Lebih pelik, kawasan perkuburan yang lazimnya dibina secara melebar, sebaliknya menjadi menegak atau vertikal menerusi idea pembinaan konsep Menara Moksha ini.
Biarpun diulit kontroversi, rancangan mewujudkan Menara Moksha yang turut digelar Pusara Menegak ini dibuat atas alasan masalah kesesakan penduduk yang amat ketara di bandar raya itu yang menyebabkan tiada lagi ruang untuk yang hidup, apatah lagi yang sudah mati.
Mumbai, kota kewangan India adalah yang terpadat di negara itu dengan jumlah penduduknya mencecah 20.5 juta orang. Malah, Mumbai atau sebelum ini dikenali sebagai Bombay, turut tersenarai 10 bandar raya paling padat di dunia.
Jika dilihat, projek itu bukanlah yang pertama di dunia kerana bangunan setinggi 13 tingkat di atas bukit di Santos, Brazil, sudah pun mempunyai penghuni kakunya manakala seorang arkitek Korea Selatan turut melontarkan idea sama bagi mengatasi masalah kekurangan tanah perkuburan berikutan harga tanah yang tinggi di kawasan bandar utama.
Biarpun mengenengahkan konsep kubur metropolitan, ia tidak meminggirkan kaedah pengebumian tradisi empat agama utama di Mumbai iaitu Islam, Hindu, Buddha dan Parsi. Secara statistik, penganut Hindu paling ramai di sini iaitu 67 peratus, Islam (18 peratus), Buddha (5.2 peratus) dan Kristian (4.2 peratus).
Bagi mereka yang beragama Islam, tingkat bawah diperuntukkan berikutan syarat bahawa jenazah dikebumikan. Bagi penganut Hindu dan Kristian di tingkat atas berikutan pengurusan mayat mereka secara dibakar.
Penganut Parsi yang membiarkan mayat untuk dijamah burung nasar, ditempatkan di bumbung.
Tidak ketinggalan ruang ibadat, meditasi dan tempat letak kereta, turut disediakan.
Konsep Menara Moksha dibangunkan sebagai tema mesra alam dengan perekanya, Yalin Fu dan Ihsuan Lin memastikan terdapat ruang hijau yang mencukupi merangkumi ketinggian menara itu.
Selain kehijauan di seluruh bangunan, rekaannya juga dilengkapi dengan tumbuhan-tumbuhan, lapisan pelbagai mengandungi lapisan luar, tumbuhan, material tenunan dan bingkai besi yang melapik bangunan berkenaan, berfungsi sebagai menyerap haba dan pencemaran.
Ia juga mensasarkan untuk mengguna pakai teknologi baru yang mengelakkan pembakaran terbuka dalam usaha mengurangkan pencemaran yang semakin meruncing di bandar raya berkenaan.
Buat masa ini, konsep pembinaan Menara Moksha tinggal di atas kertas, tetapi tidak mustahil ideanya pasti diangkat mereka yang beranggapan ia penyelesaian masalah kekurangan tanah perkuburan di kota metroplitan.
Sumber:
http://www.bharian.com.my/
0 comments:
Catat Ulasan