19 Mac 2011

Loji Nulear Di Lingkaran Api Pasifik

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR



WALAUPUN pernah melalui detik hitam yang menyaksikan Hiroshima dan Nagasaki musnah ibarat padang jarak padang tekukur disebabkan bom atom, namun ia bukan menjadi titik noktah untuk menghentikan Jepun daripada membangunkan teknologi nuklear di negara itu.

Bukan mahu pisang berbuah dua kali lantaran mengetahui risiko yang bakal diterima, sebaliknya negara Matahari Terbit itu menjadikan sumber tenaga nuklear sebagai platform untuk membangunkan tanah air mereka.

Malah, walaupun menyedari duduk letaknya negara mereka dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik yang cenderung dilanda gempa bumi, namun ia bukan penghalang untuk mereka memanfaatkan khazanah uranium itu sebaik mungkin.

Hingga kini, Jepun sudah memiliki 55 loji nuklear sekali gus antara yang terbanyak di dunia. Sebanyak 10 buah syarikat diberi mandat untuk mengendalikan loji tersebut antaranya Tokyo Electric Power Company (TEPCO), Kyushu Electric Power Company (Kyushu Electric), Chubu Electric Power Company (Chubu Electric) dan Tohoku Electric Power Company (Tohoku Electric).

Sumber tenaga elektrik

Menurut Persekutuan Syarikat Tenaga Elektrik Jepun (FEPC), kesemua loji tersebut mampu menawarkan output total penggunaan tenaga elektrik sebanyak 49,467 megawatt (MW).

“Walaupun menyedari bahaya tenaga nuklear, sumber itu tetap menjadi pilihan utama bagi membekalkan jumlah tenaga yang besar dan murah untuk jangka masa panjang. Sehingga kini, loji-loji nuklear di Jepun dapat membekalkan 30 peratus keperluan elektrik negara,” kata Pengerusi FEPC, Tsunehisa Katsumata.



GEMPA bumi dan tsunami yang melanda pantai timur Jepun menyebabkan kemusnahan harta benda yang teruk.



Mengimbau sejarah nuklear di negara itu, ia memulakan penyelidikan dalam program tenaga nuklear pada tahun 1954 berbekalkan peruntukan sebanyak 230 juta yen (RM8.69 bilion).

Undang-undang Asas Tenaga Atom dunia secara tegas mengehadkan penggunaan teknologi nuklear hanya bagi tujuan kebaikan sejak tahun 1955.

Undang-undang itu bertujuan untuk memastikan tiga prinsipal kaedah demokrasi, pengurusan yang bebas dan telus merupakan asas kepada aktiviti penyelidikan nuklear di samping kerjasama di peringkat antarabangsa.

Jepun mula mengimport reaktor kuasa nuklear pertamanya dari UK, Tokai-1 iaitu reaktor sistem penyejukan (Magnox) yang dibangunkan oleh GEC dengan kapasiti 160 megawatt. Ia mula beroperasi pada Julai 1966 sehingga Mac 1998.

Kejayaan itu menjadi pencetus kepada pembinaan lebih banyak loji nuklear baru di Jepun yang sehingga kini mencecah angka 55.

Bagaimanapun, keghairahan Jepun terhadap teknologi nuklear direntap baru-baru ini apabila gempa bumi berukuran 9 magnitud yang melanda negara tersebut menyebabkan siri letupan di loji nuklear Fukushima Daiichi.

Bencana tsunami yang mengorban lebih 10,000 nyawa itu menyaksikan berlaku kebocoran pada loji tersebut sehingga wap radiasi dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan dan mengancam nyawa 128 juta orang di negara Matahari Terbit.

Ketua Pihak Berkuasa Keselamatan Nuklear Perancis (ASN), Andre-Claude Lacoste berkata, berdasarkan perbandingan skala krisis nuklear antarabangsa, tragedi di Fukushima dianggap lebih teruk daripada Three Mile Island, namun tidak seburuk kejadian di letupan di Chernobyl.

“Kami dapat merasakan bahawa sekurang-kurangnya ia berada pada Tahap Lima dan berkemungkinan mencecah Tahap Enam. Saya mengatakan demikian selepas bercakap dengan rakan seangkatan dari Jepun,” jelas Lacoste kepada AFP.



GAMBAR fail menunjukkan insiden siri letupan di loji nuklear Fukushima Daiichi milik TEPCO akibat daripada gempa bumi baru-baru ini.



Bagaimanapun, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengeluarkan maklumat rasmi bahawa kejadian kebocoran loji nuklear di Jepun itu diklasifikasikan sebagai Tahap Empat mengikut Skala Kejadian Radiologi Nuklear Antarabangsa iaitu berkisar di kawasan itu sahaja.

Berdasarkan rekod, kejadian letupan di Chernobyl, Ukraine (1986) berada pada Tahap Tujuh apabila mengorbankan 32 orang anggota bomba serta hampir 9,000 nyawa akibat impak ke atas kesihatan selepas letupan berlaku.

Kagum dengan rakyat Jepun

Sementara itu, pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Perisian dari Universiti Hosei di daerah Kanto, kira-kira 20 kilometer dari Tokyo berkongsi pengalaman melalui saat-saat sukar akibat tragedi berkenaan.

Melalui laman sembang Yahoo Messenger, Fauziah Zainuddin, 36, memberitahu Kosmo!, pihak berkuasa Jepun terpaksa membuat catuan elektrik bagi menjimatkan penggunaan tenaga di seluruh negara.

“Apabila bekalan elektrik terputus, berkemungkinan besar air juga tiada. Itu yang merisaukan kami sekeluarga. Apatah lagi saya mempunyai anak kembar yang baru berusia setahun lebih.

“Cuma, terus-terang saya kagum melihat sikap rakyat Jepun dalam berhadapan bencana sebegini. Mereka sangat berdisiplin dan tenang menghadapinya. Malah, tidak membezakan antara rakyat asing atau penduduk tempatan dalam menghulurkan bantuan,” jelas Fauziah yang belajar di Jepun sejak September 2009.

Kembali bangkit



JEPUN diyakini mampu untuk kembali bangkit dan meneruskan kehidupan selepas mengalami bencana alam yang meragut ribuan nyawa dan merosakkan infrastruktur negara itu.




Dalam pada itu, di sebalik kemusnahan besar yang dialami Jepun akibat bencana alam sedemikian, mereka diyakini mampu untuk kembali bangkit dan meneruskan survival kehidupan pada masa akan datang.

Mengulas perkara itu, Dekan Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Infrastruktur, Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC), Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin berkata, ia bergantung kepada kemampuan sesebuah negara dan bantuan antarabangsa.

“Berdasarkan pengalaman mereka, negara Jepun tidak akan mengambil masa yang lama untuk pulih.

“Teknologi dan kepakaran yang dimiliki secara tidak langsung akan dapat membangunkan semula ekonomi negara dalam tempoh kurang daripada lima tahun,” ujar Roslan sambil menambah bahawa bencana itu juga akan menyebabkan berlakunya perubahan ke atas rupa bentuk muka bumi di kawasan yang terlibat secara khusus dan perubahan peta dunia amnya
______________________________________________________________________

Kesan Radiasi Nuklear

Radiasi boleh ditemui secara semula jadi di persekitaran hidup manusia. Haba, cahaya dan ketuhar mikro semuanya menghasilkan radiasi tetapi tidak berbahaya kepada tubuh manusia.

Menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (AS), kira-kira 80 peratus radiasi datang daripada sumber semula jadi manakala selebihnya daripada sumber buatan manusia terutama mesin sinaran X di hospital.

Semasa letupan nuklear, manusia terdedah kepada jumlah radiasi yang tinggi dalam tempoh yang singkat dan boleh menyebabkan sindrom radiasi akut.

Bagaimanapun, insiden di Fukushima dikatakan tidak memberi kesan langsung kepada penduduk Tokyo apatah lagi Malaysia yang terletak sejauh 6,000 kilometer dari Jepun kerana penyebarannya adalah kecil.


KEROSAKAN teruk pada bangunan loji nuklear yang meletupkan reaktor akibat tsunami menjadi kebimbangan Jepun dan negara serantau.



Ini diakui oleh Ketua Program Sains Nuklear, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Redzuwan Yahaya.
Redzuwan memberitahu, sinaran nuklear tersebut tidak mendatangkan kesan terhadap manusia seperti kebarangkalian mendapat kanser dan menyebabkan kematian.

Menurutnya, sememangnya sinaran nuklear tersebut akan tersebar dan wujud di udara dalam tempoh masa yang lama tetapi ia tidak memberikan kesan. Sebagai contoh, bahan radioaktif paling berisiko daripada 250 bahan radioaktif lain seperti caesium dan strontium.

Dua bahan radioaktif ini dikatakan jika tersebar di ruang udara mampu bertahan selama 30 tahun.

Namun di Jepun, kesan sinaran nuklear yang tersebar hanya diibaratkan seperti rakyatnya menjalani satu rawatan sinaran X. Itu pun jika mereka duduk di luar sepanjang hari untuk beberapa hari tanpa perlindungan.




SEORANG petugas perubatan menggunakan alat pengukur radiasi Geiger di Niigata, Jepun pada 16 Mac lalu.


Bagaimanapun, Redzuwan yang berpengalaman selama hampir 20 tahun mengajar dalam bidang sains nuklear juga tidak menolak sinaran nuklear pada paras tertentu boleh membahayakan kesihatan dan nyawa manusia.

Antara yang mungkin terjadi;

1. Jika kesan sinaran berukuran 100 rems, ia akan merosakkan sistem peredaran darah dan menyebabkan sel limposit dalam darah berkurangan.

2. Pendedahan kepada sinaran berukuran 200 rems pula akan mengakibatkan keguguran rambut dengan cepat, kerosakan saluran usus yang menyebabkan mual, muntah-muntah dan cirit birit. Pada kekuatan ini juga ia boleh menjejaskan sistem peranakan wanita.

3. Sinaran nuklear yang berukuran 1,000 rems pula akan mengakibatkan kerosakan pada pembuluh darah.

4. Bagi mereka yang terdedah secara langsung terhadap sinaran berukuran lebih 5,000 rems pula akan menyebabkan sel otak rosak. Lebih teruk lagi, ia boleh menyebabkan perubahan pada asid deoksiribonukleik (DNA) sehingga menyebabkan kematian.

Ulasnya, disebabkan itu pekerja yang bekerja di kawasan teknologi nuklear untuk tempoh masa yang lama akan dipindahkan ke bahagian dalam pejabat bertujuan untuk menghilangkan atau mengurangkan kesan sinaran yang mungkin terkena semasa bekerja.

Redzuwan juga menolak kemungkinan kesan sinaran di Jepun akan meningkat dan menyamai kesan sinaran akibat letupan kuat loji nuklear Chernobyl di Ukraine pada 26 April 1986.




FUKUSHIMA merupakan wilayah paling aktif dengan industri nuklear di Jepun.


Tragedi Chernobyl menyebabkan 32 orang terbunuh akibat kesan langsung keracunan radiasi sementara 8,000 yang lain mengalami kesan pencemaran radioaktif akibat bahan radioaktif tersebar ke udara sehingga ke barat Eropah.

“Kebiasaannya kesan radioaktif hanya berlaku di kawasan lingkungan yang terlibat malah kesan tersebut tidak akan mencecah tahap yang lebih tinggi kerana Jepun telah pun melakukan tindakan bagi menyejukkan loji jana kuasa nuklear yang lebur dengan mencurahkan air laut ke dalam loji dengan menggunakan helikopter,” katanya.

Menerangkan lebih lanjut mengenai loji nuklear tersebut, Redzuwan memberitahu, apabila loji nuklear tersebut lebur ia akan mengeluarkan tiga jenis bahan radioaktif ke udara iaitu caesium, iodin dan strontium.

Ulasnya, selepas seminggu letupan itu berlaku, loji nuklear tersebut masih panas ibarat seperti memasak 620,000 biji telur dalam masa tiga minit sekali gus menyebabkan penyebaran sinaran nuklear. Namun begitu, Jepun sedang bertungkus-lumus berusaha untuk menyejukkan loji nuklear tersebut.

p/s: Kini sudah seminggu berlalu bermula daripada gempa sekuat 8.9, diikuti dgn tsunami dan akhirnya diikuti dgn kejadian letupan Reaktor Nuklear di loji nuklear Fukushima Daiichi-I. Bagaimanapun krisis berkaitan letupan dan kebocoran loji nuklear tersebut masih lagi berterusan sehingga kini.

Semoga krisis ini berakhir dgn segera, agar masyarakat Jepun yang terlibat dapat segera membina semua kehidupan mereka seterusnya menamatkan keresahan dan kesusahan yang mereka alami kini.

Sumber:
http://www.kosmo.com.my (Artikel1)
http://www.kosmo.com.my (Artikel2)

0 comments: