26 April 2011

Fikirkan Tentang Suatu Pemandangan (Bhgn 2)

Entri ini adalah lanjutan daripada satu aktiviti dalam entri saya yang bertajuk Fikirkan Tentang Suatu Pemandangan.

Pasti anda tertunggu-tunggu apakah keterangan yang ingin saya sampaikan dalam sambungannya ini. Pastinya anda rasa macam ada dapatan penting daripada suatu kajian sahaja.



Sebenarnya saya dan rakan pernah diuji dengan aktiviti ini. Memang 100% daripada kami memikirkan satu pemandangan yang serupa. Dalam fikiran kami pemandangan mesti tepi pantai, tepi sungai atau mesti di sawah padi. Dalam pemandangan mesti ada gunung, pokok kelapa, sedikit awan, matahari yang tersembunyi di balik gunung atau awan dan burung.

Bukan saya, 'kami' dan anda sahaja yang berfikiran demikian. Cuba anda Google imej dengan perkataan 'lukisan pemandangan'. Apakah hasil daripada pencarian anda?

Mengapa kita tidak melukis pemandangan suasana di pasar malam, suasana di pasar raya, suasana di stesen komuter, suasana di stesen bas, pemandangan di sebuah bandaraya, pemandangan suasana kerja di dalam pejabat, pemandangan di dewan peperiksaan, pemandangan orang bersolat di dalam masjid dan sebagainya?



Pemandangan Dalam Kelas

Keupayaan seseorang bergantung kepada beberapa perkara antaranya Bakat, Minat, Latihan, Berani mencuba dan Pengalaman. Gabungan daripada faktor tersebut lahirlah manusia kreatif dengan idea kreatif. Golongan kreatif sebenarnya tidak ramai.

Sebahagian besar manusia mempunyai keupayaan hasil daripada latihan berterusan (latih-tubi). Adakah kita sedar bahawa inilah yang dikatakan kepentingan latihan dan latih-tubi. Guru kita di sekolah rendah nampaknya begitu berjaya dalam pengajaran mereka melatih kita dan membentuk kemahiran melukis pemandangan.

Bagaimanapun kemahiran yang diberikan oleh guru sekolah rendah bukan bertujuan melahirkan seorang pelukis. Tetapi lebih kepada melatih psikomotor kanak-kanak sekolah. Iaitu melatih pergerakan tangan untuk menghasilkan pergerakan tangan yang lebih lembut. Atas tujuan itu guru hanya mengajar bagaimana cara melukis imej-imej yang mudah sahaja sesuai dengan tahap umur kanak-kanak ketika itu.


Pemandangan Di Pasar 1.

Oleh kerana kita tidak meminati dunia seni lukis, maka latihan kita dalam menghasilkan lukisan berhenti setakat sekolah rendah sahaja. Maka latihan untuk melukis imej-imej yang sukar seperti melukis imej manusia tidak kita lalui dan kemahirannya juga tidak kita perolehi.

Walaupun kita telah melalui berbagai pengalaman, dan telah melihat berbagai jenis pemandangan sama ada secara nyata atau maya. Sesetengahnya telah melihat pemandangan beberapa tempat yang menarik di luar negara secara nyata. Sebahagian besar kita pula telah melalui dan melihat perubahan keadaan persekitaran yang nyata berubah daripada apa yang kita lalui di zaman sekolah rendah.

Bagaimanapun dalam fikir dan lukis kita memilih langkah mudah, melukis sesuatu yang telah kita mahir berdasarkan pengalaman latih tubi yang telah kita lalui.


Pemandangan Di Pasar 2.


Pemandangan Di Pasar 3.


Pemandangan Di Pasar 4.


Pemandangan Di Pasar 5.

Apakah mesej daripada aktiviti ini?

Dunia telah banyak berubah. Persekitaran yang kita lihat sekarang ini telah banyak berbeza dengan apa yang kita lihat semasa dibangku sekolah. Bagaimana pun cara berfikir dan cara kita bertindak sebenarnya tidak banyak berubah, masih lagi dengan cara berfikir dan cara bertindak yang sama.

Kita lebih selesa berfikir tentang apa yang terdapat di dalam kotak. Kita lebih selesa dengan tindakan yang biasa-biasa.

Kita barangkali berupaya berfikir di luar kotak, tetapi di dalam tindakan, kita memilih tindakan yang biasa-biasa dengan pendapat ianya kurang berisiko dan kita mahir mengendalikannya dengan cara yang biasa. Padahal barangkali kaedah baru itu sebenarnya adalah lebih baik dan lebih memudahkan urusan kerja kita.

Sebab itu cara kita bekerja sejak kita mula berkerjaya sehingga kini tidak banyak berubah. Kebanyakan kita tidak mahu menerima perubahan walaupun perubahan tersebut telah kita lihat berlaku di sekeliling kita.

Kita ambil contoh suatu ketika dulu ketika komputer mula diperkenalkan dan digunakan dengan pesatnya di pejabat-pejabat untuk memudahkan urusan dokumentasi. Golongan pekerja veteren lebih selesa dengan mesin taip. Walaupun kursus-kursus dijalankan untuk kenambahkan kemahiran menggunakan komputer, tetapi golongan ini tiada usaha untuk mencuba dan meningkatkan kemahiran mereka dalam penggunaannya kerana tiada minat dan enggan mencuba.

Dalam hal penggunaan ICT, kita pastinya sedar di sekeliling kita masih terdapat golongan yang tidak langsung mahu meningkatkan pengetahuan mereka dalam penggunaannya. Jika mereka telah mula menerima ICT pun, pengetahuan yang mereka dapat adalah setakat kebolehan ber’Facebook’ sahaja.

Pekerjaan dalam bidang apa pun, minat dan sikap berani mencuba adalah faktor penting dalam menempuh dunia perubahan.

Sama ada kita sedar atau tidak, sama ada kita mahu atau tidak, perubahan terus berlaku. Golongan yang menerima perubahan akan bergerak maju ke hadapan. Golongan yang menolak perubahan pasti akan ketinggalan.

Akhir kalam, laksanakanlah perubahan demi kecemerlangan diri, kerjaya dan organisasi yang kita kendalikan.

p/s: Apa yang saya nyatakan di sini hanyalah pendapat peribadi tanpa sebarang rujukan dalam perbincangannya. Anda berhak memberi komen untuk menyatakan pendapat anda bagi menafikan pendapat saya ini.

Blog saya adalah dengan design yang ketinggalan zaman. Ketika berblogwalking saya dapati banyak blog yang mempunyai design dan template yang lebih menarik. Bagaimanapun akibat masa yang terbatas dan ketiadaan tunjuk ajar, proses menaik tarafnya pasti amat perlahan.

Bagaimanapun saya terus belajar daripada entri tutorial rakan-rakan blogger. Sebabnya kerana saya mempunyai minat dan ingin mencuba...

Sumber Image: Google Image

3 comments:

Mohd Hazwan berkata...

kita mesti berubah untuk menjadi lebih baik...
yang penting sanggup mengambil risiko dan bijak menggunakan peluang dan membuat keputusan yang tepat

mcm ni lah berkata...

assalamualaikum sy follow dan tinggal jejak utk dijejaki

amny berkata...

peerrhh...cantik btol lukisan2 cmni...tapi jiwa saya xberseni..suka melihat jee..^^