan basah, penduduk terpaksa ke bandar terdekat iaitu Machang yang terletak kira-kira 25 kilometer.
Seorang penduduk Adnan Mohamad, 28, dari Kampung Tualang di sini, berkata banjir kali ini memang paling dasyat kerana menyebabkan bandar Kuala Krai lumpuh.
"Barang di rumah memang tak boleh diselamatkan, memang ia satu bencana besar buat penduduk di sini.
"Saya bersyukur, keluarga selamat, itu lebih penting," katanya yang sedang membersihkan barang-barang yang musnah akibat banjir di rumahnya.
Sumber: BERNAMA [02012015]
Peringatan:
Sebagai seorang penganut Islam, jangan kita lupa musibah yang berlaku adalah satu dugaan dan ujian daripada Allah terhadap ketaatan dan ketaqwaan hambanya serta peringatan kepada hambanya yang lalai di samping menunjukkan kekuasaan Allah serta qada' dan qadar-Nya
Labels:
Semasa
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan