08 Januari 2011

Wajib Lulus Sejarah Dalam SPM 2013

merdeka

KUALA LUMPUR, 23 Okt 2010: Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Buat masa sekarang mata pelajaran itu adalah subjek teras yang wajib diambil, tetapi bukan wajib lulus.

Keputusan ini diumumkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Umno. Menurut Muhyiddin, 2013 dipilih bagi melaksanakan langkah itu berikutan kementerian memerlukan masa untuk melatih guru dan menyediakan pelajar bagi menghadapi sistem baru berkenaan supaya mereka tidak terkejut.

Tujuan dasar tersebut dilaksanakan adalah untuk sbagai satu usaha memberi kefahaman kepada generasi muda agar menghayati sejarah negara ini seterusnya membangkitkan kesedaran rakyat secara menyeluruh.

Kata Muhyiddin, bermula tahun 2014, di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mata pelajaran Sejarah akan dijadikan sebagai mata pelajaran teras di peringkat sekolah rendah.
.................................................................................................

LABIS, 8 Jan 2011: Keputusan kerajaan mewajibkan lulus mata pelajaran Sejarah pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 adalah muktamad, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya, cuma kurikulum mata pelajaran itu belum diputuskan, tetapi ia akan digubal dengan pendekatan memastikan subjek terbabit memberi impak berkesan dan menekankan elemen asas pembinaan negara bangsa di samping memupuk kecintaan dan nilai patriotisme kepada tanah air.
...................................................................................................

Cikgu sejarah pasti senak perut mendengar keputusan kementerian pelajaran ini. Sejarah adalah antara subjek teras yang dianggap sukar oleh pelajar selepas Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.Setiap kali ujian atau peperiksaan, inilah subjek-subjek yang mengumpulkan bilangan pelajar gagal yang sangat ramai.

Kenapa kerajaan mengeluarkan dasar mewajibkan pelajar lulus sejarah dalam SPM?

Sejarah adalah subjek penting untuk memupuk nilai patriotisme terhadap generasi awal. Sejarah bukan sekadar bercerita mengenai perkara lampau tetapi lebih ke arah memahami masa kini berdasarkan peristiwa lampau.

Memang tidak dinafikan bahawa realiti sekarang, pelajar-pelajar kita tidak meminati sejarah seterusnya kurang membuat ulangkaji terhadapnya. Bagaimanapun di sudut pedagogi, alasan pelajar tidak berminat dan pelajar kurang membuat ulangkaji tidak dapat diterima sebagai alasan terhadap punca kegagalan pelajar. Punca kegagalan pelajar pasti terletak di bawah tanggungjawab guru yang gagal menarik minat pelajar. Inilah punca kepada rasa senak perut guru-guru sejarah. Guru-guru Matematik dan Sains telah lama merasai tekanan ini tidak kira samada subjek tersebut diajar dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Cuma bezanya Matematik dan Sains bukanlah subjek wajib lulus.

Pelbagai saranan diutarakan oleh pelbagai pihak bagi menarik minat pelajar terhadap sejarah. Antaranya:

1. Saranan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) supaya menjadikan komik sebagai bahan pembelajaran di sekolah sebagai satu tindakan kreatif memupuk minat pelajar. Melalui penggunaan komik sejarah, pelajar akan mengikuti pembelajaran dalam keadaan yang menyeronokkan, meningkatkan kefahaman, menjana daya kreatif dan imaginatif.

2. Terdapat juga cadanga agar kaedah pembelajaran berbentuk Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dijadikan ganti kepada pengajaran biasa yang mana pelajar duduk mendengar “syarahan” daripada guru mereka. LDK didapati berkesan dalam meningkatkan pemahaman, komunikasi dan interaksi sesama pelajar. Percambahan minda boleh berlaku disini.

3. Otak sukakan gambar dan warna, Oleh itu, buku teks sejarah haruslah kelihatan menarik dengan perbanyakkan berita bergambar terutamanya pada fakta dan peristiwa penting.

4. Pendekatan pengajaran menggunakan tayangan video 'rama khas berpandukan modul sejarah'.

5. Selalu adakan lawatan ke tempat yang berlatarbelakangkan sejarah
.........................................................................................

Benarkah subjek Sejarah itu susah?

Saya tak pasti dgn drjah kemampuan saya terhadap sejarah. Kali terakhir saya belajar Sejarah secara formal di sekolah adalah ketika menduduki SRP. Dalam peperiksaan itu saya mendapat gred 2 (disamakan dgn A2 atau A- dalam sistem peperiksaan kini).

Saya tak ambil Sejarah dlm SPM. Bukan sbb tak mahu ambil atau tak minat. Tetapi terikat dgn pakej yg ditawarkan oleh sekolah. Pelajar aliran Sains disarankan mengambil subjek geografi.

Kredit kpd cikgu saya semasa di sekolah rendah. Nama beliau Cikgu Isniwati. Saya mula kenal sejarah ketika dalam drjh 5. Cikgu tersebut mengguna pendekaan bercerita. Kaedah tersebut didapati berjaya menarik minat saya terhadap sejarah. Minat saya ini berkemungkinan ada kaitannya dengan minat saya terhadap novel yang telah bermula sejak dalam darjah 3 lagi.

Ketika di sekolah rendah, oleh kerana begitu tertarik dengan sejarah, saya sering mengukuhkan pengetahuan tentang sejarah dgn membaca pula novel-novel sejarah yang berkaitan. Saya masih ingat antara novel-novel yg saya baca adalah kisah Hang Tuah, Tun Perak, Tun Teja …
 
Bagaimanapun minat saya terhad kepada kisah-kisah sejarah yang boleh dihayati dalam bentuk penceritaan. Kelemahan saya ialah tidah berminat untuk mengetahui tarikh sesuatu peristiwa berlaku. Saya juga sangat lemah dalam fakta yang melibatkan pemikiran kritis. Saya cuma kenal dgn watak-watak dan faham dgn teliti urutan peristiwa yg melibatkan watak-watak. Bagaimanapun saya berfikir dgn memperolehi gred 2 pasti bermaksud tak apa tak tahu itu semua.

Tapi itu situasi di zaman 1980-an. Pasti barangkali tidak sama dgn situasi yang dihadapi oleh pelajar kini. Corak penyoalan dalam kertas soalan sejarah mungkin tidak serupa dgn zaman saya balajar dahulu. Saya tidak tahu bagaimana dgn sukatan sejarah masa kini. Bagaimana pun saya pernah juga membaca buku teks sejarah masa kini bagi tujuan mengatahui topik2 sejarah yg tidak saya pelajari satu ketika dahulu. 

Oleh kerana meminati subjek sejarah, maka saya pernah menyambut tawaran SMK SJ tahun 1990-an sebagai guru sandaran tidak terlatih untuk mengajar subjek sejarah bagi tingkatan satu. Saya gunakan pendekatan bercerita sebagaimana kaedah guru idola saya mengajar saya satu ketika dulu. Saya tidak ingat tentang pencapaian para pelajar kesan daripada pengajaran saya itu. 

Walau apapun situasinya, saya percaya jika pendekatan sesuai serta objektif pembelajaran yang tidak terlalu berat, insyaAllah usaha menarik minat pelajar untuk meminati sejarah akan membuahkan hasil seterusnya membawa kepada kesan pelajar lulus subjek sejarah. Harapanku, semoga guru-guru tidak berputus asa menarik minat dan mendorong pelajar dgn apa sekali pendekatan yang mungkin agar pelajar terus belajar sehingga berjaya.
......................................................................................................

P/S: Saya teringat kepada sebuah lagu nyanyian Allahyarham P. Ramlee daripada Filem Nasib Si Labu Labi. Antara liriknya:

“Barang yang lepas jangan dikenang,
kalau dikenang tentu menangis.
Barang yang lepas jangan dikenang,
kalau dikenang meracunlah diri.”

Bagaimanapun saya pasti lirik lagu ini bukanlah bertujuan menyeru masyarakat Malaysia melupakan sejarah. Lirik lagu ini dicipta adalah atas kesesuaian dgn jalan cerita filem tersebut sahaja.

Sumber Rujukan:
http://www.themalaysianinsider.com
http://www.utusan.com.my
http://myberita.com
http://www.bharian.com.my

0 comments: