01 April 2011
Lebihan Guru Sains, Matematik?
Seramai 26,000 guru opsyen Matematik dan Sains terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh negara.
Lambakan serius membabitkan 14,000 guru subjek Sains dan 12,000 guru Matematik itu menyebabkan mereka yang diarah mengajar opsyen lain tidak dapat menjayakan tugas dengan penuh semangat.
“Ada antara mereka hilang motivasi diri dan begitu emosi untuk meneruskan kerjaya murni itu. Guru terbabit mengakui, pada peringkat awal bersemangat mendidik pelajar untuk lulus cemerlang Sains dan Matematik. Namun, selepas lima tahun mengajar subjek lain, mereka lemah semangat dan terpaksa melupakan cita-cita untuk bergelar guru Sains dan Matematik berwibawa,” kata satu sumber.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata kementerian perlu memanfaatkan lebihan guru itu untuk memperkasakan subjek Sains dan Matematik kepada pelajar luar bandar dan pedalaman dengan menghantar mereka ke sana.
Katanya, ia sejajar Dasar 60:40 2010 iaitu 60 peratus pelajar aliran Sains dan 40 peratus Sastera pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, subjek Sains dan Matematik penting untuk mencapai sasaran negara maju menjelang 2020 kerana ia adalah pemangkin kepada pembangunan sains dan teknologi.
“Kerajaan wajar mengoptimumkan lebihan itu supaya jurang pendidikan pelajar bandar dengan luar bandar dirapatkan. Saya terkejut kerana andaian umum selama ini menyatakan kedua-dua opsyen berkenaan menghadapi masalah kekurangan tenaga pengajar,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr Zakaria Kasa, berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai lebihan guru untuk dua subjek berkenaan.
Sehubungan itu, katanya UPSI sudah meminta pelajar jurusan itu bertukar opsyen antaranya kepada Sejarah atau Kemahiran Hidup yang memerlukan lebih ramai tenaga pengajar.
“Mungkin pada masa depan mata pelajaran Kemahiran Hidup dipertingkatkan sukatannya dan mempunyai pendidikan reka bentuk kontemporari,” katanya.
Sumber: BHarian
Lambakan 26,000 guru opsyen Sains dan Matematik di seluruh negara bukan membabitkan guru yang sedang berkhidmat, sebaliknya pendidik yang belum memperoleh penempatan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.
Katanya, ramai graduan opsyen subjek itu di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta belum memperoleh penempatan berikutan lebihan penawaran guru di seluruh negara.
“Kita sukar menempatkan mereka kerana pengambilan guru mengikut unjuran diputuskan Jawatankuasa Bersama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Kita mengguna pakai unjuran itu untuk penempatan graduan mengikut keperluan semasa sesebuah sekolah,” katanya
“Guru Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kelolaan kementerian, tiada masalah penempatan kerana pengambilan pelajar berasaskan unjuran kekosongan jawatan,” katanya.
Sumber: BHarian
p/S; Punahlah harapan, kecewalah perasaan kepada bakal-bakal guru matematik dan sains. Tak tercapailah cita-cita.
Usahlah kecewa sangat. Mengajar subjek lain pon tak kurang juga mencabarnya. Yang penting ikhlas untuk bekerja demi kemajuan akademik dan masa depan yang gemilang semua anak bangsa..
Labels:
Pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan