23 Januari 2011

Raja Poligami

King Mswati III
Raja Mswati III
 Jika Islam sudah menekankan konsep keadilan apabila lelaki berhasrat berkahwin empat sekali gus serta syarat-syarat asas mewajarkannya, bagi kaum dan negara lain pula, beristeri ramai itu sudah menjadi tradisi atau pesta tahunan.

Di Swaziland misalnya, sebuah negara di benua Afrika yang mana pemerintahnya, Raja Mswati III sememangnya layak dinobatkan Raja Poligami kerana memiliki 14 isteri sekali gus setakat ini!Lebih menarik, semuanya dipilih menerusi adat unik yang mana mereka adalah kalangan anak dara Swaziland - negara di selatan Afrika itu yang datang menyerah diri sebagai bakal isteri.



Bukan sekali, malah setiap tahun dengan yang terbaru, November lalu, si dara Swaziland ini berarak separuh bogel di depan pemerintah berusia 43 tahun itu. Mereka diarak dengan penuh tradisi dengan harapan dapat terpilih sebagai isteri baru dan berpeluang mengecap sedikit nikmat kekayaan biarpun terpaksa berkongsi dengan berbelas wanita lain.

Acara dua hari itu bermula dengan makan tengah hari di Istana Ludzidzini dan pesta itu berlarutan ke luar apabila ratusan wanita dengan pakaian skirt Swazi dan hanya rantai manik menutupi dada, menari sambil menghunus pisau dan perisai bagi menarik perhatian si Raja.

Pada hari kedua pula, gadis pilihan atau Permaisuri baru itu menghadiahkan pelbagai hantaran termasuk tikar rumput, peralatan memasak, selimut, perabot serta cenderahati lain.

Kehebatan Raja Mswati III itu bagaimanapun, belum dapat menandingi bapanya, Raja Sobhuza II yang sewaktu kematiannya pada 1986, mempunyai 70 isteri dan 1,000 cucu! Malang sungguh apabila negara itu yang sepatutnya menumpukan soal pembangunan, sebaliknya sarat dengan masalah ramai rakyatnya menderita HIV dan kemiskinan. Tumpuan utama Raja Mswati ini sebaliknya, selain menambah isteri adalah boros berbelanja dengan memiliki deretan kereta mewah.

Seorang lagi Raja Poligami adalah Ancentus Akuku yang berasal dari Kenya, juga di Afrika. Sama seperti Raja Mswati III, hobi Akuku adalah mengumpul isteri.  Bak pepatah Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, kematian Akuku akhir tahun lalu pada usia 92 tahun, menyaksikannya mencatat nama sebagai poligamis terkenal dalam sejarah negara itu dengan meninggalkan 100 balu biarpun sudah berkahwin lebih 130 kali. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan turut melakar sejarah benua Afrika.

Dia turut dikenali jolokan nama 'Bahaya' kerana ramai wanita mendapati dirinya sukar ditolak. Akuku memiliki lima isteri ketika berusia 22 tahun. Dalam tempoh beberapa dekad antara 1939 dan 1992, Akuku yang berkahwin lebih 130 kali memiliki lebih 200 anak dan menceraikan lebih 80 wanita.

"Saya digelar 'Bahaya' kerana dapat menonjolkan diri ini di kalangan wanita. Saya kacak, bijak memilih pakaian dan tahu memikat hati wanita dengan kata-kata manis. Tiada wanita dapat menolak godaan saya," katanya kepada media, suatu ketika dulu.

Akuku, bagaimanapun bukan sekadar bijak menghasilkan anak tetapi pandai menguruskan keluarga serta amat mementingkan pendidikan dan ada anak-anaknya menjadi doktor, guru dan jurutera. Dalam tradisi Afrika, anak masih menjadi simbol kemakmuran. Jika kekayaan seseorang lelaki diukur melalui bilangan anak yang dimiliki, Akuku jelas berada dalam kelasnya tersendiri.

Di benua Arab juga tidak kalah dengan Raja Poligami dan Salem Juma'a, 75, yang juga warga Emiriah Arab Bersatu (UAE), layak diberi gelaran itu apabila mengahwini berbelas wanita yang kini cuma tinggal tiga. Dia yang mempunyai 52 anak, 10 daripadanya sudah meninggal dunia.

Sumber:
http://www.bharian.com.my

0 comments: