27 Mac 2011

Sejarah dan Mekanisme Penerbangan Belon Udara Panas

Pada malam minggu 26 Mac, 2011, Majalah 3, di TV3 menyiarkan kisah tentang penerbangan belon udara panas di Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2011. Di sini saya mengambil kesempatan untuk berkongsi rencana berkaitan belon udara panas.



PADA 19 September 1783, seorang saintis dari Perancis, Pilatre De Rozier mengejutkan penduduk bandar Metz apabila dia memperkenalkan belon udara panas pertama di dunia yang digelar Aerostat Reveillon.

Penumpang belon udara panas itu pula terdiri daripada beberapa ekor haiwan seperti kambing biri-biri, itik dan ayam jantan bahkan, belon berkenaan berada kira-kira 15 minit di udara sebelum terhempas ke tanah.

Bagaimanapun, dua tahun kemudian, nasib tidak menyebelahi De Rozier apabila percubaan untuk menyeberang Selat Inggeris gagal, setelah belon ciptaannya meletup setengah jam ketika berada di ruang udara Wimereux, Perancis sehingga menyebabkan dia terkorban.


Punca kemalangan disebabkan oleh reka bentuk ujikaji ciptaan beliau menggunakan belon hidrogen dan belon udara panas yang diikat bersama-sama.

Biarpun peristiwa hitam kematian De Rozier mengejutkan banyak pihak, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat para intelek memikirkan teknologi terbaik yang lebih selamat dan mengekalkan belon udara panas lebih lama di ruang angkasa.

Jika diteliti reka bentuknya, belon udara panas terdiri daripada sebuah belon atau karung beg yang digelar 'envelope' serta berupaya menampung udara panas dalam jangka masa tertentu.

Tergantung di bawah 'envelope' adalah sebuah 'gondola' atau bakul diperbuat daripada rotan berfungsi sebagai pembawa penumpang serta sumber bahan api bagi menggerakkan belon udara panas.

Pada hari ini, kebanyakan 'envelope' diperbuat daripada fabrik jenis nilon, manakala permukaan mulut belon (skirt) berhampiran penunu gas (burner) diperbuat daripada bahan tahan panas seperti Nomex.

Di Malaysia, pendedahan mengenai belon udara panas bermula sejak 16 tahun lalu melalui penganjuran sukan berkenaan di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

Bercerita lebih lanjut mengenai perkembangan sukan udara jenis itu di negara ini, juruterbang belon berpengalaman, Nordin Hussain memberitahu, bahan pembakar yang sesuai digunakan bagi menggerakkannya adalah gas asli cecair (LPG).

“Disebabkan iklim yang agak panas di negara ini, kita cenderung menggunakan bahan pembakar LPG berbanding gas nitrogen yang digunakan secara meluas di negara luar terutama di Eropah.

“Namun, bagi memastikan prestasi penerbangan belon lebih berkuasa, kami menggunakan sebanyak 20 peratus gas nitrogen,” katanya ketika ditemui di Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2011.

Program selama empat hari itu dianjurkan oleh Malaysian Sport Aviation Federation (MSAF) dan AKA Balloon Sdn. Bhd., dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj).



Nordin, Naib Presiden Majlis Leisure dan Rekreasi Malaysia (Marfima) berkata, bermula pertengahan 1970-an, sejarah terukir apabila belon udara panas dicipta dalam pelbagai bentuk.

Antaranya hot dogs, kapal angkasa serta beraneka bentuk produk komersial namun, bentuk asal tetap popular dalam kalangan peminat sukan itu.

“Selain itu, kebanyakan belon yang terdapat di negara ini diimport dari United Kingdom termasuk bakul rotan,” dedahnya yang aktif dengan sukan tersebut sejak tahun 1995.

Dalam pada itu, menyentuh aspek teknologi yang digunakan agak mudah namun, peminat sukan ini perlu mengeluarkan modal yang agak besar memandangkan hampir semua peralatannya diimport dari luar negara.

Menurut Nordin, berat tangki termasuk gas kebiasaannya sekitar 25 hingga 30 kilogram (kg) yang diletakkan bersama penumpang dan juruterbang di dalam bakul rotan.

Selain itu katanya, sumber tenaga daripada burner berfungsi seperti enjin kepada belon udara panas malah, terdapat pelbagai burner digunakan, antaranya jenis tunggal, sepasang dan sistem burner segi empat.

Ada juga peminat sukan udara ini berpendapat, sistem dua burner paling popular kerana ia mampu bergerak lebih pantas bahkan, burner boleh ditambah bergantung kepada bentuk dan berat belon.



“Ia juga bergantung pada saiz belon, bakul dan bilangan penumpang. Bukan itu sahaja, belon standard boleh dinaiki di antara dua hingga tiga orang manakala, belon yang lebih besar mampu dinaiki sehingga empat orang.

“Memandangkan cuaca di negara kita agak panas, kaedah menaikkan envelope agak berlainan. Pada peringkat awal, kita akan menggunakan kipas elektrik berkuasa tinggi bagi mengembangkan envelope sebelum burner digunakan,” ujarnya.

Tambahnya, selain kemahiran mengendalikan belon udara panas, seorang juruterbang itu perlu mempunyai kepakaran melihat keadaan cuaca seperti bentuk awan, kelajuan angin dan sebagainya.

“Beberapa keadaan yang tidak membenarkan belon udara panas beroperasi iaitu dalam keadaan hujan, kelajuan angin melebihi 15 knot dan cuaca yang sangat panas.

“Untuk mendaratkan belon ini, ia memerlukan kawasan terbuka tanpa ada sebarang halangan seperti kabel elektrik, telefon atau pokok,” katanya.

Sumber:
Kosmo.

0 comments: