10 April 2011

Untuk Celik Ilmu, Usaha Tangga Kejayaan

Artikel berikut ini sepatutnya menjadi pengajaran dan motivasi kepada semua pelajar yang celik penglihatan (terutama kepada yang buta ilmu). Walaupun dua individu ini tidak dapat melihat namun kesungguhan mereka untuk memperolehi ilmu akhirnya terbukti dengan kecemerlangan mereka dalam SPM setara dengan kejayaan individu normal yang lain.

Ikuti kisah selanjutnya tips kejayaan dua individu ini.


Tang (kiri) dan Ahmad Shahidee Ruslan.

SEKALI imbas, tiada apa kekurangan pada diri mereka. Namun hanya selepas berbicara, barulah disedari kelainan diri mereka yang sebaliknya menjadi kelebihan diri sehingga mampu bergelar pelajar cemerlang dengan keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang baru diumumkan baru-baru ini.

Itulah kelebihan dua pelajar berusia 20 tahun ini - Tang Kah Hung dan Ahmad Shahidee Ruslan yang juga pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur (SMPKS).


Bagi Tang, beliau pernah terfikir hidupnya berakhir selepas hilang deria penglihatan hingga emosinya terjejas teruk akibat sindrom kemurungan, kira-kira empat tahun lalu.

Namun, siapa sangka, beliau akhirnya bangkit dengan semangat baru hingga memperoleh keputusan cemerlang berkenaan.


Tang (kiri) dan Ahmad Shahidee (kanan) disamping guru mereka, John Chia.
Cacat penglihatan bukan halangan dua pelajar raih 10A

“Saya dilahirkan normal sehinggalah doktor mengesan kewujudan tumor dalam otak. Ia akhirnya menyebabkan saya kehilangan deria penglihatan secara beransur-ansur.

“Apabila usia saya mencecah 16 tahun, saya disahkan buta. Ketika itu, saya tidak boleh menerima hakikat bahawa saya tidak lagi boleh melihat dunia lagi.

“Ketika itulah, saya mengalami kemurungan teruk,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Kecemerlangan dan Hari Graduasi SMPKS 2010 di sini, baru-baru ini.

Siapa sangka Kah Hung yang berasal dari Desa Petaling, Petaling Jaya, adalah pelajar terbaik SPM 2010 di SMPKS. Beliau memperoleh A bagi subjek Bahasa Malaysia; Bahasa Inggeris; Pendidikan Moral; Sejarah; Matematik dan Sains.

Beliau juga memperoleh A bagi subjek Kesusasteraan Melayu; Perdagangan; Ekonomi Asas dan English For Science and Technology.

Kah Hung berkata, dorongan ibu bapa, guru dan rakan-rakan di SMPKS memberinya semangat untuk meneruskan pembelajaran dan berfikiran positif.

Ditanya rahsia kejayaannya, beliau berkata:

“Selain memberi tumpuan dalam kelas, saya suka mencari bahan rujukan di internet. Ini kerana bagi saya, ia suatu kemestian untuk mendapat pengetahuan lebih luas dan cepat.

“Saya juga gemar membuat latihan dihantar guru yang juga mengalami masalah penglihatan,” katanya yang bercita-cita menjadi guru ekonomi.

Keistimewaan dan kejayaan cemerlang itu turut dikongsi rakannya, Ahmad Shahidee yang muncul penerima Anugerah Khas Pengetua 2010.

Beliau yang mengalami masalah mata diselaputi kataraks berkata, kunci kejayaannya adalah disiplin dan kesungguhan untuk berusaha mencapai keputusan cemerlang.

“Kekurangan diri tidak seharusnya dijadikan halangan meraih kejayaan. Selain disiplin diri, saya juga cenderung belajar secara berkumpulan serta bertukar-tukar maklumat bersama pelajar lain.

”Di luar kelas buku teks menjadi sumber rujukan utama bersama rakan-rakan apabila tidak jelas tentang sesuatu subjek.

“Saya juga tidak akan membaca sampai lewat malam kerana mata sangat sensitif dan berasa pening jika baca terlalu lama,”. katanya yang bercita-cita menjadi guru Matematik.

Beliau juga terpaksa memakai cermin mata berkuasa tinggi akibat penyakit katarak kekal sejak lahir selain perlu membaca pada jarak amat dekat bagi membolehkannya melihat dengan jelas.

Artikel Oleh Syadiah Iberahim,
Sumber: BHarian

1 comments:

mykhalis berkata...

sangat rasa rugi kerana kesedaran takde masa sek dulu.. padahal segala Allah bagi sempurna.. smoga adik2 ambil pengajarannya